Aidilfitri dan Aidiladha dua perayaan besar umat Islam yang disambut meriah dengan cara tersendiri bagi setiap perayaan. Seperti yang kita semua sedia maklum, Aidilfitri disambut untuk meraikan kemenangan dan kejayaan sebulan berpuasa manakala Aidiladha pula disambut sempena pengorbanan dan mujahadah umat Islam mengerjakan Ibadah haji di Mekah berdasarkan sirah nabi kita Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad S.A.W. juga mengambil pengajaran dari Sirah pengorbanan jiwa raga Nabi Ismail yang sanggup disembelih demi mematuhi perintah Allah S.W.T.

Apa yang nak dikongsikan di sini bukanlah dari sudut sirah atau sudut hukum cuma mengajak kita menyingkap cara kita umat Islam menyambut kedua-dua perayaan ini yang kelihatannya terlebih meriah pada Aidilfitri dan kurang meriah pada Aidiladha. Penulis terkenang zaman persekolahan di mana setiap kali pulang dari kampung menyambut Aidiladha, hati akan tersentuh dan sayu apabila sama-sama melaungkan takbir di surau sekolah bersama-sama sahabat di asrama kerana masih belum puas menyambut hari raya di kampung halaman bersama keluarga tercinta. Sudah menjadi kebiasaan, cuti untuk Aidilfitri selalunya hingga ke seminggu dan lebih, tetapi cuti untuk Aidiladha kekadang hanya sehari dan sebanyak-banyaknya 2 hari.

Sedangkan apabila kita memandang dari sudut haramnya kita berpuasa pada 1 Syawal untuk kita merayakan hari tersebut, maka pastilah lebih besar sambutan yang sepatutnya kita raikan bagi Aidiladha yang diharamkan kita berpuasa 4 hari termasuk 3 hari tasyrik. Jika dilihat dari sudut nisbahnya, jelaslah Aidilfitri nisbah Aidiladha bersamaan dengan 1:4.

Tidaklah menjadi kesalahan kita meraikan kedua-dua perayaan ini dengan cara kemeriahan kita sendiri, cuma kekadang kita terlebih menumpukan kepada Aidilfitri sehingga seolah-olah Aidilfitri ini dirayakan sebulan lamanya dan Aidiladha hanya berlalu sehari sahaja, bahkan apabila kita pulang dari bercuti, kita sebenarnya masih lagi berada dalam suasana Aidiladha dan masih disunatkan bertakbir raya walaupun pada ketika itu kita sudah pun kembali bersekolah atau kembali ke tempat kerja masing-masing. Sedangkan ibadah penyembelihan korban pun sepatutnya boleh berjalan sepanjang empat hari ini.

Mungkin sering kita dengar bahawa sambutan Aidiladha lebih meriah disambut di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, maka marilah kita sama-sama cuba untuk memeriahkan kedua-dua perayaan ini dengan kadar yang sepatutnya bagi setiap perayaan. Eloklah kiranya amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan di musim perayaan Aidilfitri diamalkan juga dalam suasana Aidiladha, dan majlis rumah terbuka yang popular di bulan Syawal itu juga, tidak salah kalau kita laksanakan di bulan Zulhijjah ini untuk meraikan tetamu dari kalangan jiran tetangga dan sanak-saudara, lebih-lebih lagi jika kita mengambil bahagian dalam ibadah korban, maka dapatlah pula kita menjamu para tetamu dengan bahagian daging korban yang kita sertai.

Hakikatnya kedua-dua perayaan ini adalah hari meraikan kejayaan dan pengorbanan umat Islam seluruhnya. Sekadar untuk renungan penulis..
Alhamdulillah, sekali lagi inteam berpeluang bertemu dan bekerjasama dengan Opick, penyanyi dakwah terkenal dari Indonesia yang telah melalui transformasi dari dunia rock ke dunia nasyid. Mungkin ramai yang lebih mengenali lagu ciptaan beliau "DEALOVA" daripada mengenali personilnya sendiri.



