Seringkali kita dengar ungkapan pekerjaan suatu ibadah, memang itulah hakikatnya sekiranya kita berniat melakukan kerja kita kerana Allah, kerana mencari rezeki yang halal untuk diri sendiri dan keluarga, serta kita melakukan kerja kita selari dengan kehendak syariat dan tidak juga meninggalkan suruhanNya sepanjang kita bekerja.

Cuma di sini saya ingin berkongsi satu aspek yang lain iaitu bekerja adalah kehidupan, atau bekerja adalah sebahagian besar dari kehidupan kita. Jika kita congak-congak, rata-rata kita bekerja sejak berusia 25 tahun sehinggalah pencen pada usia kira-kira 55 tahun, tempoh itu merangkumi 30 tahun dari usia kita. Andainya kita bekerja 20 hari sebulan dan 8 jam sehari, maka kita telah dan akan menghabiskan sisa usia kita selama kira-kira 57 600 jam seluruhnya.

Teringat saya sewaktu belajar subjek elektif Organizational Behaviour (OB) sewaktu di UIA dulu bagaimana dalam study case berkenaan syarikat-syarikat jenama besar dunia, mereka menyediakan satu suasana kehidupan yang hampir lengkap untuk pekerja-pekerja mereka bagi menjamin satu suasana bekerja yang selesa. Sehinggakan ada yang menyediakan seluruh prasarana untuk kehidupan dalam persekitaran kawasan kilang mereka. Dari kliniknya, kompleks sukan, kolam renang, padang golf, hampir lengkap suasana kehidupan dalam kawasan tempat mereka bekerja. Menunjukkan betapa pentingnya suasana bekerja dengan alam kehidupan pekerja.

Sewaktu saya mengambil subjek ini, saya tidak pernah terfikir akan mengimplementasikannya dalam kehidupan bekerja saya. Sekadar untuk melengkapkan kredit hour saja. Rupa-rupanya hari ini, saya mula tahu betapa pentingnya memahami organizational behaviour dalam mengurustadbir sesebuah syarikat. Kekadang ada pekerja atau majikan yang hanya pergi bekerja setiap hari nine-to-five sehingga menjadi rutin harian berpuluh-puluh tahun lamanya, dan keluarganya tidak tahu pun apa yang dilakukannya di tempat kerja begitu juga kakitangan pejabatnya tidak tahu pula apa dan bagaimana keadaan keluarganya. Kerjanya telah dipisahkan dengan kehidupannya.

Namun tidak dinafikan pula sudah banyak syarikat yang cuba menjadikan suasana bekerja dengan kehidupan pekerjanya berkaitan dan berada dalam keadaan selesa, sehinggakan ada juga syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan nursery bagi menjaga anak-anak untuk pekerja-pekerjanya. Ada juga syarikat-syarikat yang mempunyai persatuan-persatuan pekerja yang aktif dan melakukan pelbagai aktiviti sihat untuk pekerja dan keluarga pekerja. Di negara-negara maju, antara kriteria mencari pekerjaan selain gaji, tempat dan jawatan, yang dititikberatkan juga adalah benefits, atau kelebihan-kelebihan lain yang disediakan syarikat bagi melengkapi kehidupan pekerja tersebut.

Dalam usaha menimbulkan suasana erat di antara pekerja, majikan dan keluarga pekerja, syarikat-syarikat seringkali menganjurkan Hari Keluarga, Hari Sukan, Majlis Makan Malam Tahunan, dan dalam konteks syarikat yang Islamik boleh juga diadakan Majlis Tazkirah, Majlis kesyukuran, sambutan Aidilfitri dan seumpamanya. Program-program sebegini sangat penting bagi menjadikan suasana bekerja lebih dekat dengan kehidupan pekerja dan keluarga pekerja serta mengeratkan lagi ukhwah sesama pekerja dan keluarga pekerja.

Inteam Records Sdn Bhd (IRSB) juga tidak ketinggalan untuk cuba mewujudkan suasana bekerja yang hampir dengan kehidupan pekerja. IRSB Cuba mencontohi syarikat-syarikat Islamik yang telah maju seperti HPA dan Yayasan Al-Bukhari, kerana usaha-usaha seperti menggalakkan staf menunaikan solat duha, solat fardu berjemaah dan majlis tazkirah adalah satu perkara yang sangat perlu dilaksanakan syarikat-syarikat milik bumiputera Islam. Saya sendiri tertarik dengan keadaan suasana kerja di syarikat Galeri Ilmu yang mana stafnya bersolat berjemaah bersama-sama, turut cuba mengamalkan sedikit demi sedikit di IRSB.

