Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA
NEGERI SEMBILAN


SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.
Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah kedudukannya daripada Nabi Muhammad?

Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.

Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan dengan fahaman Jahiliah.

Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk memahaminya.

Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.

Salah faham makna ta’zhim dan ibadah

Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas tentang hakikat ta’zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan).

Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta’zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.
Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra’ ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30 hingga 31.

Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.


Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.

Hak-hak Rasulullah

Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana perintah Allah SWT dalam al-Quran:
Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

Dalam ayat lain, disebutkan:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)
Allah juga berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

Dalam ayat yang lain pula disebut:
Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap sebagai akhlak atau adab yang buruk.
Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah menasihatkan dan memperingatkan umat Islam agar tidak menyalahi perintah tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, “Maksudnya adalah bertakwalah kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan kamu”.

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, “Wahai Rasulullah!” dan “Wahai Nabi Allah!”

Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak berakal.

Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW.

|
0 Responses
Blog Widget by LinkWithin