Sesungguhnya peluang bersama beliau sarat terisi dengan nasihat dan pedoman dari pengalaman beliau yang sudi dikongsikannya dengan kami. Apa yang ana boleh katakan di sini, hampir setiap patah kata yang keluar dari mulut beliau sepanjang berbual dengan kami merupakan bait-bait puisi, falsafah dan kata-kata hikmah yang boleh dijadikan pedoman bersama. Intonasi beliau bercakap yang kekadang perlahan dan kekadang tegas menambahkan lagi kesan daripada kata-katanya.


Antara pesanan Opick kepada Inteam; "Teruskanlah perjuangan kalian dalam dakwah melalui seni ini walaupun hanya tinggal seorang yang mendengar lagu kalian", kerana menurut beliau lagi kita tidak boleh memaksa atau mengawal secara menyeluruh anak-anak kita melihat dan mendengar apa-apa yang dihidangkan dunia hiburan melalui corong radio dan televisyen, tetapi kita perlu menyediakan alternatif bagi mereka supaya mereka tahu ada juga hiburan dan seni yang baik dan membawa nilai positif serta mendekatkan diri kepada mengingati Allah dan mencintai Rasulullah S.A.W.



Opick yang mendapat tawaran kontrak dari syarikat Awakening, U.K., di mana bernaungnya artis antarabangsa Sami Yusuf suatu masa dulu, terpaksa menolaknya, kerana menurut beliau, beliau tidak fasih berbahasa Inggeris atau Arab.


Ketika menceritakan tentang pembikinan Filem pertama terbitan beliau; Di Bawah Langit; beliau turut berkongsi pesanan ibunya katanya "Pemberian Allah yang paling kecil kepada kita adalah lebih baik dari usaha kita yang paling besar". Beliau dengan rendah dirinya mengatakan beliau terlalu jahil dalam bidang perfileman, tidak pernah menghadiri kelas membikin filem tetapi akhirnya berjaya menerbitkan filem religi pertama beliau dengan kos lebih RM 2 juta di mana beliau sendiri penerbit, sutradara atau pengarah, pelakon utama, penulis skrip, penyusun music dan banyak lagi diusahakan sendiri oleh beliau untuk menghemat kos katanya... Menurut beliau lagi, bukan beliaulah yang menjayakan semua usaha ini, tetapi kekuasaan Allah lah yang membuatkan semua usahanya ini berhasil.




Apabila ditanya bagaimana cara beliau menggubah sesebuah lagu sehingga menjadi sebuah lagu yang hebat dan menyentuh hati, kata beliau; setiap kali sebelum mencipta lagu, beliau akan berdoa kepada Allah supaya lagu dan lirik yang diciptanya itu dapat memberi kesan kepada dirinya untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik lagi... Beliau juga berdoa semoga ia memberi kesan yang sama kepada orang lain yang mendengarnya... Beliau turut berdoa agar orang lain yang mendengar lagu beliau turut mendapat inspirasi sebagaimana beliau mendapat inspirasi ketika mencipta lagu tersebut...



Sepanjang bersama beliau, selalu ana dengar kata-katanya bahawa Allah dekat dengan kita, sentiasa menunaikan permintaan kita, sentiasa kasih dan sayang kepada kita... Menurut beliau lagi bukti Allah sayang padanya dan sudi mengampunkan dosa kita ialah perjalanan hidup beliau sendiri dari banyak melakukan dosa akhirnya diberi peluang memperbaiki dirinya...



Banyak lagi pesanan-pesanan beliau yang ana rasa sepatutnya ana rekodkan, kerana tak dapat ana tuliskan secara tepat di sini...

Kesimpulannya, Opick yang saya kenali adalah seorang yang sangat merendah diri sehingga apabila berbicara dengan beliau membuatkan kita lupa bahawa beliau adalah seorang yang sebenarnya sangat hebat di dalam dunia muzik Indonesia...

Ini juga mengingatkan ana akan keperibadian seorang yang digelar Pahlawan Nasyid yang telah pergi meninggalkan kita lebih 100 hari yang lalu iaitu allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Al-fatihah buat beliau...