Secara amnya, semakin besar syarikat dan semakin ramai kakitangannya, maka semakin beratlah menguruskan organizational behaviournya, dengan pelbagai ragam kakitangan dan pelbagai masalah yang timbul.

Inteam Records baru-baru ini menganjurkan Family Day kali keduanya di Corus Paradise Hotel, Port Dickson (tahun lepas di Beserah, Kuantan)dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama staf dan keluarga staf. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan baik dan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. Antara yang menarik ialah telematch atau sukaneka, Bola tampar pantai, dan Makan malam bertema Arabian Night beserta penganugerahan staf-staf dalam kategori, paling komited, paling rajin, paling serius, paling ceria, dan kedatangan paling baik.

Semoga usaha yang kecil ini, menjadi sebahagian implementasi subjek organizational behavior dan menimbulkan rasa selesa dan dihargai dikalangan pekerja IRSB, Insya Allah. Banyak lagi usaha-usaha yang cuba dilaksanakan, semoga ia dapat direalisasikan bagi menimbulkan suasana bekerja yang selesa dan lebih rapat dengan kehidupan pekerja.

Corus Paradise Hotel, Port Dickson


Pemandangan di Corus Paradise Hotel


Pemandangan di Corus Paradise Hotel


Bersama keluarga di pantai bersebelahan Corus Paradise


Fairus (P.R. merangkap designer) bersama anaknya


Anak-anak Inteam dan staf IRSB bermain bersama


Telematch "Can Fishing"


"Can Fishing"


Musical chair - acara untuk anak-anak staf


Anak-anak staf


Telematch "Dice Race"


Staf perempuan dan isteri-isteri staf


Acara wajib pasangan suami isteri - "Belon Kasih"


Bersantai bersama keluarga


Tema Arabian Nights


Sekeluarga dengan tema Arabian Nights


Anugerah staf paling komited untuk isteriku tercinta :-)


Pengarah Urusan IRSB - Encik Zam, Juara pakaian terbaik :-)


Seluruh staf dan keluarga yang hadir selepas makan malam dan BBQ


Staf-staf Inteam Records Sdn Bhd


Bergambar kenangan sebelum pulang

NAMA Terry Holdbrooks, mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi. Seluruh dunia mengenali beliau sebaik sahaja kisahnya tersiar dalam majalah Newsweek keluaran Mac lalu.

Kisahnya berjaya menyingkapkan banyak lagi 'kejahatan' yang diciptakan oleh Amerika Syarikat (AS) walaupun atas nama pusat tahanan.

Kem Tahanan Tentera Teluk Guantanamo Cuba diwujudkan bagi menjadi pusat pengumpulan hasil buruan AS dalam gerakan Perang Terhadap Keganasan (War On Terror) setelah pertahanan negara itu diaibkan dengan tragedi 11 September 2001.

Namun kepada Holdbrooks, seluruh hidupnya berubah 360 darjah apabila penjara yang 'wajib' ditutup itu akhirnya menjadi saksi lafaz kalimah syahadah dengan penuh ketulusan hati yang suci bersih untuk menerima Islam.

Tidakkah sebagai pengawal penjara, Holdbrooks bertanggungjawab untuk menyeksa para tahanan yang hampir kesemuanya umat Islam, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya?

Seawal usia 19 tahun, pada musim panas tahun 2003, Holdbrooks melaporkan diri sebagai pengawal di Penjara Guantanamo itu. Usia mudanya diwarnai dengan kegemaran minum arak, mendengar muzik rock dan mencacahkan badan dengan segala macam tatu. Sebabnya, semua itu menjadi sebahagian kehidupan bagi mereka yang tidak mempercayai tuhan seperti anak muda ini!

Hanya setahun selepas itu, beliau menyebabkan banyak pihak terpana kehairanan, sekali gus memenangi hati dan menerima penghormatan daripada para tahanan apabila pada suatu malam yang hening, Holdbrooks memeluk Islam dengan kehadiran salah seorang tahanan yang menjadi mentornya selaku saksi.

