:: Kembara di bumi Makkah ::

Dalam perjalanan ke Tanah suci Makkah, kami singgah di Miqat Masjid Bir Ali untuk berniat Ihram dan niat menunaikan ibadah umrah. Sebaik-sahaja menyempurnakan niat dan menunaikan solat sunat Ihram di Masjid Bir Ali, talbiah tidak putus-putus kami laungkan. Terasa satu tanggungjawab yang berat kami pikul untuk menjaga pantang larang ihram ini. Perjalanan kami seterusnya bermula dengan ujian apabila Ustaz Rozali menyedari bahawa passport kami semua tertinggal di Hotel di Madinah. Mujurlah perjalanan kami keluar Madinah masih dekat lagi. Kasihan Ustaz Isbat terpaksa pulang ke Madinah untuk mendapatkan passport kami. Sepanjang menunggu, kami hanya berehat di dalam bas, ada yang tidur dan ada yang jaga. Cuaca diluar, di hentian stesen minyak di tengah-tengah padang pasir, kelihatan agak buruk, dengan ribut pasir kecil dengan sedikit hujan. Yang pastinya talbiah dan doa tak putus-putus dilafazkan. Terasa alangkah hinanya diri ini, alangkah kerdilnya diri ini yang mahu menjadi tetamu Allah Yang Maha Agung, mahu menghadapnya di rumahnya yang suci Baitullahilharam.

Perjalanan kami yang masih panjang, diteruskan setelah Ustaz Isbat tiba dengan membawa passport kami. Dalam hati ini, sentiasa melegakan hati bahawa pastinya ada hikmah disebalik tertangguhnya perjalanan kami yang memakan masa hampir 2 jam ini. Perjalanan yang masih menanti sekitar 5 jam lagi. Akhirnya, kami tiba juga di Bumi suci Makkah Al-Mukarramah. Hati ini berdebar-debar, bercampur sayu sekali lagi sepertimana perasaan memasuki bumi Madinah tempoh hari. Masuk saja ke Kota Makkah, keadaannya seperti siang hari walaupun jam sudah melebihi tengah malam. Semua manusia sedang sibuk, jalanrayanya penuh dan sesak dan lampu terang benderang dengan kedai-kedai yang masih rancak beroperasi. Mata ini mencari-cari, di manakah letaknya Masjidil Haram. Akhirnya di celahan bangunan-bangunan, kelihatanlah dinding Masjidil Haram. Keletihan dan mengantuk, sekali lagi hilang entah ke mana, digantikan dengan perasaan sayu, berdebar-debar dan tidak sabar.

Setelah cek in di Hotel Ufuk Al-Fateh 2, kami berkumpul di lobi untuk menunaikan Ibadah umrah wajib. Kedudukan hotel agak jauh dengan Masjidil Haram kerana hotel disekitarnya sedang dalam proses baikpulih. Kami berkumpulan bergerak menuju Masjidil Haram yang lebih kurang 700 meter jaraknya sambil bertalbiah. Lagaknya seperti askar yang sedang berkawad, kami tidak menghiraukan keadaan sekeliling, kerana tujuan kami hanya satu untuk menuju ke rumah Allah menjadi tetamunya dan sembah sujud padanya. Hanya Allah yang tahu, perasaan ini sepanjang berjalan di dalam Masjid menuju ke dataran Kaabah… Sambil mata mencari-cari, akhirnya kelibat Kaabah kelihatan di celah-celah tiang Masjid… “Kami menyahut seruanMu Ya Allah, Kami datang kepadaMu Ya Allah” Di dalam hati ini, seribu satu perasaan bercampur baur menjadi satu perasaan yang tak tergambar dengan kata-kata. Hampir jam dua pagi, kami memulakan tawaf kami. Alhamdulillah, walaupun jemaah yang tawaf sememangnya ramai, tapi tidaklah sesesak yang kami jangkakan. Mungkin kerana kelewatan kami tiba. Alhamdulillah, tawaf kami berjalan lancar dan habis dengan cepat. Hati ini menghamburkan segala isinya ketika solat sunat Tawaf dihadapan Multazam. Satu perasaan yang hanya menjadi kenangan manis di hati ini, tidak mampu digambarkan atau diceritakan. Terasa begitu hampir dengan Allah dirumahNya ini, walaupun Allah itu hampir dengan kita walau di mana juapun.