Semoga ana dan sahabat-sahabat dapat menerapkan sedikit sebanyak ciri-ciri keperibadian Opick dan Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dalam diri kami... Insya Allah...
Fenomena gempa bumi telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu lagi, namun akhir-akhir ini kekerapan berlakunya gempa bumi ini menggambarkan betapa sudah tuanya bumi yang kita diami ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di negara jiran berskala 7.6 skala richter berlaku pada 30 September 2009 berhampiran Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang kemudiannya disusuli gempa bumi kedua sebesar 6.2 pada skala Richter sehingga mengakibatkan 1,115 kematian, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.

Walaupun gegarannya turut dirasai di beberapa tempat di semenanjung Malaysia, namun sudah menjadi kebiasaan kita sentiasa beranggapan bahawa bencana yang mengenai orang lain, mungkin tidak akan mengenai kita.

"Hakikatnya, berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak.

Bagi kes gempa bumi di luar Malaysia dan gegarannya dirasai di sini ialah sebanyak 35 kes iaitu 31 kali di Semenanjung dan empat kali di Sabah. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berpendapat, secara relatifnya, Semenanjung adalah stabil dari segi seismotektonik.

Menurut rekod sejarah juga pernah berlaku di Ranau, Sabah pada 1991,
gempa bumi bermagnitud 5.1 skala Richter merosakkan struktur bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang. Punca kerosakan dikenal pasti akibat gempa bumi kerana kedudukan sekolah itu terletak di atas zon Garis Sesar Mensaban."
- Berita Harian(18/11/09)

Allah S.W.T telah mengingatkan kita akan sebuah gempa bumi yang maha dahsyat yang akan berlaku sebagai kemuncak kepada gempa-gempa yang semakin kerap akhir-akhir ini juga sebagai penutup kepada kehidupan dunia yang fana ini:

Surah Al-Zalzalah (THE EARTHQUAKE)- Gempa bumi

Ayat 1
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
(When the Earth is shaken to her (utmost) convulsion,)


Ayat 2
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
(And the Earth throws up her burdens (from within),)




Ayat 3
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
(And man cries (distressed): `What is the matter with her?')



Apakah punca semakin kerapnya berlaku gempa bumi ini? adakah faktor bumi itu sudah tua dan semakin tidak stabil? Apakah penjelasan saintifik bagi fenomena ini? Allah S.W.T telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah dengan sebab tangan-tangan manusia sendiri yang merosakkannya sedangkan kita sudah menggalas amanah sebagai khalifah menjaga seisi bumi ini dan timbulnya bencana-bencana alam ini adalah kerana Allah ingin menunjukkan akibat dan balasan hasil kerja kerosakan manusia itu sendiri supaya kita menginsafinya sepertimana firmannya dalam surah Ar-ruum:

Ayat 41
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Mischief has appeared on land and sea because of (the meed) that the hands of men have earned, that ((Allah)) may give them a taste of some of their deeds: in order that they may turn back (from Evil).)



Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa



Kesan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa



Maha Hebat Allah S.W.T yang telah menciptakan langit dan bumi dengan fungsi yang tersendiri, bahkan Allah menciptakan gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi yang memegang kuat bumi ini supaya lebih stabil dan kukuh. Allah berfirman dalam surah Luqman:

Ayat 10
Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
(He created the heavens without any pillars that ye can see; He set on the earth mountains standing firm lest it should shake with you; and He scattered through it beasts of all kinds. We send down rain from the sky and produce on the earth every kind of noble creature, in pairs.)


Allah turut berfirman dalam surah An-Nazi'at ayat 32:


Ayat 32
Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);
(
And the mountains hath He firmly fixed)


Maha Suci Allah S.W.T yang telah menjadikan gunung-ganang dan bukit-bukau sebagai pendulum yang menyerap hayunan atau goncangan kesan dari gempa bumi yang berlaku, dan gunung-ganang ini bertindak ibarat pancang besi yang ditanam dalam-dalam bagi mengukuhkan binaan sebuah bangunan. Gunung-ganang yang terpasak ke dalam bumi sehingga ke garisan-garisan sesar gempa bumi bertindak secara natural dengan menyerap hayunan lalu merendahkan frekuensi gegaran yang berlaku.


