Seringkali kita dengar ungkapan pekerjaan suatu ibadah, memang itulah hakikatnya sekiranya kita berniat melakukan kerja kita kerana Allah, kerana mencari rezeki yang halal untuk diri sendiri dan keluarga, serta kita melakukan kerja kita selari dengan kehendak syariat dan tidak juga meninggalkan suruhanNya sepanjang kita bekerja.

Cuma di sini saya ingin berkongsi satu aspek yang lain iaitu bekerja adalah kehidupan, atau bekerja adalah sebahagian besar dari kehidupan kita. Jika kita congak-congak, rata-rata kita bekerja sejak berusia 25 tahun sehinggalah pencen pada usia kira-kira 55 tahun, tempoh itu merangkumi 30 tahun dari usia kita. Andainya kita bekerja 20 hari sebulan dan 8 jam sehari, maka kita telah dan akan menghabiskan sisa usia kita selama kira-kira 57 600 jam seluruhnya.

Teringat saya sewaktu belajar subjek elektif Organizational Behaviour (OB) sewaktu di UIA dulu bagaimana dalam study case berkenaan syarikat-syarikat jenama besar dunia, mereka menyediakan satu suasana kehidupan yang hampir lengkap untuk pekerja-pekerja mereka bagi menjamin satu suasana bekerja yang selesa. Sehinggakan ada yang menyediakan seluruh prasarana untuk kehidupan dalam persekitaran kawasan kilang mereka. Dari kliniknya, kompleks sukan, kolam renang, padang golf, hampir lengkap suasana kehidupan dalam kawasan tempat mereka bekerja. Menunjukkan betapa pentingnya suasana bekerja dengan alam kehidupan pekerja.

Sewaktu saya mengambil subjek ini, saya tidak pernah terfikir akan mengimplementasikannya dalam kehidupan bekerja saya. Sekadar untuk melengkapkan kredit hour saja. Rupa-rupanya hari ini, saya mula tahu betapa pentingnya memahami organizational behaviour dalam mengurustadbir sesebuah syarikat. Kekadang ada pekerja atau majikan yang hanya pergi bekerja setiap hari nine-to-five sehingga menjadi rutin harian berpuluh-puluh tahun lamanya, dan keluarganya tidak tahu pun apa yang dilakukannya di tempat kerja begitu juga kakitangan pejabatnya tidak tahu pula apa dan bagaimana keadaan keluarganya. Kerjanya telah dipisahkan dengan kehidupannya.

Namun tidak dinafikan pula sudah banyak syarikat yang cuba menjadikan suasana bekerja dengan kehidupan pekerjanya berkaitan dan berada dalam keadaan selesa, sehinggakan ada juga syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan nursery bagi menjaga anak-anak untuk pekerja-pekerjanya. Ada juga syarikat-syarikat yang mempunyai persatuan-persatuan pekerja yang aktif dan melakukan pelbagai aktiviti sihat untuk pekerja dan keluarga pekerja. Di negara-negara maju, antara kriteria mencari pekerjaan selain gaji, tempat dan jawatan, yang dititikberatkan juga adalah benefits, atau kelebihan-kelebihan lain yang disediakan syarikat bagi melengkapi kehidupan pekerja tersebut.

Dalam usaha menimbulkan suasana erat di antara pekerja, majikan dan keluarga pekerja, syarikat-syarikat seringkali menganjurkan Hari Keluarga, Hari Sukan, Majlis Makan Malam Tahunan, dan dalam konteks syarikat yang Islamik boleh juga diadakan Majlis Tazkirah, Majlis kesyukuran, sambutan Aidilfitri dan seumpamanya. Program-program sebegini sangat penting bagi menjadikan suasana bekerja lebih dekat dengan kehidupan pekerja dan keluarga pekerja serta mengeratkan lagi ukhwah sesama pekerja dan keluarga pekerja.

Inteam Records Sdn Bhd (IRSB) juga tidak ketinggalan untuk cuba mewujudkan suasana bekerja yang hampir dengan kehidupan pekerja. IRSB Cuba mencontohi syarikat-syarikat Islamik yang telah maju seperti HPA dan Yayasan Al-Bukhari, kerana usaha-usaha seperti menggalakkan staf menunaikan solat duha, solat fardu berjemaah dan majlis tazkirah adalah satu perkara yang sangat perlu dilaksanakan syarikat-syarikat milik bumiputera Islam. Saya sendiri tertarik dengan keadaan suasana kerja di syarikat Galeri Ilmu yang mana stafnya bersolat berjemaah bersama-sama, turut cuba mengamalkan sedikit demi sedikit di IRSB.

