Berikut adalah artikel dari akhbar yang menyebut tentang fatwa kebangsaan berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain di Malaysia.


10 negeri ada larangan guna perkataan Allah

Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my

SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan umat Islam.

Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Abdul Halem Hapiz Salihin, berkata keputusan itu akan meletakkan pemohon iaitu gereja Katolik sebagai pihak yang melakukan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 9 enakmen berkenaan.

Katanya, ia berikutan tindakannya menggunakan kalimah Allah iaitu yang menjadi satu perkataan bersumberkan Islam yang disenaraikan dalam bahagian I jadual enakmen itu yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam.

Sepuluh negeri mempunyai peruntukan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam mengikut enakmen itu kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

"Penghakiman ini juga bertentangan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang menyatakan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan jika ada unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya bagi pihak majlis itu dalam kenyataan media di sini, semalam.

Mais berkata, bagi memastikan masyarakat Islam jelas mengenainya, majlis itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memberi penerangan secara berperingkat di seluruh negeri.

Pada peringkat awal, katanya, imam di masjid negeri dan masjid di sembilan daerah di negeri ini akan membacakan khutbah Jumaat berkaitan isu itu esok.

Dipetik dari : berita harian


Satu lagi sumber dari akhbar pandangan ulama tentang isu ini:

'Umat Islam sokong keputusan Mahkamah Tinggi adalah kufur'

BANGI: Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menegaskan, mana-mana umat Islam yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Tokoh ulama itu berkata, melalui kaedah yang dipakai dalam ilmu akidah, tindakan bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh agama Kristian itu membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai tuhan sebagai Triniti iaitu terdiri daripada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus.

"Dalam Islam, Allah adalah Esa (satu). Kalau ada yang menyekutukan Allah dengan Triniti, maka berlakulah syirik yang membawa kepada kufur. Kalau kita reda dengan yang kufur, kita jatuh kufur sama," katanya pada sidang media di rumahnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa laman blog termasuk milik pemimpin politik yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad melalui blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan mahkamah itu atas alasan Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaannya.

Haron berkata, walaupun wujud perbezaan pandangan dalam hal siasah dan politik, namun dalam hal berkaitan agama, semua umat Islam mesti bersatu dan berbalik kepada kaedah agama.

sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20100105014144/Article/

Lagi pandangan ulama':

Bukan Islam tidak boleh guna Allah: Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain pada masa kini tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Nik Abdul Aziz berkata, bagaimanapun dari segi hukum, Islam membenarkan agama ‘samawi’ (agama dari langit) seperti Kristian, Nasrani dan Yahudi menggunakan kalimah tersebut.

“Sebenarnya dari segi hukum, penggunaan kalimah Allah pada pengamal agama ‘samawi’ memang boleh. Dalam al-Quran terlalu banyak yang sebut tetapi dibimbangkan dan takut disalah guna. Jadi lebih baik kita berhenti dari membenarkan agama lain guna perkataan Allah. Dari sebab tu dalam fikah ada sebut kita boleh sekat orang bukan Islam guna perkataan Allah walaupun benda tu harus.

“Penggunaan kalimah Allah pada masa sekarang oleh golongan bukan Islam tidak boleh kerana dikhuatiri disalah gunakan oleh pihak tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pejabat baru Urus setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri di sini semalam.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tidak ada rundingan di antara Islam dan Kristian dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik menyebabkan ia menjejas sensitiviti rakyat di negara ini.

“Kita bimbang dan takut perkataan Allah ini disalahgunakan sehingga menyebabkan orang Melayu beragama Islam keliru...dia kata sana Allah, sini pun Allah. Sehinggakan akhir-akhir ini saya dengar gereja pun minta dipanggil masjid Kristian.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah

Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi, Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan 'Herald-The Catholic Weekly' menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Sehubungan itu, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya satu badan rundingan ditubuhkan di antara Kristian dan Islam untuk mengadakan perbincangan secepat mungkin.

“Biar ada badan di negara ini berunding di antara ulama Islam dengan paderi Kristian tajuk dia, tidak kena di mana Islam. Majlis rundingan tersebut boleh dianjurkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau kerajaan sendiri secara terbuka atau tertutup.