Beliau yang kini lebih dikenali sebagai Mustafa Abdullah ketika ditemuramah oleh Newsweek memberikan penampilan yang cukup berbeza. Dengan mengenakan jubah panjang, berkopiah hitam, berjanggut tebal walaupun di bahagian kanan lengannya masih ketara tatu yang bertulis: By Demons Be Driven.

Mustafa yang dilahirkan di Arizona, AS, dibesarkan secara tidak sempurna apabila ibu bapanya berpisah ketika umurnya tujuh tahun.

Datuk dan neneknya yang dahulunya pengikut Hippies mengambil alih tanggungjawab sebagai orang tua kepada Mustafa.

Akibat tidak tahan dihimpit kemiskinan, di samping mempunyai keinginan yang kuat untuk menjenguk dunia yang lebih luas, akhirnya Mustafa menyertai pasukan tentera AS.

Beliau kemudiannya ditempatkan di 253rd Military Police Company bagi membantu kerja-kerja pentadbiran sebelum dihantar bertugas di penjara Guantanamo itu.

Sebelum dihantar ke sana, Mustafa mematuhi arahan mengikuti kursus dua minggu sebagai persediaan penting bagi menghadapi tugas dan suasana di penjara itu.

Kesemua petugas baru tersebut turut dibawa melawat ke tapak Ground Zero dan tidak sedikitpun dijelaskan mengenai Islam.

"Kami juga dikehendaki menyaksikan rakaman video kejadian 11/9 dan dihasut bahawa tahanan-tahanan Guantanamo yang bakal kami hadapi adalah paling teruk.

"Tahanan itu semua terdiri daripada pemandu Osama (ben Laden), tukang masak Osama dan pantang ada peluang semua mereka ini akan membunuh kamu, kata para pegawai tentera kepada kami," kata Mustafa.

Tanpa banyak soal, Mustafa hanya menelan apa sahaja doktrin-doktrin jahat itu. Namun setibanya beliau di penjara itu, pada hari pertama itu sahaja beliau terus dihurung pertanyaan.

"Ini apabila tahanan pertama yang saya temui hanyalah seorang budak berusia 16 tahun. Logikkah dalam usia semuda ini, budak itu dicap sebagai pengganas? Sedangkan budak ini tidak pernah kenal pun laut, malah lebih teruk lagi tidak tahu pun bahawa bumi ini adalah bulat," katanya.

Dalam hatinya Mustafa terus bergumpal dengan pelbagai pertanyaan soal kemungkinan anak itu mengetahui rencana dunia gagasan pemerintah AS bernama War on terror.

Di penjara itu, Mustafa menjalankan tugas-tugas seperti membersihkan kawasan, memungut sampah, memeriksa blok-blok tahanan bagi memastikan para tahanan tidak bertukar-tukar sebarang objek serta membawa tahanan disoal siasat di bangunan lain.

Namun tugas-tugas itu membolehkan Mustafa berbual-bual dengan para tahanan. Beliau pada masa itu tidak membataskan hubungan dengan sesiapa termasuk dengan para tahanan. Namun tidak dinafikan sikap sedemikian menyebabkan ada pihak yang kurang senang.

Beliau mengakui tidak mempunyai rasa hormat terhadap rakan-rakan sejawatan kerana mereka semua adalah kaki botol, kaki rokok, perkauman, terlalu taksub dan berfikiran sempit serta mematuhi segala arahan secara membuta tuli.

"Dalam tempoh beberapa bulan, saya tidak lagi bergaul dengan rakan-rakan setugas sehinggalah pada suatu hari ada yang datang mengugut.

"Holdbrooks, awak tahu apa yang akan kami lakukan hari ini? Kami akan pecahkan kepala seorang Taliban di depan kamu sebab kamu selalu simpati terhadap mereka dan kami sama sekali tidak suka dengan sikap kamu itu," kata seorang rakan sejawat Mustafa.

Di saat para pengawal di situ adalah kaki minum dan suka melihat gambar-gambar porno, Mustafa benar-benar ingin mengetahui bagaimana para tahanan di penjara yang bagai neraka dunia itu mampu bertahan dan sentiasa menghadiahkan senyuman terhadapnya.

"Saya langsung tidak mengenali Islam sehinggalah saya bertugas di penjara Guantanamo. Ia bagaikan satu kejutan budaya. Namun saya ingin belajar banyak perkara dan guru terbaik ketika itu adalah para tahanan itu sendiri.

