Sekadar ingin berkongsi satu pendapat dari Abu Zulfiqar a.k.a Alexanderwarthern.
Penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam Alkitab (Bible) dan tulisan-tulisan Kristian di Malaysia memang MENDATANGKAN KEKELIRUAN, bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada penganut agama Kristian (1) sendiri. Sepatutnya perkataan ‘Allah’ ataupun ‘Tuhan Allah’ digantikan sahaja dengan Tuhan, ataupun Yahweh, ataupun Yehovah, El, Eloah, Elohim ataupun apa saja istilah lain (umat Kristian tentu lebih tahu) yang ada kaitan dengan The Old Testament (Perjanjian Lama) dan The New Testament (Perjanjian Akhir). Apakah agama Kristian kekurangan perkataan hingga terpaksa menggunakan perkataan ‘Allah’ yang lebih sinonim dengan kitab suci Al-Quran (The Last Testament/ Perjanjian Akhir)? Ataupun… ada sesuatu di sebaliknya?
Sepatutnya perkataan ‘Allah’ tidak digunakan oleh penganut agama Kristian untuk menggambarkan Tuhan mereka walau di mana saja. Walau bagaimanapun, tulisan ini lebih menjurus dalam KONTEKS ‘MALAYSIA’.
Perlu kita fahami, Bahasa Melayu Malaysia ada banyak juga perbezaan berbanding Bahasa Melayu Indonesia. Contohnya ‘tewas’ di Malaysia bermaksud ‘kalah’ sedangkan di Indonesia bermaksud ‘mati’. Sebab itu jangan mudah-mudah menyebut ‘pemain badminton Indonesia telah tewas di tangan pemain Malaysia’ kepada saudara-saudara kita dari Indonesia- nanti ‘bisa bikin ribut’. : )
Di Malaysia, ‘Allah’ ialah Tuhan YANG ESA bagi orang-orang Islam (dan Tuhan Yang Esa bagi semua manusia). ‘Allah’ ini langsung tidak sama dengan makhluk. Sebelum mana-mana makhluk wujud, Dia sudah SEDIA ADA. Sebelum tempat, ruang, warna, kecerahan, gelap, bentuk, sempadan, rupa, arah dan lain-lain (yang semuanya makhluk) wujud (diciptakan-Nya), Dia sudah sedia ada. Apa sahaja yang terpengaruh dengan tempat, ruang, warna, kecerahan, gelap, bentuk, sempadan, rupa, arah dan lain-lain adalah makhluk. Apa sahaja yang lebih muda atau ‘datang kemudian’ daripada-Nya- bukan Allah. Begitulah hebatnya Allah, satu-satunya Tuhan sebenar.
Inilah sebahagian daripada ciri-ciri ‘Allah’ yang disebut dalam Perjanjian Terakhir- Al Quran. Dan Allah ini memiliki begitu banyak persamaan dengan Tuhan bagi umat Kristian yang berfahaman Unitary (Unitarian). (2)
Apabila penganut agama Kristian tempatan menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk ‘Tuhan’ mereka, memang menimbulkan masalah. Hal ini kerana sifat-sifat ‘Allah Kristian’ itu jauh berbeza dengan Allah. Jangan kita diperbodohkan oleh sebahagian golongan Iselam Liberal yang mendakwa Allah sebagai ‘Tuhan Sembahan’ semua agama.
Allah sebagai TUHAN SEBENAR SEMUA MANUSIA memang benar, tetapi mengatakan Allah sebagai TUHAN SEMBAHAN semua agama ternyata jauh menyimpang. Hanya Muslim yang menyembah Allah TUHAN SEMUA MANUSIA itu, yang tertera sifat-sifatnya sebagaimana yang dijelaskan di atas tadi. Sesiapa yang menyembah Tuhan yang memiliki semua sifat-sifat tersebut, maksudnya dia menyembah Allah. Jika Sembahannya itu tidak memiliki sifat-sifat itu, maksudnya dia menyembah SELAIN ALLAH. Jadi, sesiapa yang menyembah SELAIN ALLAH, sepatutnya gunakanlah nama lain bagi ‘Tuhan Sembahan’ mereka itu. Selesai masalah.
Kita sedia maklum, Tuhan Sembahan umat Kristian itu boleh dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan walaupun dikatakan ‘3 oknum dalam satu’. Jesus sebagai Tuhan menunggu wahyu di bumi, Roh Kudus sebagai Tuhan sedang turun ke bumi membawa wahyu manakala Bapa yang juga Tuhan sedang berada di syurga (3). Hal ini memang jelas bertentangan dengan ALLAH kerana Dia tidak dapat dipecah-pecahkan, dipisah-pisahkan atau dibahagi-bahagikan- Dia Esa (Satu).
Tuhan umat Kristian itu memerlukan ‘rehat’ selepas mencipta tetapi Allah tidak pernah berehat. Berehat adalah satu kelemahan. Tuhan Kristian pernah kalah bergusti dengan manusia tetapi Allah tidak pernah kalah. Tuhan sembahan Kristian tidak tahu di mana Adam menyorok tetapi Allah Maha Mengetahui. Sembahan Kristian itu dilahirkan tetapi Allah sudah sedia ada sebelum pembahagian, jasad dan ruang dicipta. Jesus yang Tuhan dan Roh Kudus yang juga Tuhan tidak tahu tarikh Kiamat sedangkan Allah Maha Mengetahui. Tuhan Sembahan itu boleh menyesal (menunjukkan Dia tidak Maha Mengetahui) sedangkan Allah mustahil menyesal kerana Dia Maha Mengetahui.