Secara amnya, semakin besar syarikat dan semakin ramai kakitangannya, maka semakin beratlah menguruskan organizational behaviournya, dengan pelbagai ragam kakitangan dan pelbagai masalah yang timbul.

Inteam Records baru-baru ini menganjurkan Family Day kali keduanya di Corus Paradise Hotel, Port Dickson (tahun lepas di Beserah, Kuantan)dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama staf dan keluarga staf. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan baik dan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. Antara yang menarik ialah telematch atau sukaneka, Bola tampar pantai, dan Makan malam bertema Arabian Night beserta penganugerahan staf-staf dalam kategori, paling komited, paling rajin, paling serius, paling ceria, dan kedatangan paling baik.

Semoga usaha yang kecil ini, menjadi sebahagian implementasi subjek organizational behavior dan menimbulkan rasa selesa dan dihargai dikalangan pekerja IRSB, Insya Allah. Banyak lagi usaha-usaha yang cuba dilaksanakan, semoga ia dapat direalisasikan bagi menimbulkan suasana bekerja yang selesa dan lebih rapat dengan kehidupan pekerja.

Corus Paradise Hotel, Port Dickson


Pemandangan di Corus Paradise Hotel


Pemandangan di Corus Paradise Hotel


Bersama keluarga di pantai bersebelahan Corus Paradise


Fairus (P.R. merangkap designer) bersama anaknya


Anak-anak Inteam dan staf IRSB bermain bersama


Telematch "Can Fishing"


"Can Fishing"


Musical chair - acara untuk anak-anak staf


Anak-anak staf


Telematch "Dice Race"


Staf perempuan dan isteri-isteri staf


Acara wajib pasangan suami isteri - "Belon Kasih"


Bersantai bersama keluarga


Tema Arabian Nights


Sekeluarga dengan tema Arabian Nights


Anugerah staf paling komited untuk isteriku tercinta :-)


Pengarah Urusan IRSB - Encik Zam, Juara pakaian terbaik :-)


Seluruh staf dan keluarga yang hadir selepas makan malam dan BBQ


Staf-staf Inteam Records Sdn Bhd


Bergambar kenangan sebelum pulang

NAMA Terry Holdbrooks, mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi. Seluruh dunia mengenali beliau sebaik sahaja kisahnya tersiar dalam majalah Newsweek keluaran Mac lalu.

Kisahnya berjaya menyingkapkan banyak lagi 'kejahatan' yang diciptakan oleh Amerika Syarikat (AS) walaupun atas nama pusat tahanan.

Kem Tahanan Tentera Teluk Guantanamo Cuba diwujudkan bagi menjadi pusat pengumpulan hasil buruan AS dalam gerakan Perang Terhadap Keganasan (War On Terror) setelah pertahanan negara itu diaibkan dengan tragedi 11 September 2001.

Namun kepada Holdbrooks, seluruh hidupnya berubah 360 darjah apabila penjara yang 'wajib' ditutup itu akhirnya menjadi saksi lafaz kalimah syahadah dengan penuh ketulusan hati yang suci bersih untuk menerima Islam.

Tidakkah sebagai pengawal penjara, Holdbrooks bertanggungjawab untuk menyeksa para tahanan yang hampir kesemuanya umat Islam, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya?

Seawal usia 19 tahun, pada musim panas tahun 2003, Holdbrooks melaporkan diri sebagai pengawal di Penjara Guantanamo itu. Usia mudanya diwarnai dengan kegemaran minum arak, mendengar muzik rock dan mencacahkan badan dengan segala macam tatu. Sebabnya, semua itu menjadi sebahagian kehidupan bagi mereka yang tidak mempercayai tuhan seperti anak muda ini!

Hanya setahun selepas itu, beliau menyebabkan banyak pihak terpana kehairanan, sekali gus memenangi hati dan menerima penghormatan daripada para tahanan apabila pada suatu malam yang hening, Holdbrooks memeluk Islam dengan kehadiran salah seorang tahanan yang menjadi mentornya selaku saksi.