"Ini apabila saya banyak mengetahui mengenai politik, etika, moral dan mengenai kehidupan dan perbezaan budaya serta pelbagai lagi, sehinggakan kami mampu menghabiskan masa berjam-jam lamanya kerana seronok berbincang," kata Mustafa.

Pada mulanya sekadar ingin mengetahui, kini Mustafa menjadikan hari-harinya di penjara itu seperti berada di pusat pengajian dengan sekurang-kurangnya satu jam diperuntukkan untuk mempelajari mengenai Islam. Di samping beliau juga banyak belajar melalui laman sembang di Internet.

Di penjara itu, seorang tahanan yang dikenali sebagai 'Jeneral' yang berasal dari Maghribi, Ahmed Errachidi merupakan mentor kepada Mustafa. Ahmed Errachidi pernah menetap dan bertugas sebagai tukang masak di Britain selama 18 tahun.

'Jeneral' ditahan selama lima tahun di penjara itu hanya kerana beliau dikatakan pernah menjalani latihan ketenteraan Al-Qaeda. (Beliau kemudiannya dibebaskan setelah didapati tidak melakukan kesalahan).

"Saya dan Jeneral akan berbual berjam-jam lamanya, kami berbincang mengenai buku-buku yang dibaca, mengenai muzik, mengenai falsafah dan sehinggalah ke malam untuk kami berbicara mengenai agama pula," kata Mustafa.

Cukup enam bulan berada di penjara itu, Mustafa pada masa itu telah benar-benar bersedia. Pada 29 Disember 2003, dengan kehadiran 'Jeneral', beliau kemudiannya mengulangi dan melafazkan dua kalimah syahadah!

Maka pada tarikh itu mencatatkan seorang tentera AS yang diamanahkan mengawal tahanan yang kebanyakannya Muslim, akhirnya memeluk Islam.

Sejak itu, Mustafa berhenti minum arak, namun sukar baginya untuk menyempurnakan ibadat solat lima kali sehari semalam.

"Adalah sukar untuk saya mengerjakan solat tanpa rakan-rakan sejawat lain mengetahuinya kecuali saya selalu memberikan alasan saya hendak ke bilik air," jelasnya.

Namun hidup sebagai Islam kini lebih jauh menyeksakan Mustafa apabila beliau terus berhadapan dengan situasi-situasi tahanan-tahanan Islam yang diterus diseksa dengan pelbagai jenis dan tahap seksaan oleh para pegawai penjara.

"Telah menjadi tugas saya membawa para tahanan untuk disoal siasat dan menyaksikan sendiri mereka diseksa bagi memperoleh kononnya apa yang dikatakan sebagai maklumat.

"Saya melihat sendiri bagaimana tahanan yang diikat berjam-jam lamanya dengan kedudukan yang menakutkan kita melihatnya dalam sebuah bilik kecil yang sangat panas sehingga mencecah 50 hingga 60 darjah celsius," katanya.

Mustafa benar-benar tidak dapat menerima perbuatan kejam sesama manusia itu. Pada musim panas tahun berikutnya, iaitu pada 2004 Mustafa meninggalkan penjara itu dan dihentikan perkhidmatannya atas alasan menghadapi masalah kecelaruan personaliti yang teruk.

Sayangnya, Mustafa tidak mempunyai kekuatan dalaman bagi menghadapi segala macam yang berlaku ini. Apabila dipecat, beliau tenggelam punca dan tidak dapat menerima hakikat itu.

Beliau kembali kepada ketagihan arak sehingga perkahwinannya hancur dan hidupnya kembali berantakan.

"Semua ini akibat saya masih begitu diganggu mimpi-mimpi ngeri 'kehidupan' di penjara Guantanamo dan saya perlu mengambil masa sehingga tiga tahun lamanya untuk menghilangkan trauma Guantanamo daripada ingatan," katanya.

Kini beliau kembali semula kepada amalan dan ajaran Islam.