Lihatlah betapa jauh bezanya antara Allah dengan Tuhan Sembahan penganut agama Kristian. Kita tidak mahu umat Islam dan umat Kristian di negara ini terkeliru lalu menyangka yang mereka sedang MENYEMBAH TUHAN YANG SAMA. Persamaan yang wujud hanyalah Muslim dan Kristian percaya kewujudan Tuhan dan semua orang mesti menyembah Tuhan.
TAPI Islam dan Kristian ada begitu BANYAK PERSAMAAN jika ‘Allah’ yang dimaksudkan oleh Kristian itu ialah BAPA, sebagimana faham para Unitary. Sekiranya HENDAK SANGAT, Alkitab (Bible) dan tulisan-tulisan Kristian di Malaysia boleh saja menggunakan perkataan ‘Allah’ asalkan kena dengan tempatnya. Gantikan saja perkataan ‘Bapa’ dalam Bible dengan ‘Allah’. Jangan nisbahkan ‘Allah’ kepada Jesus ataupun Roh Kudus tetapi untuk Bapa sahaja.
“…biarlah dunia percaya yang Bapa (ALLAH) telah mengutus aku (Jesus).”
(Yohanes 17:21)
“Bapa (ALLAH) yang mengutus aku (Jesus), Dialah yang bersaksi tentang aku, kamu tidak pernah mendengar suara-Nya, rupa-Nya pun tidak pernah kamu lihat.”
(Yohanes 5:37)
“Namun akan hari (terjadi)nya (kiamat) atau ketikanya itu tidak diketahui oleh seorang jua pun, baik segala malaikat yang di syurga pun tidak, anak (Jesus) itu pun tidak, HANYALAH BAPA (ALLAH) SAHAJA.”
(Markus 13: 32)
“Jika kamu mengasihi aku, kamu akan bersukacita kerana aku pergi kepada Bapa (ALLAH), oleh sebab Bapa (ALLAH) lebih besar daripada aku."
(Yohanes 14:28)
"Setelah berkata demikian, Jesus mengadah ke langit lalu berkata, "Ya Bapa (ALLAH), sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa (Allah)""
(Yohanes 17:1)
Bagaimana? …
Kalau penganut agama Kristian berasa keberatan, maka kita kembali saja kepada Kitab Suci agama masing-masing. Umat Islam menggunakan nama ‘Allah’ sebagaimana yang tertera dalam Kitab Suci Al-Quran, manakala umat Kristian gunakan nama Tuhan yang ada dalam Bible Ibrani ataupun Aramaic-yang pastinya tidak ditulis sebagai ‘Allah’. Kan selesai dengan aman? Mengapa tidak mahu menggunakan nama Tuhan dalam Kitab Suci sendiri?
Sumber di edit dari http://myalexanderwathern.blogspot.com/2008/11/boleh-gunakan-allah-asalkan.html
Apa yang ana faham, hanya penganut Kristian unitary yang percaya Allah itu satu sahaja yang layak merujuk tuhan di dalam Bible mereka kepada Allah. Masih terdapat segelintir penganut Kristian Unitary di Bumi Mesir.
Manakala penganut Kristian Trinity yang menganggap tuhan itu tiga, tidak layak merujuk kalimah tuhan mereka kepada Allah. Ia pastinya salah dan mengelirukan.
Bayangkan kalau penganut Budha atau Hindu pula mengaku mereka menyembah Allah dan menggambarkannya seperti rupa patung Budha atau patung hindu mereka dan mereka menuntut untuk merujuk nama patung itu kepada Allah, nauzubillahi minzaalik. Maha suci Allah dari sebarang rupa bentuk yang digambarkan manusia.
Apa yang menyedihkan, kes ini telah pun selesai oleh mahkamah sivil, dan dihakimi pula oleh bukan Islam. Dan pastinya kes ini akan menjadi rujukan dalam kes-kes lain yang mungkin akan ditimbulkan di kemudian hari.
Bayangkan satu hari nanti, anak-anak kita yang menginap di hotel membuka laci hotelnya yang disertakan terjemahan Al-Quran dan terjemahan Bible menggunakan nama Allah, kemungkinan mereka akan terpengaruh dan terkeliru dan mungkin pula akan menyamakan kedua-dua agama ini. Nauzubillahi minzaalik.
Kita mohon doa dari Allah, semoga dilindungi kesucian agama Islam yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya ini. Dan pastinya Allah akan mebantu kita... amiinn...
Wallahu a'lam.
Artikel ini saya postkan sebagai respon kepada isu terbaru berikut:
Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 31 Dis. – Gereja Katolik dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata, Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya.
Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.
Hakim tersebut juga bersependapat dengan pemohon bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah.
Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam penghakiman lisannya, hakim itu menyatakan, perintah larangan yang dikeluarkan menyatakan penggunaan perkataan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam serta menggugat ketenteraman negara.
‘‘Pihak responden dalam hujahnya bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti bagaimana penggunaan perkataan Allah boleh mengganggu ketenteraman awam,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan, keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan itu menggunakan perkataan ‘Allah’ adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
Hakim Bee Lan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik yang difailkan melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Gereja Katolik antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan Allah dalam Herald-The Catholic Weekly adalah menyalahi undang-undang dan perkataan Allah bukan eksklusif untuk kegunaan agama Islam sahaja.
Sejurus keputusan itu diumumkan, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said meminta penjelasan sama ada ketetapan tersebut mempengaruhi permit penerbitan berkenaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2010.
Ini kerana, katanya, permohonan itu dibuat berdasarkan larangan terhadap permit bertarikh 1 Januari hingga 31 Disember 2009.
Peguam Porres Royan yang mewakili gereja itu sebaliknya menyatakan keputusan telah pun dikeluarkan hari ini dan terpulang kepada pihak-pihak yang terlibat untuk mentafsirkannya.