Pendulum

Teori pendulum ini telah digunapakai oleh ramai jurutera pembinaan bangunan tinggi bagi menyerap hayunan dan gegaran yang berlaku dalam sesebuah bangunan pencakar langit. Antara yang termasyhur ialah bangunan Taipei 101 yang menggantung sebuah bola pendulum di tengah-tengah puncak bangunan tersebut bagi menyerap hayunan sekiranya berlaku gempa bumi atau gegaran akibat tiupan angin taufan.

Pendulum dalam bangunan Taipei 101


Bola pendulum gergasi dalam bangunan Taipei 101

Namun amat malang sekali bagi manusia yang pandai memanipulasi teknologi ini tetapi dalam masa yang sama telah melenyapkan sebilangan besar pendulum gergasi bagi menyerap hayunan yang berlaku dalam bumi iaitulah gunung-ganang dan bukit-bukau. Hari demi hari, gunung-ganang dan bukit-bukau ditarah dan dipotong bagi mendapatkan hasil mineralnya, atau untuk tujuan pembangunan kawasan baru, kawasan perumahan elit, pembalakan dan sebagainya.


Kerosakan dari tangan-tangan manusia


Pembinaan di lereng bukit mengakibatkan tanah runtuh

Maka tidak hairanlah akhir-akhir ini, semakin kerap berlakunya gegaran gempa bumi dan semakin tidak berdaya bumi untuk menyerap gegaran tersebut serta meneutralkannya kembali. Bahkan tidak mustahil negara yang tidak berada dalam garis sesar gunung berapi dan gempa bumi seperti Malaysia pun boleh menerima nasib yang sama seperti Padang sekiranya gunung dan bukit bukau kita terus di tarah dan di runtuhkan. (nauzubillahi min zaalik).

Terimalah akibat dari perbuatan kita sendiri yang merosakkan bumi ciptaan Allah dan sedar tak sedar kita semua sedang menuju kehancuran total menjelang hari kiamat nanti sebagai kemuncak hasil kerosakan yang telah kita lakukan ke atas muka bumi.


Poster filem 2012

Filem box-office 2012 yang sedang hangat di pawagam kini turut menggambarkan kemusnahan bumi akibat kombinasi bencana alam termasuk super gempa bumi. Namun tidak sepatutnya kita mempercayai filem tersebut sebagai gambaran sebenar berlakunya kiamat kerana turut digambarkan ada di antara mereka yang terselamat dari bencana tersebut dan cuba membina kehidupan dan meneruskan survival kewujudan manusia, sedangkan menurut Al-Quran, apabila berlakunya kiamat, tiada masa lagi untuk menyelamatkan orang lain, bahkan semua manusia sibuk menyelamatkan diri masing-masing dan pastinya tiada seorang pun yang terselamat.

“(Itulah) Hari (yang) manusia (jadi) seperti kelkatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar (dipanah) berterbangan.”

(Al-Qaari’ah : 4-5)


"Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah. Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa." -ohislam.com

Gambaran bala bencana besar ini juga menurut mereka, diambil dari kalendar puak Maya, sedangkan Al-Quran telah menjelaskan kejadian Kiamat ini dengan lebih jelas dan berulang kali. Juga sudah menjadi kebiasaan pihak barat membikin filem yang menggambarkan mereka boleh selamat dari apa jua perkara hatta melawan kekuasaan Tuhan. Poster yang menggambarkan planet-planet ibarat pendulum yang berlaga turut menggambarkan tangan makhluk asing yang mencetuskannya, sekali lagi mahu menafikan fenomena bencana ini adalah dari hakikat kekuasan Allah.

Antara poster filem 2012

Walaupun begitu, adalah baik sekiranya dengan melihat keadaan kehancuran bumi dari filem ini membuatkan kita berasa insaf dan ingat bahawa suatu masa nanti pasti juga bumi akan musnah dan tiada siapa di dalam dunia ini yang akan terselamat. Alangkah baiknya jika filem ini dapat dikaitkan dengan surah Az-Zalzalah, At-takwir, Al-insyiqaq dan banyak lagi surah dari Al-Quran, bukannya kalendar ramalan puak Maya. Pastinya seluruh dunia akan menyedari bahawa "We were warned" yang menjadi tagline filem tersebut bukanlah amaran dari ramalan kalendar Maya tersebut namun Amaran dari pencipta Dunia ini iaitu Allah yang Maha Kuasa. Apakan daya, filem sehebat ini bukan dihasilkan oleh umat Islam.