"Islam satu ajaran agama yang penuh disiplin, yang rejimennya merupakan satu kepercayaan yang teguh, yang menuntut segala usaha dan keyakinan yang kuat dan semua ini mungkin ditemui dalam dunia ketenteraan tetapi tidak sehebat sebagaimana yang ada dalam Islam," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Aidilfitri dan Aidiladha dua perayaan besar umat Islam yang disambut meriah dengan cara tersendiri bagi setiap perayaan. Seperti yang kita semua sedia maklum, Aidilfitri disambut untuk meraikan kemenangan dan kejayaan sebulan berpuasa manakala Aidiladha pula disambut sempena pengorbanan dan mujahadah umat Islam mengerjakan Ibadah haji di Mekah berdasarkan sirah nabi kita Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad S.A.W. juga mengambil pengajaran dari Sirah pengorbanan jiwa raga Nabi Ismail yang sanggup disembelih demi mematuhi perintah Allah S.W.T.

Apa yang nak dikongsikan di sini bukanlah dari sudut sirah atau sudut hukum cuma mengajak kita menyingkap cara kita umat Islam menyambut kedua-dua perayaan ini yang kelihatannya terlebih meriah pada Aidilfitri dan kurang meriah pada Aidiladha. Penulis terkenang zaman persekolahan di mana setiap kali pulang dari kampung menyambut Aidiladha, hati akan tersentuh dan sayu apabila sama-sama melaungkan takbir di surau sekolah bersama-sama sahabat di asrama kerana masih belum puas menyambut hari raya di kampung halaman bersama keluarga tercinta. Sudah menjadi kebiasaan, cuti untuk Aidilfitri selalunya hingga ke seminggu dan lebih, tetapi cuti untuk Aidiladha kekadang hanya sehari dan sebanyak-banyaknya 2 hari.

Sedangkan apabila kita memandang dari sudut haramnya kita berpuasa pada 1 Syawal untuk kita merayakan hari tersebut, maka pastilah lebih besar sambutan yang sepatutnya kita raikan bagi Aidiladha yang diharamkan kita berpuasa 4 hari termasuk 3 hari tasyrik. Jika dilihat dari sudut nisbahnya, jelaslah Aidilfitri nisbah Aidiladha bersamaan dengan 1:4.

Tidaklah menjadi kesalahan kita meraikan kedua-dua perayaan ini dengan cara kemeriahan kita sendiri, cuma kekadang kita terlebih menumpukan kepada Aidilfitri sehingga seolah-olah Aidilfitri ini dirayakan sebulan lamanya dan Aidiladha hanya berlalu sehari sahaja, bahkan apabila kita pulang dari bercuti, kita sebenarnya masih lagi berada dalam suasana Aidiladha dan masih disunatkan bertakbir raya walaupun pada ketika itu kita sudah pun kembali bersekolah atau kembali ke tempat kerja masing-masing. Sedangkan ibadah penyembelihan korban pun sepatutnya boleh berjalan sepanjang empat hari ini.

Mungkin sering kita dengar bahawa sambutan Aidiladha lebih meriah disambut di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, maka marilah kita sama-sama cuba untuk memeriahkan kedua-dua perayaan ini dengan kadar yang sepatutnya bagi setiap perayaan. Eloklah kiranya amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan di musim perayaan Aidilfitri diamalkan juga dalam suasana Aidiladha, dan majlis rumah terbuka yang popular di bulan Syawal itu juga, tidak salah kalau kita laksanakan di bulan Zulhijjah ini untuk meraikan tetamu dari kalangan jiran tetangga dan sanak-saudara, lebih-lebih lagi jika kita mengambil bahagian dalam ibadah korban, maka dapatlah pula kita menjamu para tetamu dengan bahagian daging korban yang kita sertai.

Hakikatnya kedua-dua perayaan ini adalah hari meraikan kejayaan dan pengorbanan umat Islam seluruhnya. Sekadar untuk renungan penulis..
Alhamdulillah, sekali lagi inteam berpeluang bertemu dan bekerjasama dengan Opick, penyanyi dakwah terkenal dari Indonesia yang telah melalui transformasi dari dunia rock ke dunia nasyid. Mungkin ramai yang lebih mengenali lagu ciptaan beliau "DEALOVA" daripada mengenali personilnya sendiri.



Sesungguhnya peluang bersama beliau sarat terisi dengan nasihat dan pedoman dari pengalaman beliau yang sudi dikongsikannya dengan kami. Apa yang ana boleh katakan di sini, hampir setiap patah kata yang keluar dari mulut beliau sepanjang berbual dengan kami merupakan bait-bait puisi, falsafah dan kata-kata hikmah yang boleh dijadikan pedoman bersama. Intonasi beliau bercakap yang kekadang perlahan dan kekadang tegas menambahkan lagi kesan daripada kata-katanya.