Beliau yang kini lebih dikenali sebagai Mustafa Abdullah ketika ditemuramah oleh Newsweek memberikan penampilan yang cukup berbeza. Dengan mengenakan jubah panjang, berkopiah hitam, berjanggut tebal walaupun di bahagian kanan lengannya masih ketara tatu yang bertulis: By Demons Be Driven.

Mustafa yang dilahirkan di Arizona, AS, dibesarkan secara tidak sempurna apabila ibu bapanya berpisah ketika umurnya tujuh tahun.

Datuk dan neneknya yang dahulunya pengikut Hippies mengambil alih tanggungjawab sebagai orang tua kepada Mustafa.

Akibat tidak tahan dihimpit kemiskinan, di samping mempunyai keinginan yang kuat untuk menjenguk dunia yang lebih luas, akhirnya Mustafa menyertai pasukan tentera AS.

Beliau kemudiannya ditempatkan di 253rd Military Police Company bagi membantu kerja-kerja pentadbiran sebelum dihantar bertugas di penjara Guantanamo itu.

Sebelum dihantar ke sana, Mustafa mematuhi arahan mengikuti kursus dua minggu sebagai persediaan penting bagi menghadapi tugas dan suasana di penjara itu.

Kesemua petugas baru tersebut turut dibawa melawat ke tapak Ground Zero dan tidak sedikitpun dijelaskan mengenai Islam.

"Kami juga dikehendaki menyaksikan rakaman video kejadian 11/9 dan dihasut bahawa tahanan-tahanan Guantanamo yang bakal kami hadapi adalah paling teruk.

"Tahanan itu semua terdiri daripada pemandu Osama (ben Laden), tukang masak Osama dan pantang ada peluang semua mereka ini akan membunuh kamu, kata para pegawai tentera kepada kami," kata Mustafa.

Tanpa banyak soal, Mustafa hanya menelan apa sahaja doktrin-doktrin jahat itu. Namun setibanya beliau di penjara itu, pada hari pertama itu sahaja beliau terus dihurung pertanyaan.

"Ini apabila tahanan pertama yang saya temui hanyalah seorang budak berusia 16 tahun. Logikkah dalam usia semuda ini, budak itu dicap sebagai pengganas? Sedangkan budak ini tidak pernah kenal pun laut, malah lebih teruk lagi tidak tahu pun bahawa bumi ini adalah bulat," katanya.

Dalam hatinya Mustafa terus bergumpal dengan pelbagai pertanyaan soal kemungkinan anak itu mengetahui rencana dunia gagasan pemerintah AS bernama War on terror.

Di penjara itu, Mustafa menjalankan tugas-tugas seperti membersihkan kawasan, memungut sampah, memeriksa blok-blok tahanan bagi memastikan para tahanan tidak bertukar-tukar sebarang objek serta membawa tahanan disoal siasat di bangunan lain.

Namun tugas-tugas itu membolehkan Mustafa berbual-bual dengan para tahanan. Beliau pada masa itu tidak membataskan hubungan dengan sesiapa termasuk dengan para tahanan. Namun tidak dinafikan sikap sedemikian menyebabkan ada pihak yang kurang senang.

Beliau mengakui tidak mempunyai rasa hormat terhadap rakan-rakan sejawatan kerana mereka semua adalah kaki botol, kaki rokok, perkauman, terlalu taksub dan berfikiran sempit serta mematuhi segala arahan secara membuta tuli.

"Dalam tempoh beberapa bulan, saya tidak lagi bergaul dengan rakan-rakan setugas sehinggalah pada suatu hari ada yang datang mengugut.

"Holdbrooks, awak tahu apa yang akan kami lakukan hari ini? Kami akan pecahkan kepala seorang Taliban di depan kamu sebab kamu selalu simpati terhadap mereka dan kami sama sekali tidak suka dengan sikap kamu itu," kata seorang rakan sejawat Mustafa.

Di saat para pengawal di situ adalah kaki minum dan suka melihat gambar-gambar porno, Mustafa benar-benar ingin mengetahui bagaimana para tahanan di penjara yang bagai neraka dunia itu mampu bertahan dan sentiasa menghadiahkan senyuman terhadapnya.

"Saya langsung tidak mengenali Islam sehinggalah saya bertugas di penjara Guantanamo. Ia bagaikan satu kejutan budaya. Namun saya ingin belajar banyak perkara dan guru terbaik ketika itu adalah para tahanan itu sendiri.