Walaupun Al-Quran dan sunnah sendiri tidak pernah menyatakan secara spesifik tarikh berlakunya kiamat namun wajib ke atas kita mempercayai bahawa kiamat pasti terjadi dan pastinya hari demi hari dunia semakin hampir dengan kemusnahannya yang total.

Bumi menangis


Kalau di zaman Nabi kita lebih 1400 tahun dulu dalam peristiwa Isra' dan Mikraj sudah digambarkan bumi ini ibarat si tua berbongkok tiga, maka hari ini mungkin bumi yang sudah berusia 4.6 billion tahun (menurut kajian sains) sudah pasti menjadi si tua yang nazak dan menunggu saat kematiannya.


Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmatnya
dan meminjamkan nyawa dan jasad ku hingga ke saat ini...

Segala puji bagi Allah juga yang telah mengurniakan kebahagiaan, kesihatan, kesenangan dan keselesaan dan khususnya sebuah keluarga yang bahagia....

Dalam kesibukan hujung minggu, sempat juga kami merancang percutian ringkas sempena hari lahirku 7/11/80 atau seven eleven di Tiara Beach Resort, Port Dickson.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik, khususnya anak-anak yang memang gembira bermain air sehinggakan taknak balik rumah sekali... Walaupun pada hari sabtu tersebut, ana dan kumpulan inteam perlu memenuhi undangan perkahwinan ustaz Akhil hayy di Gopeng, kami telah menetapkan bahawa akan pergi awal dan pulang awal sebab ana perlu check in di Tiara Beach Resort Negeri 9, jam 3 petang.



Setelah memenuhi hasrat pengantin untuk berselawat di majlis mereka, kami pun bergegas pulang selepas menjamu selera..

Kami agak terlewat sampai KL dek kerana tak dapat memandu laju kerana banyak speed trap dan hujan lebat. Sampai saja rumah, ana dan keluarga terus bertolak ke PD dan kami sampai hampir jam 6 petang...





Terima kasih yang tak terhingga kepada isteriku yang telah mengatur dan merealisasikan percutian ringkas penuh bermakna ini.

Terima kasih juga kepada warga Inteam Records yang meraikan harijadiku dan Abg. Lubis (staf Inteam Publishing) secara ringkas di pejabat semalam... :-)





Terima kasih juga yang tak terhingga kepada semua yang telah mengucapkan, mendoakan dan mengingati hari kelahiranku ini, semoga Allah mengkabulkan doa antum semua dan mengembalikan segala kebaikan yang didoakan itu juga kepada si pendoa... amiiinnn...

Tak dilupakan juga selamat hari lahir buat kembarku Siti Hazrin binti Harun yang lahir 15 minit awal dari ku... :-) semoga panjang umur, murah rezeki dan berbahagia selalu disamping keluarga tercinta....

Memohon maaf akan kesalahan sendiri dan memaafkan orang lain atas kesalahan mereka ke atas kita adalah dua perkara yang nampak mudah tapi amat sukar dilakukan kita sebagai manusia...

Kekadang amat sukar bagi kita nak mengucapkan "saya minta maaf" atas kesalahan kita disebabkan sifat ego yang tertanam dalam diri kita sejak berkurun lamanya... Begitu juga sukarnya untuk kita luahkan "saya maafkan awak"...

Dek kerana kesukaran memohon maaf dan memaafkan inilah kekadang ibu dan anak tak bertegur sapa dan tak pernah bersua muka sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya, adik-beradik berpisah seumur hidup dan suami isteri boleh berakhir dengan berpisah.