Antara pesanan Opick kepada Inteam; "Teruskanlah perjuangan kalian dalam dakwah melalui seni ini walaupun hanya tinggal seorang yang mendengar lagu kalian", kerana menurut beliau lagi kita tidak boleh memaksa atau mengawal secara menyeluruh anak-anak kita melihat dan mendengar apa-apa yang dihidangkan dunia hiburan melalui corong radio dan televisyen, tetapi kita perlu menyediakan alternatif bagi mereka supaya mereka tahu ada juga hiburan dan seni yang baik dan membawa nilai positif serta mendekatkan diri kepada mengingati Allah dan mencintai Rasulullah S.A.W.



Opick yang mendapat tawaran kontrak dari syarikat Awakening, U.K., di mana bernaungnya artis antarabangsa Sami Yusuf suatu masa dulu, terpaksa menolaknya, kerana menurut beliau, beliau tidak fasih berbahasa Inggeris atau Arab.


Ketika menceritakan tentang pembikinan Filem pertama terbitan beliau; Di Bawah Langit; beliau turut berkongsi pesanan ibunya katanya "Pemberian Allah yang paling kecil kepada kita adalah lebih baik dari usaha kita yang paling besar". Beliau dengan rendah dirinya mengatakan beliau terlalu jahil dalam bidang perfileman, tidak pernah menghadiri kelas membikin filem tetapi akhirnya berjaya menerbitkan filem religi pertama beliau dengan kos lebih RM 2 juta di mana beliau sendiri penerbit, sutradara atau pengarah, pelakon utama, penulis skrip, penyusun music dan banyak lagi diusahakan sendiri oleh beliau untuk menghemat kos katanya... Menurut beliau lagi, bukan beliaulah yang menjayakan semua usaha ini, tetapi kekuasaan Allah lah yang membuatkan semua usahanya ini berhasil.




Apabila ditanya bagaimana cara beliau menggubah sesebuah lagu sehingga menjadi sebuah lagu yang hebat dan menyentuh hati, kata beliau; setiap kali sebelum mencipta lagu, beliau akan berdoa kepada Allah supaya lagu dan lirik yang diciptanya itu dapat memberi kesan kepada dirinya untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik lagi... Beliau juga berdoa semoga ia memberi kesan yang sama kepada orang lain yang mendengarnya... Beliau turut berdoa agar orang lain yang mendengar lagu beliau turut mendapat inspirasi sebagaimana beliau mendapat inspirasi ketika mencipta lagu tersebut...



Sepanjang bersama beliau, selalu ana dengar kata-katanya bahawa Allah dekat dengan kita, sentiasa menunaikan permintaan kita, sentiasa kasih dan sayang kepada kita... Menurut beliau lagi bukti Allah sayang padanya dan sudi mengampunkan dosa kita ialah perjalanan hidup beliau sendiri dari banyak melakukan dosa akhirnya diberi peluang memperbaiki dirinya...



Banyak lagi pesanan-pesanan beliau yang ana rasa sepatutnya ana rekodkan, kerana tak dapat ana tuliskan secara tepat di sini...

Kesimpulannya, Opick yang saya kenali adalah seorang yang sangat merendah diri sehingga apabila berbicara dengan beliau membuatkan kita lupa bahawa beliau adalah seorang yang sebenarnya sangat hebat di dalam dunia muzik Indonesia...

Ini juga mengingatkan ana akan keperibadian seorang yang digelar Pahlawan Nasyid yang telah pergi meninggalkan kita lebih 100 hari yang lalu iaitu allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Al-fatihah buat beliau...

Semoga ana dan sahabat-sahabat dapat menerapkan sedikit sebanyak ciri-ciri keperibadian Opick dan Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dalam diri kami... Insya Allah...
Fenomena gempa bumi telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu lagi, namun akhir-akhir ini kekerapan berlakunya gempa bumi ini menggambarkan betapa sudah tuanya bumi yang kita diami ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di negara jiran berskala 7.6 skala richter berlaku pada 30 September 2009 berhampiran Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang kemudiannya disusuli gempa bumi kedua sebesar 6.2 pada skala Richter sehingga mengakibatkan 1,115 kematian, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.

Walaupun gegarannya turut dirasai di beberapa tempat di semenanjung Malaysia, namun sudah menjadi kebiasaan kita sentiasa beranggapan bahawa bencana yang mengenai orang lain, mungkin tidak akan mengenai kita.