"Ini apabila saya banyak mengetahui mengenai politik, etika, moral dan mengenai kehidupan dan perbezaan budaya serta pelbagai lagi, sehinggakan kami mampu menghabiskan masa berjam-jam lamanya kerana seronok berbincang," kata Mustafa.

Pada mulanya sekadar ingin mengetahui, kini Mustafa menjadikan hari-harinya di penjara itu seperti berada di pusat pengajian dengan sekurang-kurangnya satu jam diperuntukkan untuk mempelajari mengenai Islam. Di samping beliau juga banyak belajar melalui laman sembang di Internet.

Di penjara itu, seorang tahanan yang dikenali sebagai 'Jeneral' yang berasal dari Maghribi, Ahmed Errachidi merupakan mentor kepada Mustafa. Ahmed Errachidi pernah menetap dan bertugas sebagai tukang masak di Britain selama 18 tahun.

'Jeneral' ditahan selama lima tahun di penjara itu hanya kerana beliau dikatakan pernah menjalani latihan ketenteraan Al-Qaeda. (Beliau kemudiannya dibebaskan setelah didapati tidak melakukan kesalahan).

"Saya dan Jeneral akan berbual berjam-jam lamanya, kami berbincang mengenai buku-buku yang dibaca, mengenai muzik, mengenai falsafah dan sehinggalah ke malam untuk kami berbicara mengenai agama pula," kata Mustafa.

Cukup enam bulan berada di penjara itu, Mustafa pada masa itu telah benar-benar bersedia. Pada 29 Disember 2003, dengan kehadiran 'Jeneral', beliau kemudiannya mengulangi dan melafazkan dua kalimah syahadah!

Maka pada tarikh itu mencatatkan seorang tentera AS yang diamanahkan mengawal tahanan yang kebanyakannya Muslim, akhirnya memeluk Islam.

Sejak itu, Mustafa berhenti minum arak, namun sukar baginya untuk menyempurnakan ibadat solat lima kali sehari semalam.

"Adalah sukar untuk saya mengerjakan solat tanpa rakan-rakan sejawat lain mengetahuinya kecuali saya selalu memberikan alasan saya hendak ke bilik air," jelasnya.

Namun hidup sebagai Islam kini lebih jauh menyeksakan Mustafa apabila beliau terus berhadapan dengan situasi-situasi tahanan-tahanan Islam yang diterus diseksa dengan pelbagai jenis dan tahap seksaan oleh para pegawai penjara.

"Telah menjadi tugas saya membawa para tahanan untuk disoal siasat dan menyaksikan sendiri mereka diseksa bagi memperoleh kononnya apa yang dikatakan sebagai maklumat.

"Saya melihat sendiri bagaimana tahanan yang diikat berjam-jam lamanya dengan kedudukan yang menakutkan kita melihatnya dalam sebuah bilik kecil yang sangat panas sehingga mencecah 50 hingga 60 darjah celsius," katanya.

Mustafa benar-benar tidak dapat menerima perbuatan kejam sesama manusia itu. Pada musim panas tahun berikutnya, iaitu pada 2004 Mustafa meninggalkan penjara itu dan dihentikan perkhidmatannya atas alasan menghadapi masalah kecelaruan personaliti yang teruk.

Sayangnya, Mustafa tidak mempunyai kekuatan dalaman bagi menghadapi segala macam yang berlaku ini. Apabila dipecat, beliau tenggelam punca dan tidak dapat menerima hakikat itu.

Beliau kembali kepada ketagihan arak sehingga perkahwinannya hancur dan hidupnya kembali berantakan.

"Semua ini akibat saya masih begitu diganggu mimpi-mimpi ngeri 'kehidupan' di penjara Guantanamo dan saya perlu mengambil masa sehingga tiga tahun lamanya untuk menghilangkan trauma Guantanamo daripada ingatan," katanya.

Kini beliau kembali semula kepada amalan dan ajaran Islam.

"Islam satu ajaran agama yang penuh disiplin, yang rejimennya merupakan satu kepercayaan yang teguh, yang menuntut segala usaha dan keyakinan yang kuat dan semua ini mungkin ditemui dalam dunia ketenteraan tetapi tidak sehebat sebagaimana yang ada dalam Islam," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Blog Widget by LinkWithin