Di hadapan Natural History Museum


Alhamdulillah, setelah 4 hari pulang dari bumi UK ke tanahair tercinta, baru ana bepeluang untuk update blog. Balik saja ke Malaysia, kerja-kerja sudah menanti, di tambah pula dengan body-clock yang masih tak betul disebabkan Jet-lag.

Semalam baru pulang dari show di Jelebu, Negeri Sembilan, rindu rasanya suasana show bertiga, terubat juga dalam show semalam, walaupun show dekat sahaja... Insya Allah, hari ni plan nak balik kampung di Temerloh, kerana rindukan ibuku yang tercinta, di tambah pula jadual show yang penuh di minggu-minggu akan datang, so, minggu ni ana cuba untuk balik juga ke kampung halaman...

Kepulangan ana dari UK membawa seribu satu pengalaman dan kenangan pahit manis, serta pengajaran dan pelajaran...

Pengalaman
Mengembara di negara asing merupakan satu koleksi tambahan dalam lipatan pengalaman ana, melihat budaya masyarakat maju, minda kelas atasan walaupun iman kelas bawahan, melihat ciptaan Allah, manusia-manusia yang berbeza fizikalnya dengan diri ana, hingga boleh ana katakan pada diri ana "selamat datang ke dunia raksaksa" sewaktu menaiki tube, melihat besar dan tingginya fizikal warga UK ini... Kalau di dalam tube (underground train) itu, kita perlu berdiri dan memanjangkan tangan untuk bergayut pada besi pemegang di bumbung train, namun ada di antara warga UK yang cukup hanya dengan berdiri, kepalanya sudah mencecah bumbung train... :-)

Budaya membaca mereka sangatlah bagus sehinggakan lebih ramai yang membaca buku atau majalah di dalam train, di lapangan terbang, di dalam flight, daripada yang duduk diam saja tanpa sebarang bahan bacaan di tangan... Alangkah ruginya kita yang majoriti Islam ini, yang diseru dengan ayat Quran pertama Iqra'; bacalah, namun setelah siri kempen besar-besaran supaya rajin membaca, namun tetap juga kurang sambutan bagi kempen budaya membaca ini dikalangan kita...

Disneyland Paris

Disneyland Paris


Fokus-fokus tertentu yang diterapkan dalam budaya kehidupan mereka, ada yang positif yang perlu kita contohi walaupun banyak juga yang negati dan tidak sesuai dengan budaya dan agama kita... Contoh yang baik; bagaimana cara memandu mereka yang bersopan, memberi laluan kepada kereta yang memerlukan, memberi laluan kepada pejalan kaki, beratur untuk menaiki tangga, berjalan dalam arah laluan yang sama, memberi fokus terhadap mengurangkan pencemaran dengan menggalakkan kitar semula botol dan tin, mengurangkan penggunaan kenderaan menggunakan bahanapi dan banyak menggunakan kenderaan awam serta basikal dan berjalan kaki, memberi tempat duduk kepada orang tua, mengutamakan orang kurang upaya...

Disneyland Paris

Disneyland Paris

Kenangan pahit dan manis
Sesungguhnya kembara ana ke UK dan Paris bermula dengan kenangan manis bersama keluarga tercinta... Meluangkan masa optimum bersama isteri dan anak-anak tanpa gangguan kerja dan sebagainya, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta membina satu kenangan untuk dikongsi bersama dan diingat kembali apabila anak-anak sudah dewasa nanti...
Eiffel Tower, Paris


Anak mat salleh ke anak cina?


Main dengan burng merpati


Sempat merasa kenangan pahit manis hidup di negeri orang dalam tempoh 10 hari, dengan cuaca sejuk yang sangat berbeza dari di Malaysia. Serta kenangan pahit manis menggunakan kenderaan awam di UK, walaupun penat, namun penuh kepuasan dan kebebasan. Ana sempat juga menziarahi 5 buah masjid sepanjang di UK dan Paris, dan pastinya Masjidlah tempat yang paling menenangkan dan memedahkan ana dan keluarga solat, makan dan berehat setelah penat berjalan seharian.. Masjid yang sempat ana singgah ialah; London Central Mosque, London Mosque, Paris Mosque dan Masjid di Sheffield, serta Musolla di Malaysi Hall yang juga bertaraf Masjid...