“Kalau kita biar Kristian dengan Kristian dan Islam dengan Islam akan timbullah masalah seperti ini. Orang kita tidak suka berdepan begini. Saya bersetuju untuk hadir sebagai ahli panel sekiranya dijemput. Ini adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Ehsan:http://www.sinarharian.com.my/com/content/story6324096.asp


Pandangan ketua Pengarah JAKIM:

Jakim mahu ketua paderi guna kebijaksanaan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu Ketua Paderi Katolik, Murphy Pakiam menggunakan kebijaksanaan supaya tidak menggunakan kalimah Allah, bagi menghormati Islam sebagai agama Persekutuan seperti mentaati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata selain kes berkenaan belum muktamad dan masih dalam proses kehakiman, sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan wajib diambil kira.

Beliau berkata, semua bertanggungjawab menyekat ruang bagi kelompok ekstremis bergerak dalam pertubuhan agama masing-masing.

"Keharmonian di Malaysia perlu dihargai bersama dan nasihat Perdana Menteri perlu diberi perhatian berat.

"Jakim hairan kerana dalam Perlembagaan, Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi kelihatan agama lain yang lebih diraikan.

"Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini perlu dijunjung dan dihormati semua sebagaimana mentaati Yang di-Pertua Agong sebagai ketua negara, begitu juga kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Raja bagi seluruh rakyat dan bukan untuk kaum keturunannya saja," katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Wan Mohamad berkata, semua pihak perlu memahami realiti negara ini apabila pengundi yang tidak pernah seumur hidupnya mengundi parti pimpinan Perdana Menteri mesti menerima kenyataan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak supaya memahami dan menghayati realiti serta menjunjung semangat Perlembagaan.

"Bagi umat Islam, apapun pandangan penganut lain mengenai lafaz Allah, ia adalah lafaz suci yang merujuk kepada Tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.


JAWATANKUASA FATWA PERAK:

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERAK MENGENAI : PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH HANYA MERUJUK KEPADA TUHAN YANG MAHA ESA DALAM AGAMA ISLAM SAHAJA

1. Berikut adalah keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang telah bersidang buat kali 178 pada 17 Julai 2008 bersamaan 14 Rejab 1429 H :

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang telah bersidang buat kali 178 pada 17 Julai 2008 bersamaan 14 Rejab 1429 bersetuju untuk mewartakan perkara berikut:

a) Penggunaan Kalimah Allah hanya dikhususkan kepada umat Islam

b) Mana-mana penganut selain daripada penganut agama Islam adalah dilarang daripada menggunakan Kalimah Allah untuk sebarang tujuan atau maksud

c) Orang-orang yang bukan beragama Islam adalah dilarang daripada menggunakan kalimah Allah dalam apa jua penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan sebagainya.

2. ASAS-ASAS PERTIMBANGAN :

2.1 Penggunaan kalimah Allah kepada umat Kristian atau bangsa-bangsa yang lain adalah tidak bertepatan dan selari dengan prinsip-prinsip al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah agama Islam. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran :

أن الدين عند الله الإسلام

maksud : Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam.

2.2 Pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Muslim atas tujuan maslahat dakwah Islamiyah tidak dapat diterima kerana banyak lagi kaedah atau cara lain yang boleh digunakan untuk tujuan maslahat dakwah selain daripada penggunaan kalimah Allah oleh Non Muslim.

2.3 Roh Kalimah Allah bukan sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.

2.4 Memberi kelonggaran kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah akan menimbulkan salahfaham di kalangan umat Islam. Hasilnya akan ada umat Islam akan menyangka ‘Allah’ di dalam agama-agama yang lain adalah sama dalam agama Islam.

2.5 Akan menyemarakkan lagi api Pluralisme dan Liberalisme Beragama di kalangan masyarakat di Malaysia.

2.6 Perkara ini adalah atas asas Siasah Syari’ah yang merupakan peluang bagi pemerintah Islam di negara Islam yang mempunyai kuasa untuk menjaga akidah Ummat daripada sebarang ancaman.

3. KESAN-KESAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH BUKAN MUSLIM

1. Berpotensi menjejaskan akidah dan pemikiran umat Islam yang kebanyakan kurang mantap.

2. Berpotensi menimbulkan salah faham kepada umat Islam dan umat-umat yang lain.

3. Boleh menimbulkan rasa tidak senang dan suasana tidak sihat di kalangan umat Islam dan orang bukan Islam.

4. Boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat awam dan komuniti Islam.

5. Boleh menyemarakkan lagi fahaman Pluralisme dan Liberalisme di kalangan masyarakat di negara ini.

6. Membantu menyemarakkan lagi penyebaran fahaman salah oleh pendakyah Kristian atau pendakyah agama-agama yang lain.

|
0 Responses
Blog Widget by LinkWithin