Ibadah kami diteruskan lagi dengan mengerjakan Sa’ie antara Safa dan Marwah. Satu ibadah yang benar-benar menguji kekuatan fizikal dan rohani. Pastinya mengingatkan kembali susah-payahnya Siti Hajar ketika ditinggal bersama anaknya Ismail, yang mana pada waktu itu keadaannya jauh berbeza, di tengah padang pasir yang kering kontang. Kini, semuanya selesa, dengan bumbung dan aircond serta laluan yang bersimen. Alhamdulillah, Ibadah Umrah yang menjadi tujuan utama kami ke sini selesai juga setelah kami bertahallul. Terasa seperti satu kejayaan besar dan kurniaan yang tak terhitung nikmatnya dari Allah taala. Beberapa kali ana suarakan pada Ustaz Rozali, syukurlah Allah lewatkan perjalanan kami, kerana hikmahnya, kami dapat melakukan Ibadah ini dalam keadaan tidak terlalu sesak. Cepat dan mudah saja, sedar tak sedar, kami sudah selesai melaksanakannya, walaupun hakikatnya memakan masa lebih 2 jam… Sebaik saja kami selesai saie dan tahallul, azan pertama berkumandang sebagai menandakan persediaan untuk masuknya waktu subuh sejam kemudiannya. Azan yang selalu didengari dalam rakaman di Malaysia, kini secara live dari Masjidil Haram.

Kami bergerak ke dataran Kaabah untuk bersedia menunaikan solat Subuh sambil memperbanyakkan solat sunat. Kedengaran suara Imam yang sangat lunak dan Ikhlas, melembutkan hati ini, langsung menghilangkan rasa mengantuk dan letih. Selepas solat subuh, ana, Ustaz Rozali dan Encik Nazrin mencari kedai gunting rambut untuk mencukur rambut. Seterusnya kami kembali ke hotel untuk berehat.

Sepanjang berada di Makkah, bilik hotel ibarat tempat persinggahan untuk tidur seketika sahaja, kerana para jemaah berebut-rebut untuk memperbanyakkan masa beribadah di Masjidil Haram. Ana dan Isteri cuba untuk menunaikan Ibadah Tawaf Sunat sekurang-kurangnya sekali sehari. Selalunya kami tawaf sunat selepas asar atau selepas maghrib kerana keadaannya yang tidak panas walaupun agak ramai jemaah bertawaf pada waktu-waktu tersebut. Ana cuba untuk solat di dataran Kaabah setiap waktu solat, kecuali zohor kerana cuaca yang sangat panas. Sepanjang berada di Makkah dan Madinah, setiap kali masuk dan keluar Masjid, ana dan zaujah mengamalkan minum Air Zam zam untuk memberi kesegaran dan kesihatan bagi mempermudahkan beribadah.

Alhamdulillah, asbab keberkatan air Zam zam ini, dengan kekuasaan Allah, ana tidak langsung terkena demam dan batuk walaupun setiap kali ana meminum air Zam zam yang sejuk dan berais. Hakikatnya, ana memang tak boleh langsung minum ais, hatta segelas pun boleh membuatkan ana demam tonsil.

Di Makkah, kami juga berpeluang merasai pengalaman berpuasa. Walaupun hakikatnya cuaca sangat panas, namun berpuasa di sini sangat seronok kerana suasananya. Di Masjid, ramai yang mengambil peluang untuk bersedekah kepada mereka yang ingin berbuka. Pendek kata, kita tidak perlu risau langsung tentang juadah berbuka, kerana pasti ada disediakan.

Hari ketiga di Makkah, kami di bawa ziarah luaran ke Jabal Rahmah, Mina, Muzdalifah, Jumrah, Arafah dan beberapa tempat bersejarah di Makkah. Peluang berdoa dan menyampaikan doa mereka yang mengirim di Jabal Rahmah tidak kami lepaskan. Kami juga berpeluang melihat ribuan khemah moden di Arafah dan Muzdalifah dan juga hotel yang sedang dibina untuk VVIP berwukuf. Terasa jauhnya lebih mujahadah menunaikan Ibadah Haji daripada Umrah ini yang hanya mungkin 10% saja dari Ibadah Haji. Ya Allah, terimalah kami lagi untuk menjadi tetamuMu menunaikan Rukun Islam kelima ini pula satu hari nanti… Amiiinnn.