London Mosque (nama asalnya Fazl Mosque, masjid pertama dibina di London)

Pengajaran dan Pelajaran
Banyak juga Pengajaran dan Pelajaran yang ana peroleh dalam kembara ini. Pengajarannya ialah pastikan persediaan yang cukup sebelum masuk ke negara orang, dan bersedia dengan segala macam perkara teknikal sebelum memasuki negara orang yang belum pernah kita masuki. Mujur ana masuk ke bumi UK bersama isteri dan anak-anak, jika tidak pasti ana juga tidak dibenarkan masuk atas alasan yang sama dengan sahabat intema yang lain.. Ana juga diasak dengan soalan-soalan dari pihak imigresen, namun jawab ana yang ingin bercuti dan membawa keluarga berjalan-jalan pastinya diyakini mereka kerana ana turut membawa anak-anak kecil.. Ana difahamkan oleh pelajar di sini bahawa pihak imigresen ini memang dilatih untuk bertanya dan menyiasat sehingga membuatkan kita boleh terkantoi sekiranya membuat penyamaran dan seumpamanya...

Prof. Madya Dr. Rosman, Pengarah Malaysian Student Department turut memberitahu ana bahawa pihak imigresen pada masa kini berada di tahap High-Alert sepertimana ketika kes 9/11 dulu kerana berlakunya cubaan membawa bahan letupan dan merampas kapal terbang dari UK ke US oleh seorang pelajar muslim warga asing di UK dalam tempoh terdekat sebelum kami ke UK. Mereka juga turut mengetatkan kawalan masuknya warga asing terutamanya dari Malaysia juga kerana berpuluh ribu warga Malaysia dikesan masuk ke UK dan tidak pulang semula ke Malaysia.. Ini juga menjadi sebab mengapa mereka tidak membenarkan langsung sebarang kesilapan kecil utk masuk ke negara mereka.

Antara pelajaran yang dapat ana kutip di sana ialah betapa hebatnya ukhwah dan layanan serta bantuan sahabat-sahabat kita yang berada di Bumi UK menuntut ilmu atau bekerja.. Rumah sewa pelajar yang menumpangkan ana sewaktu di London iaitu di Lapworth Court membuatkan ana berfikir betapa bertuahnya ibu bapa mereka ini. Kalau boleh, ingin ana bertemu seorang demi seorang ibu bapa mereka dan memberitahu betapa baiknya anak-anak mereka yang sedang belajar di London, tak perlulah mereka risau, anak-anak mereka solat berjemaah bersama, makan berjemaah di dalam talam, ada yang solat Duha, mereka juga rajin belajar, rajin mengulangkaji pelajaran, dan sangat-sangat menghormati dan memuliakan tetamu mereka si musafir yang dalam kesusahan... Rumah yang didiami 5 orang ini antara yang ana ingat ialah Pok Loh, Iqtidar, Faris, Huzaifah dan Fahmi kalau tak silap ana... Yang menyambut ana di airport ialah Hanif dan Amir dengan Mercedes CLK kompressornya..

Dapur Baitul MuslimInn


Bilik di Baitul MuslimInn bersama Ruzaini, Sarimi dan Ibrahim


Begitu juga dengan rumah tempat ana menumpang di Sheffield, yang penghuninya menggelarkan rumah mereka sebagai Baitul MuslimInn, dengan ketuanya seorang senior yang bergelar Pisang atau namanya Ruzaini yang ana lihat gayanya seperti seorang abang yang benar-benar mengambil berat kebajikan adik-adiknya serta, menitikbertakan juga solat adik-adiknya... Sesungguhnya rumah ini pastinya dipenuhi rezeki dan keberkatan dek kerana tetamu yang mereka rai selalu di sini... Ahli rumah ini yang lainnya ialah Sarimi iaitu pengarah NEXT dan Ibrahim, serta bilik yang ana duduk iaitu bilik Kokdiang yang ana tak sempat berkenalan pun kerana beliau telah pulang ka tanahair kerana bapanya telah kembali ke rahmatullah... Di Sheffield juga aku bertemu sahabat-sahabat yang banyak membantuku seperti Ruzaini, Sarimi, Hairul Adhan, Saufi, Izwan, Syamsul, Safuan, Joe dan ramai lagi... Terima kasih semua sahabat-sahabatku...