"Hakikatnya, berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak.

Bagi kes gempa bumi di luar Malaysia dan gegarannya dirasai di sini ialah sebanyak 35 kes iaitu 31 kali di Semenanjung dan empat kali di Sabah. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berpendapat, secara relatifnya, Semenanjung adalah stabil dari segi seismotektonik.

Menurut rekod sejarah juga pernah berlaku di Ranau, Sabah pada 1991,
gempa bumi bermagnitud 5.1 skala Richter merosakkan struktur bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang. Punca kerosakan dikenal pasti akibat gempa bumi kerana kedudukan sekolah itu terletak di atas zon Garis Sesar Mensaban."
- Berita Harian(18/11/09)

Allah S.W.T telah mengingatkan kita akan sebuah gempa bumi yang maha dahsyat yang akan berlaku sebagai kemuncak kepada gempa-gempa yang semakin kerap akhir-akhir ini juga sebagai penutup kepada kehidupan dunia yang fana ini:

Surah Al-Zalzalah (THE EARTHQUAKE)- Gempa bumi

Ayat 1
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
(When the Earth is shaken to her (utmost) convulsion,)


Ayat 2
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
(And the Earth throws up her burdens (from within),)




Ayat 3
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
(And man cries (distressed): `What is the matter with her?')



Apakah punca semakin kerapnya berlaku gempa bumi ini? adakah faktor bumi itu sudah tua dan semakin tidak stabil? Apakah penjelasan saintifik bagi fenomena ini? Allah S.W.T telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah dengan sebab tangan-tangan manusia sendiri yang merosakkannya sedangkan kita sudah menggalas amanah sebagai khalifah menjaga seisi bumi ini dan timbulnya bencana-bencana alam ini adalah kerana Allah ingin menunjukkan akibat dan balasan hasil kerja kerosakan manusia itu sendiri supaya kita menginsafinya sepertimana firmannya dalam surah Ar-ruum:

Ayat 41
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Mischief has appeared on land and sea because of (the meed) that the hands of men have earned, that ((Allah)) may give them a taste of some of their deeds: in order that they may turn back (from Evil).)



Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa



Kesan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa



Maha Hebat Allah S.W.T yang telah menciptakan langit dan bumi dengan fungsi yang tersendiri, bahkan Allah menciptakan gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi yang memegang kuat bumi ini supaya lebih stabil dan kukuh. Allah berfirman dalam surah Luqman:

Ayat 10
Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
(He created the heavens without any pillars that ye can see; He set on the earth mountains standing firm lest it should shake with you; and He scattered through it beasts of all kinds. We send down rain from the sky and produce on the earth every kind of noble creature, in pairs.)


Allah turut berfirman dalam surah An-Nazi'at ayat 32:


Ayat 32
Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);
(
And the mountains hath He firmly fixed)


Maha Suci Allah S.W.T yang telah menjadikan gunung-ganang dan bukit-bukau sebagai pendulum yang menyerap hayunan atau goncangan kesan dari gempa bumi yang berlaku, dan gunung-ganang ini bertindak ibarat pancang besi yang ditanam dalam-dalam bagi mengukuhkan binaan sebuah bangunan. Gunung-ganang yang terpasak ke dalam bumi sehingga ke garisan-garisan sesar gempa bumi bertindak secara natural dengan menyerap hayunan lalu merendahkan frekuensi gegaran yang berlaku.


Pendulum

Teori pendulum ini telah digunapakai oleh ramai jurutera pembinaan bangunan tinggi bagi menyerap hayunan dan gegaran yang berlaku dalam sesebuah bangunan pencakar langit. Antara yang termasyhur ialah bangunan Taipei 101 yang menggantung sebuah bola pendulum di tengah-tengah puncak bangunan tersebut bagi menyerap hayunan sekiranya berlaku gempa bumi atau gegaran akibat tiupan angin taufan.

Pendulum dalam bangunan Taipei 101


Bola pendulum gergasi dalam bangunan Taipei 101

Namun amat malang sekali bagi manusia yang pandai memanipulasi teknologi ini tetapi dalam masa yang sama telah melenyapkan sebilangan besar pendulum gergasi bagi menyerap hayunan yang berlaku dalam bumi iaitulah gunung-ganang dan bukit-bukau. Hari demi hari, gunung-ganang dan bukit-bukau ditarah dan dipotong bagi mendapatkan hasil mineralnya, atau untuk tujuan pembangunan kawasan baru, kawasan perumahan elit, pembalakan dan sebagainya.