Hari keempat di Makkah, kami dibawa ziarah luaran lagi. Salah satunya di Masjid Hudaibiyah di mana kita boleh bermiqat untuk Ihram dan Umrah. Beberapa jemaah kami mengambil peluang ini untuk menunaikan Ibadah Umrah sunat dan Badal, Ana sendiri berniat menunaikan Umrah Badal bagi Ayah mertua ana. Namun umrah sunat dan badal kami kali ini tidak lagi dikepalai oleh Ustaz Isbat sebagai Mutawwif kerana beliau letih sebab baru saja membawa jemaah Umrah lain semalamnya. Para jemaah yang bercadang membuat umrah sendiri akhirnya meminta ana mengepalai mereka. Terasa beratnya tanggungjawab yang terpaksa dipikul ana yang jahil ini. Berbekalkan doa semoga Allah mempermudahkan dan membantu ana untuk menunaikan Ibadah kali ini dan membawa jemaah bersama, kami pun meneruskan Tawaf dan Sa’ie. Alhamdulillah, doa di tanah suci ini sentiasa diperkenankan Allah, kami selesai menunaikan Ibadah Umrah kali kedua ini juga tanpa sebarang masalah.

Pagi Jumaat, kami bercadang untuk merasai pengalaman Rasulullah mendaki gunung Nur untuk bertafakur di Gua Hira’. Hanya beberapa jemaah lelaki dan seorang muslimat iaitu Zaujah ana yang bersedia untuk menyahut cabaran ini. Memang risau juga memikirkan mampu atau tidak kami melakukannya. Menurut Ustaz Rozali, mendaki Jabal Nur ini mungkin memakan masa hingga 2 jam.

Setibanya kami dikaki Jabal Nur, memang jelas kelihatan betapa tingginya gunung batu ini. Dari bawah sayup-sayup kelihatan manusia sebesar semut sedang mendaki gunung ini. Perjalanan kami di jalanan kampung menuju kaki bukit ini pun sudah cukup meletihkan dan hampir saja mematahkan semangat ana dan isteri. Belum lagi mendaki gunung berbatunya lagi. Manakan tidak, jalanan itu saja curamnya hampir 60 ke 70 darjah. Pendakian kami diteruskan berbekalkan semangat dan inspirasi mengingati perjuangan Rasulullah. Mujurlah sepanjang pendakian, ada anak-anak tangga simen yang dibina oleh jemaah Pakistan sebagai waqaf. Perjalanan kami menuju ke puncak gunung ini diselangi dengan hampir sepuluh kali berhenti rehat. Berbekalkan air mineral dan Asir Mangga yang kami bawa sebagai penghilang dahaga, akhirnya kami tiba dipuncak setelah sejam setengah mendaki. Sekali-sekala timbul juga perasaan gayat apabila melihatkan perjalanan kami tadi yang sememangnya curam dan ada tempat-tempat yang sangat berisiko, yang berada ditepi-tepi tebing tinggi. Rupa-rupanya, untuk ke Gua Hira’ kami perlu turun semula sedikit disebalik sana bukit itu. Zaujah ana sudah hampir give-up dan tidak mahu turun ke Gua Hira’, namun ana mengingatkan bahawa kami telah pun berjaya mengharungi perjalanan meletihkan sejam setengah, hanya beberapa minit lagi tinggal untuk sampai ke tempat di mana wahyu pertama diturunkan. Kami pun turun sedikit dan melalui celahan batu, untuk menuju ke Gua Hira’. Ramai manusia sedang beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalam gua ini yang hakikatnya hanya celahan kecil di antara dua batu besar. Ana mengambil keputusan untuk naik ke atas bumbung gua yang tidak perlu beratur. Memandangkan masa menunjukkan kami sudah perlu pulang. Ana berkesempatan untuk solat sunat dhuha di bumbung gua di atas batu yang rata. Memang strategiknya gua ini kerana kedudukannya yang direct menuju ke Kaabah. Cuma pada masa ini yang kelihatan hanya bangunan hotel di sekitar Kaabah.

Perjalanan turun tidak seletih perjalanan naik. Namun kaki kami yang sudah lemah dan terketar-ketar menjadikan perjalanan turun agak sukar juga. Namun ini mengingatkan kami bahawa di zaman Rasulullah dulu lebih sukar lagi kerana tiada anak tangga dan denai laluan manusia ini. Bahkan Saidatina Khadijah yang sudah berusia 50-an pada ketika itu, turut bermujahadah mendaki gunung itu untuk membawa makanan kepada suaminya yang tercinta.