Dan pastinya insan yang banyak memberi sokongan moral dan semangat kepada ana ialah Ustaz Erfino Johari yang telah tertulis dalam takdir Ilahi tiba-tiba menjadi sahabat karibku dalam tempoh singkat berada di bumi UK. Pertama kali ana menghubungi ustaz melalui message di Facebook bertanyakan tentang cadangan rumah penginapan ana dan keluarga sepanjang di London... Ana belum mengenali hati budi insan ini...

Setelah pertama kali bertemu ustaz, barulah ana mengenali betapa beliau seorang yang mudah mesra, ikhlas dalam bersahabat serta sangat mudah membantu orang yang dalam kesusahan seperti ana.. Mungkin jika tidak kerana sokongan dan galakan ustaz, ana barangkali membatalkan terus persembahan ana dan pulang terus ke Malaysia dek kerana patahnya semangat setelah mengetahui sahabat-sahabat ana di hantar pulang semula ke Malaysia... Alhamdulillah, syukur pada Allah yang mempertemukan ana dengan insan mulia ini, yang turut membantu ana dalam membentuk dan memeriahkan persembahan yang ana sampaikan di Sheffield... Terima kasih ustaz, semoga Allah memurahkan rezeki ustaz dan dipermudahkan segala urusan ustaz..

Duet dengan Ustaz Erfino; Berita Kepada Kawan

Duet lagu Kehidupan

Pengarah MSD Prof. Madya Dr. Rosman, turut meraikan ana dan menunjukkan simpati pada ana dan sahabat-sahabat inteam yang lain... Beliau turut cuba membantu sedaya mampu, namun Allah maha berkuasa menentukan natijahnya.. Prof. dan keluarga juga insan mulia yang meraikan ana dan membuatkan ana tidak lagi merasa diri keseorangan di Bumi London pada ketika itu...

Antara komiti NEXT 2010

Persembahan finale bersama peserta NEXT 2010

Layanan sahabat-sahabat di UK, mengingatkan ana pada keluarga dan sahabat-sahabat setia di tanahair, sahabat-sahabat Inteam; akhi Syah dan Rahim serta Fairus, dan seluruh warga KTI yang mendoakan keselamatan ana sepanjang di UK serta juga yang memberi kata-kata semangat... Terima kasih buat antum semua...

Yang pastinya kenangan yang manis dan yang pahit sepanjang di bumi UK ini akan menjadi kenangan dan pengajaran berharga dalam diari hidup ana.. Dan ukhwah yang terjalin antara ana dan antum semua di UK semoga dipanjangkan sehingga antum semua pulang ke tanahair... Dan ana doakan semoga Allah sentiasa memberi bantuan kepada antum semua yang sudi membantu insan yang memerlukan, serta mempermudahkan urusan pengajian dan pekerjaan antum... Terima kasih sahabat-sahabatku...
|
5 Responses
  1. Jamal Rafaie Says:

    Salam..

    Saya berasa simpati dengan perkara yang menimpa Inteam.. Tetapi saya pasti, akhi dapat sesuatu dari Allah SWT, yang bererti pengorbanan dan ujian..

    Saya yakin, apa yang Allah uji ini akan menaikkan tahap Inteam hari demi hari, kerana ujian akan mematangkan manusia dan meningkatkan iman.. Insya-Allah..

    Coretan akhi dalam entri ni memberi seribu makna, pengalaman pahit dan manis, dan memberikan perkongsian tentang negara orang dan Islam di sana.. Terima kasih..

    Inteam terus intim!!


  2. ~ ms julie ~ Says:

    Salam..dah lama tak baca blog Abg Min..dulu saya rajin baca blog Kak Aini..tapi sekarang tak boleh baca..kenapa yerk..Kak Aini da block ke blog dier...


  3. joegrimjow Says:

    alhamdulillah semua selamat,

    terima kasih datang ke sheffield untuk persembahan yang mantap!


    disneyland paris
    memang best kan? hehe


  4. nazjar_kekal Says:

    saya adalah berminat dara sebelom islam sampai skrg..bila nak datang kluang..??dah lama tunggu...


  5. Yayasan Ilmu Says:

    Assalamualaikum,
    Spend some time for Islam , esp. as-Sunnah to understand better your current position vis-a-vis Isam by surfing 'yayasan-ilmu. blogspot.com'.


Blog Widget by LinkWithin