Sifat ego inilah yang membuatkan iblis laknatullah tidak mahu sujud kepada Adam bahkan tidak mahu pula memohon ampun dan maaf kepada Allah yang Maha Esa walaupun diberi peluang berbuat demikian. Iblis sanggup menerima seksaan neraka selama-lamanya bahkan telah berjanji akan menyesatkan manusia seramai yang mungkin untuk menjadi temannya di neraka... Sampai begitu sekali egonya si syaitan laknatullah... Lihatlah betapa sukarnya memohon ampun dan maaf dek kerana mempertahankan keegoan dan ketakburan dirinya...

"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir." -Al-Baqarah: 34


Berbeza pula dengan Nabi Adam yang telah disesatkan syaitan bersama isterinya apabila memakan buah khuldi; Nabi Adam dan Hawa yang dibuang ke dunia telah memohon ampun dan maaf dari Allah S.W.T dengan kalimat yang diajarkan oleh Allah sendiri.

[35]
Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
[36]
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
[37]
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
[38]
Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita". -Al-Baqarah: 35-38

Pilihlah cara Nabi Adam, nabi kita yang sanggup memohon ampun dan maaf, bukannya cara syaitan yang semata-mata nak mempertahankan egonya tidak sanggup memohon ampun dan maaf, bahkan sanggup memilih seksa neraka selama-lamanya.

Sekadar untuk renungan diri sendiri, yang kekadang begitu sukar untuk mengucapkan "saya minta maaf".

Saya terpanggil untuk memperjelaskan di sini tentang dasar Inteam terhadap program majlis anugerah setelah ditegur oleh seorang saudara yang prihatin atas dasar perjuangan sesebuah kumpulan nasyid.

Untuk makluman semua, di awal kemunculan inteam sewaktu kami masih mentah dan muda kami hanya mengikut sahaja apa yang diarahkan pihak syarikat termasuk menghadiri majlis-majlis anugerah yang terang-terang kelihatan tidak baik di sisi syariat..

Tahun berganti tahun, setiap kali menghadiri majlis sedemikian hati kami sentiasa merasa tidak tenang dan tenteram sehinggakan apabila melihat lampu-lampu bergantungan dalam dewan tersebut seolah-olah terasa hendak jatuh ke atas kepala kami...

Akhirnya kami telah bertekad untuk tidak lagi menghadiri mana-mana program anugerah yang jelas dan terang laghanya. Keputusan kami ini turut membuatkan kami terpaksa melupakan untuk menang dalam mana-mana anugerah ini... Namun kami tidak ambil kisah kerana itu bukanlah tujuan utama kami. Kami pernah dijemput pihak penganjur untuk membuat persembahan dalam malam anugerah gilang gemilang dan kami dikatakan akan menang kategori nasyid pada malam tersebut, namun kami telah menolaknya dengan baik dan menyatakan bahawa kami ada show di tempat lain, maka tidaklah kami menang pada malam tersebut...

Saban tahun, kami sentiasa bersedia dengan alasan-alasan untuk tidak hadir program sebegini termasuklah program karnival yang heboh itu setelah mufti perak mengharamkannya, dan apabila dijemput, kami cuba menolak dengan baik agar pihak penganjur tidak terasa hati...

Namun berbeza pula keadaannya dengan majlis anugerah yang dianjurkan para penggiat nasyid seperti Anugerah Carta Nasyid IKIM dan Anugerah Juara NMI ini... Kami memang support 100% walaupun sejak tahun lepas lagi ada kumpulan nasyid yang besar telah boikot anugerah ini dek kerana beberapa sebab yang tak perlu ana sebutkan... Kami sokong anugerah ini kerana mereka sokong kami... Namun apa yang cuba ana luahkan ialah kekecewaan dan terasa hati atas apa yang berlaku pada malam tersebut, bukannya rasa sedih sebab tidak di sanjung...