Kerosakan dari tangan-tangan manusia


Pembinaan di lereng bukit mengakibatkan tanah runtuh

Maka tidak hairanlah akhir-akhir ini, semakin kerap berlakunya gegaran gempa bumi dan semakin tidak berdaya bumi untuk menyerap gegaran tersebut serta meneutralkannya kembali. Bahkan tidak mustahil negara yang tidak berada dalam garis sesar gunung berapi dan gempa bumi seperti Malaysia pun boleh menerima nasib yang sama seperti Padang sekiranya gunung dan bukit bukau kita terus di tarah dan di runtuhkan. (nauzubillahi min zaalik).

Terimalah akibat dari perbuatan kita sendiri yang merosakkan bumi ciptaan Allah dan sedar tak sedar kita semua sedang menuju kehancuran total menjelang hari kiamat nanti sebagai kemuncak hasil kerosakan yang telah kita lakukan ke atas muka bumi.


Poster filem 2012

Filem box-office 2012 yang sedang hangat di pawagam kini turut menggambarkan kemusnahan bumi akibat kombinasi bencana alam termasuk super gempa bumi. Namun tidak sepatutnya kita mempercayai filem tersebut sebagai gambaran sebenar berlakunya kiamat kerana turut digambarkan ada di antara mereka yang terselamat dari bencana tersebut dan cuba membina kehidupan dan meneruskan survival kewujudan manusia, sedangkan menurut Al-Quran, apabila berlakunya kiamat, tiada masa lagi untuk menyelamatkan orang lain, bahkan semua manusia sibuk menyelamatkan diri masing-masing dan pastinya tiada seorang pun yang terselamat.

“(Itulah) Hari (yang) manusia (jadi) seperti kelkatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar (dipanah) berterbangan.”

(Al-Qaari’ah : 4-5)


"Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah. Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa." -ohislam.com

Gambaran bala bencana besar ini juga menurut mereka, diambil dari kalendar puak Maya, sedangkan Al-Quran telah menjelaskan kejadian Kiamat ini dengan lebih jelas dan berulang kali. Juga sudah menjadi kebiasaan pihak barat membikin filem yang menggambarkan mereka boleh selamat dari apa jua perkara hatta melawan kekuasaan Tuhan. Poster yang menggambarkan planet-planet ibarat pendulum yang berlaga turut menggambarkan tangan makhluk asing yang mencetuskannya, sekali lagi mahu menafikan fenomena bencana ini adalah dari hakikat kekuasan Allah.

Antara poster filem 2012

Walaupun begitu, adalah baik sekiranya dengan melihat keadaan kehancuran bumi dari filem ini membuatkan kita berasa insaf dan ingat bahawa suatu masa nanti pasti juga bumi akan musnah dan tiada siapa di dalam dunia ini yang akan terselamat. Alangkah baiknya jika filem ini dapat dikaitkan dengan surah Az-Zalzalah, At-takwir, Al-insyiqaq dan banyak lagi surah dari Al-Quran, bukannya kalendar ramalan puak Maya. Pastinya seluruh dunia akan menyedari bahawa "We were warned" yang menjadi tagline filem tersebut bukanlah amaran dari ramalan kalendar Maya tersebut namun Amaran dari pencipta Dunia ini iaitu Allah yang Maha Kuasa. Apakan daya, filem sehebat ini bukan dihasilkan oleh umat Islam.

Walaupun Al-Quran dan sunnah sendiri tidak pernah menyatakan secara spesifik tarikh berlakunya kiamat namun wajib ke atas kita mempercayai bahawa kiamat pasti terjadi dan pastinya hari demi hari dunia semakin hampir dengan kemusnahannya yang total.

Bumi menangis


Kalau di zaman Nabi kita lebih 1400 tahun dulu dalam peristiwa Isra' dan Mikraj sudah digambarkan bumi ini ibarat si tua berbongkok tiga, maka hari ini mungkin bumi yang sudah berusia 4.6 billion tahun (menurut kajian sains) sudah pasti menjadi si tua yang nazak dan menunggu saat kematiannya.
Blog Widget by LinkWithin