Seringkali kita dengar ungkapan pekerjaan suatu ibadah, memang itulah hakikatnya sekiranya kita berniat melakukan kerja kita kerana Allah, kerana mencari rezeki yang halal untuk diri sendiri dan keluarga, serta kita melakukan kerja kita selari dengan kehendak syariat dan tidak juga meninggalkan suruhanNya sepanjang kita bekerja.

Cuma di sini saya ingin berkongsi satu aspek yang lain iaitu bekerja adalah kehidupan, atau bekerja adalah sebahagian besar dari kehidupan kita. Jika kita congak-congak, rata-rata kita bekerja sejak berusia 25 tahun sehinggalah pencen pada usia kira-kira 55 tahun, tempoh itu merangkumi 30 tahun dari usia kita. Andainya kita bekerja 20 hari sebulan dan 8 jam sehari, maka kita telah dan akan menghabiskan sisa usia kita selama kira-kira 57 600 jam seluruhnya.

Teringat saya sewaktu belajar subjek elektif Organizational Behaviour (OB) sewaktu di UIA dulu bagaimana dalam study case berkenaan syarikat-syarikat jenama besar dunia, mereka menyediakan satu suasana kehidupan yang hampir lengkap untuk pekerja-pekerja mereka bagi menjamin satu suasana bekerja yang selesa. Sehinggakan ada yang menyediakan seluruh prasarana untuk kehidupan dalam persekitaran kawasan kilang mereka. Dari kliniknya, kompleks sukan, kolam renang, padang golf, hampir lengkap suasana kehidupan dalam kawasan tempat mereka bekerja. Menunjukkan betapa pentingnya suasana bekerja dengan alam kehidupan pekerja.

Sewaktu saya mengambil subjek ini, saya tidak pernah terfikir akan mengimplementasikannya dalam kehidupan bekerja saya. Sekadar untuk melengkapkan kredit hour saja. Rupa-rupanya hari ini, saya mula tahu betapa pentingnya memahami organizational behaviour dalam mengurustadbir sesebuah syarikat. Kekadang ada pekerja atau majikan yang hanya pergi bekerja setiap hari nine-to-five sehingga menjadi rutin harian berpuluh-puluh tahun lamanya, dan keluarganya tidak tahu pun apa yang dilakukannya di tempat kerja begitu juga kakitangan pejabatnya tidak tahu pula apa dan bagaimana keadaan keluarganya. Kerjanya telah dipisahkan dengan kehidupannya.

Namun tidak dinafikan pula sudah banyak syarikat yang cuba menjadikan suasana bekerja dengan kehidupan pekerjanya berkaitan dan berada dalam keadaan selesa, sehinggakan ada juga syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan nursery bagi menjaga anak-anak untuk pekerja-pekerjanya. Ada juga syarikat-syarikat yang mempunyai persatuan-persatuan pekerja yang aktif dan melakukan pelbagai aktiviti sihat untuk pekerja dan keluarga pekerja. Di negara-negara maju, antara kriteria mencari pekerjaan selain gaji, tempat dan jawatan, yang dititikberatkan juga adalah benefits, atau kelebihan-kelebihan lain yang disediakan syarikat bagi melengkapi kehidupan pekerja tersebut.

Dalam usaha menimbulkan suasana erat di antara pekerja, majikan dan keluarga pekerja, syarikat-syarikat seringkali menganjurkan Hari Keluarga, Hari Sukan, Majlis Makan Malam Tahunan, dan dalam konteks syarikat yang Islamik boleh juga diadakan Majlis Tazkirah, Majlis kesyukuran, sambutan Aidilfitri dan seumpamanya. Program-program sebegini sangat penting bagi menjadikan suasana bekerja lebih dekat dengan kehidupan pekerja dan keluarga pekerja serta mengeratkan lagi ukhwah sesama pekerja dan keluarga pekerja.

Inteam Records Sdn Bhd (IRSB) juga tidak ketinggalan untuk cuba mewujudkan suasana bekerja yang hampir dengan kehidupan pekerja. IRSB Cuba mencontohi syarikat-syarikat Islamik yang telah maju seperti HPA dan Yayasan Al-Bukhari, kerana usaha-usaha seperti menggalakkan staf menunaikan solat duha, solat fardu berjemaah dan majlis tazkirah adalah satu perkara yang sangat perlu dilaksanakan syarikat-syarikat milik bumiputera Islam. Saya sendiri tertarik dengan keadaan suasana kerja di syarikat Galeri Ilmu yang mana stafnya bersolat berjemaah bersama-sama, turut cuba mengamalkan sedikit demi sedikit di IRSB.

Secara amnya, semakin besar syarikat dan semakin ramai kakitangannya, maka semakin beratlah menguruskan organizational behaviournya, dengan pelbagai ragam kakitangan dan pelbagai masalah yang timbul.

Inteam Records baru-baru ini menganjurkan Family Day kali keduanya di Corus Paradise Hotel, Port Dickson (tahun lepas di Beserah, Kuantan)dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama staf dan keluarga staf. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan baik dan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. Antara yang menarik ialah telematch atau sukaneka, Bola tampar pantai, dan Makan malam bertema Arabian Night beserta penganugerahan staf-staf dalam kategori, paling komited, paling rajin, paling serius, paling ceria, dan kedatangan paling baik.

Semoga usaha yang kecil ini, menjadi sebahagian implementasi subjek organizational behavior dan menimbulkan rasa selesa dan dihargai dikalangan pekerja IRSB, Insya Allah. Banyak lagi usaha-usaha yang cuba dilaksanakan, semoga ia dapat direalisasikan bagi menimbulkan suasana bekerja yang selesa dan lebih rapat dengan kehidupan pekerja.

Corus Paradise Hotel, Port Dickson


Pemandangan di Corus Paradise Hotel


Pemandangan di Corus Paradise Hotel


Bersama keluarga di pantai bersebelahan Corus Paradise


Fairus (P.R. merangkap designer) bersama anaknya


Anak-anak Inteam dan staf IRSB bermain bersama


Telematch "Can Fishing"


"Can Fishing"


Musical chair - acara untuk anak-anak staf


Anak-anak staf


Telematch "Dice Race"


Staf perempuan dan isteri-isteri staf


Acara wajib pasangan suami isteri - "Belon Kasih"


Bersantai bersama keluarga


Tema Arabian Nights


Sekeluarga dengan tema Arabian Nights


Anugerah staf paling komited untuk isteriku tercinta :-)


Pengarah Urusan IRSB - Encik Zam, Juara pakaian terbaik :-)


Seluruh staf dan keluarga yang hadir selepas makan malam dan BBQ


Staf-staf Inteam Records Sdn Bhd


Bergambar kenangan sebelum pulang
|
0 Responses
Blog Widget by LinkWithin