Situasinya begini , bayangkan anda dijemput datang open house oleh seseorang, anda telah cuba untuk hadir dengan bersungguh-sungguh sehingga anda terpaksa membatalkan program anda dengan keluarga. Lalu anda pun pergi ke rumah tersebut, apa yang berlaku; tuan rumah sibuk melayan tetamunya yang istimewa atau vip dan asyik berbual dengan tetamu istimewanya sahaja sehingga kehadiran anda seolah-olah tak disedarinya, anda makan sendiri, minum sendiri, layan diri sendiri dan balik.... Bagaimana rasa hati anda? sedih? kecewa? bukannya anda hendak disanjung atau di junjung, tapi cukup sekadar dihargai dan dihormati sebagai tetamu yang memberi sokongan kepada majlis tersebut, itu saja... perkaranya simple... sebab tu ana boleh terima hanya dengan permohonan maaf sahaja... Cuma bagi ana, perlu ana bangkitkan isu ini sebab ia telah berlaku di tahun lepas dan tahun ini juga, agar ia dapat diperbaiki di tahun-tahun yang akan datang, sekiranya ada lagi... supaya pihak yang boikot juga akan kembali menyokong majlis ini...

Ana tak mahu lagi menyentuh isu kekecewaan ini kerana ana sudah belapang dada dengan permohonan maaf yang telah dibuat.

Usahlah kaitkan perkara ini dengan isu perjuangan, kami telah lalui lebih teruk dari ini sepanjang 10 tahun di arena ini... Kami tak pernah minta disanjung, kami hanyalah orang yang akan memijak lantai walaupun red carpet dibentang... Insya Allah semoga selama-lamanya begitu...

p/s- tambahan fakta: Walaubagaimanapun, kumpulan nasyid lain ada pendapat dan pandangan mereka sendiri, kami hormati pendirian kumpulan nasyid lain yang mahu menghadiri majlis sebegini atas tujuan dakwah, mungkin mereka mampu melakukannya. Terutamanya kumpulan-kumpulan otai dan sifu-sifu kami... Contohnya persembahan Raihan berduet dengan Ramli Sarip lagu Kau Yang Maha Agung dalam satu malam anugerah yang telah menitiskan airmata keinsafan hadirin di celah kebejatan hiburan, nyanyian dan tarian...
Pihak penganjur anugerah NMI telah memohon maaf dari kami berkenaan kelemahan penganjuran pada malam tersebut...

Kami sangat menghargai permohonan maaf tersebut dan menerimanya dengan hati terbuka...

Semoga penganjuran di tahun-tahun akan datang jika ada lagi, harap dapat diperkemaskan dan diperbaiki untuk kebaikan industri nasyid tanahair juga...

Terima kasih juga kami ucapkan atas usaha pihak penganjur menjadikan program ini lebih baik dari masa ke semasa...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan kejayaan bagi Inteam menggondol anugerah bagi 3 kategori iaitu:

1. Juara Anugerah NMI
2. Lagu Nasyid Paling Popular
3. Kumpulan nasyid paling popular

...dan sesungguhnya, anugerah yang keempat menurut Husaini ialah anugerah paling tak ternilai bagi bagi kami; iaitu sokongan tak berbelah bagi dari antum semua...

... dan jika bukan asbab sokongan antum semua, maka tiada bermimpilah kami nak dapat ketiga-tiga anugerah di atas...

Ana mohon maaf atas kelewatan respon di sini dek kerana kesibukan dan tak sempat langsung nak online... Semalam kami show di Putrajaya lagi bersama Rabbani utk pertandingan nasyid di Dewan Komuniti Presint 9, Putrajaya.

Terima kasih tak terhingga juga bagi yang sudi datang ke PICC malam tersebut dan ana mohon maaf kerana mungkin mood ana kurang baik selepas program tersebut dek kerana rasa kekecewaan dan sedih serta terasa hati dengan sikap penganjur yang seolah-olah memperlekehkan kami dan hanya menjadikan kami sekadar melukut di tepi gantang...

Ana percaya, semua yang hadir di PICC dapat merasakan apa yang ana maksudkan...



Kami akui majlis ini memang memberi sokongan dan bantuan kepada kami dan kami hargainya.. tetapi, cara penganjur menyelitkan kami dalam sebuah program sebenar iaitu Festival Nasyid Kebangsaan sangat-sangatlah menyentuh hati kami dan ianya lebih teruk berbanding tahun-tahun yang lalu...