Malam terakhir di Makkah, perasaan kami sedih bercampur gembira. Sedih kerana akan meninggalkan Rumah Allah yang penuh karamah ini, gembira pula kerana sudah selesai mengerjakan Ibadah Umrah ini dan akan terubatlah rindu kami kepada anak-anak yang telah ditinggalkan lebih seminggu, walaupun hampir setiap hari kami menghubungi mereka dengan telefon. Malam ini kami diraikan oleh pihak muassasah yang menguruskan kami sepanjang di Makkah dan Madinah. Mereka membawa kami makan Nasi Mandi dengan lauk Kambing Muda. Ana memang meminati kambing dan tidak sabar nak makan nasi ini. Namun selera kami terbantut apabila Nasi yang dihidangkan dalam talam ini diletakkan sekali ditengah-tengahnya kepala kambing tersebut yang sudah dimasak. Kami pun makanlah juga walaupun kekadang hilang selera melihat kepala kambing tersebut. J

Alhamdulillah, sepanjang di Makkah kami dipermudahkan Allah untuk beribadah… Ana juga berpeluang mengucup Hajarul Aswad walaupun hakikatnya terpaksa berasak-asak dengan jemaah yang ramai. Kali pertama percubaan ana gagal, dengan kopiah ana hilang entah ke mana dicelahan jemaah yang ramai. Ana juga terpaksa membuka cermin mata untuk mengelakkan hilang dan pecah. Namun Alhamdulillah, percubaan kali kedua dipermudahkan Allah. Cuma, sedih juga

kerana percubaan ana untuk membawa Zaujah mengucup Hajarul Aswad, tidak berjaya kerana keadaan bersesak-sesak yang tidak mengizinkan, walaupun kami telah mencuba di beberapa waktu yang berbeza. Teringat kata-kata Ustaz Isbat, jangan jadikan tujuan kita mengucup Hajarul Aswad untuk mendapat pahala sunat ini bertukar menjadi kerja haram apabila kita terpaksa bersesak, bergaduh, dan berhimpit lelaki dan wanita, sehingga kita lupa tujuan asal kita dan boleh juga membawa khurafat.

Tawaf Wida’ kami pagi Sabtu itu memang cukup sayu. Ana mengambil peluang membawa Zaujah menyentuh Kaabah selepas selesai tawaf, solat sunat di Hijir Ismail dan ana berpeluang juga mengucup pintu multazam dan berdoa di situ semoga dijemput lagi menjadi tetamu Allah di Rumahnya ini. Ketika kami hendak meninggalkan Kaabah, mata ini seolah-olah tidak mahu melepaskan pandangan daripada Baitullah, dan tidak sanggup rasanya berpaling ke belakang. Titisan airmata mengiringi pemergian kami, entah bila lagilah kami mampu lagi untuk ke Tanah suci ini….

Bas kami keluar meninggalkan tanah suci dengan kami semua diselubungi perasaan sedih dan sayu.

Perjalanan pulang kami diteruskan lagi selama sejam sehingga tiba di Jeddah. Kami sempat bersiar-siar, makan dan membeli belah di Jeddah sebelum terus ke Lapangan terbang Jeddah untuk pulang ke tanahair.

Alhamdulillah, Syukur padaMu YaAllah, yang sudi menjemput kami yang hina lagi berdosa ini, untuk menjadi tetamuMu, membersihkan diri dihadapan kaabahMu. Terimalah amalan kami, dan berilah kami peluang lagi untuk menjadi tetamu Mu Ya Allah….

Semoga coretan ini terhindar dari riyak dan ujub, hanya sekadar menjadi pedoman dan pengajaran serta kenangan di hari depan.


Wallahu A’lam…

Labels: |
3 Responses
  1. ~:~qnik91~:~ Says:

    seronoknya dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah. ana rindu nak ke sana lagi. sesungguhnya, kenangan yang tak dapat dilupakan adalah menangis kerana terharu mendapat jemputan oleh Allah.


  2. miz Says:

    Seronok tgk anta telah selesai mencatat travelog umrah. Seolah mengimbau kembali travelog haji kami 2008 yg masih manis dan segar tapi masih belum mampu melontarkan catatanya. Syukurlah kalian telah menjejaki bumi ambiya' semuda usia.


  3. assalammualaikum.
    sesungguhnya setiap insan mahu menjejakkan kaki di tanah haram.
    ana harap dapat menjejakkan kaki ke sana.amin.


Blog Widget by LinkWithin