Bayangkan, hanya pengerusi majlis yang manyampaikan award kepada kami sedangkan Menteri menyampaikan award kepada peserta FNK... dari segi protokol saja sudah jelas kesilapannya...

Paling mengecewakan ana apabila mic ana tak berbunyi dan mic-mic yang diberikan kepada kami adalah mic 2nd class dengan bunyi yang tidak kuat, bahkan menurut frizdan, mic ana hanya berbunyi di speaker monitor untuk bahagian awal persembahan...

Sedangkan kami telah menunjukkan komitmen dengan datang sewaktu soundcheck sehari sebelum event dan memang waktu itu kami diberikan mic yang baik dan soundnya juga cukup memuaskan hati kami...

Ana dengan semangat membara cuba untuk membuat persembahan terbaik pada malam tersebut kerana kami merupakan juara carta dan juara lagu paling popular, ana sudah memaklumkan kepada soundman bahawa ana akan mula dulu jadi pastikan mic ana berfungsi dengan baik, tapi sebaliknya yang terjadi... Ana sangat kecewa dan sedih... Bayangkan show kami dan imej kami jadi tercalar dibandingkan dengan peserta-peserta lain yang menyampaikan lagu mereka dengan hebat sekali... Pasti ada hadirin yang menyatakan " macam ni ke persembahan juara carta, juara lagu paling popular dan kumpulan nasyid paling popular..." pastinya tidak semua yang akan mengetahui tentang masalah teknikal yang dihadapi...

Lebih mengecewakan, apabila kumpulan-kumpulan nasyid yang menjuarai kategori-kategori bagi NMI langsung tidak dipelawa naik ke pentas atau bersama-sama ketika fotografi wartawan berlangsung, hanya kami dapat melihat dari tepi pentas puluhan wartawan mengambil gambar juara-juara FNK... Terus terang ana katakan, hati ana menangis melihat keadaan ini... Lebih baik tahun lepas apabila Fareast turut serta di pentas dan diraikan bersama peserta FNK..

Kalaupun nak mengeksploitasi kami, janganlah sampai depan mata kami pun nak tunjukkan exsploitasi tersebut... Ana tidak kisah tentang hadiahnya kerana walaupun tiada hadiah, sudah cukup penghargaan bagi kami... cuma ana nak sebut jugak di sini, walaupun hadiah bagi juara FNK RM 10,000 dan saguhatinya saja sudah RM 5000, dan kami tidak diberi apa-apa, sekadar kontrak L.O. JAKIM yang hanya 2-300, cukuplah kalau dapat disamakan trofinya dengan kami... Namun jelas kelihatan trofi FNK jauh lebih hebat dan gah berbanding NMI.... Sekali lagi kami nyatakan, kami bukan memandang hadiah duit tersebut tapi keikhlasan penganjur untuk menghargai komitmen kami...

Mungkin mereka tidak tahu yang kami telah membatalkan show kami di Kemaman pada malam yang sama, dengan gambar kami yang telah naik dalam poster di Kemaman, semata-mata untuk memberi komitmen dan sokongan kepada NMI...

dan apa gunanya komitmen kami pergi ke Putrajaya yang jauh dari tempat kami untuk soundcheck malam sebelumnya dan pada malam sebenar kami tidak diberi mic yang telah kami soundcek?...

Dari awal kehadiran lagi saya yang membawa keluarga tercari-cari tempat untuk duduk apabila dewan sudah penuh dan kerusi untuk kami tidak kelihatan... mujurlah ada komiti yang sudi bawa keluarga ana mencari tempat duduk dan ana hanya terus ke belakang stage...

Kemungkinan selepas ini kami akan mengutus surat kepada pihak penganjur untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini agar juara di tahun hadapan tidak meraikan kejuaraan mereka dengan kesedihan, kekecewan dan terasa hati seperti kami...

Kami akui, kami sangat menghargai apa yang dilakukan penganjur untuk kami, tetapi kami sebagai manusia biasa ada hati dan perasaan untuk menyedari bahawa kami sebenarnya sekadar dipergunakan...

Mohon maaf atas terus terang ana ini...
Blog Widget by LinkWithin