Travelog Umrah

Sengaja ana menggunakan tajuk yang hampir sama dengan buku popular Travelog Haji yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhd Kamil, kerana buku ini banyak membantu ana sepanjang menunaikan ibadah umrah setelah ana membacanya di hari-hari terakhir sebelum berangkat menyahut jemputan Allah menjadi tetamunya di bumi suci Mekah dan Madinah. Bukan dari sehi teknikal, tapi falsafahnya. Kredit juga diberikan kepada akhi Fairus yang sudi meminjamkan ana buku tersebut untuk dibaca dan dijadikan panduan.

Semoga kisah ana ini dapat dijadikan panduan dan dijauhkan dari sifat riyak, ujub dan takbur. AstaghfirullahalAzim. Amiinnnn.

Antara masalah yang selalu ana rungsingkan sebelum bertolak, ialah bagaimana nak meninggalkan anak selama 12 hari tanpa kehadiran ana dan isteri bersama mereka. Sedihnya ana kerana memikirkan kesedihan dan kerinduan mereka nanti bila menyedari ayah dan ibu mereka tiada di sisi dalam satu jangka masa yang agak panjang. Namun ana tekadkan hati, akan menyerahkan segala-galanya kepada Allah “Ya Allah, aku serahkan anak-anakku ini dibawah penjagaan dan pemeliharaanMu Ya Allah, aku bertawakkal kepada Mu, Kaulah tempat kami bergantung harap sepenuhnya, Kaulah tempat kami berlindung sepenuhnya, Kaulah sebaik-baik pemelihara dan penjaga”. Alhamdulillah, dengan tawakkal yang bulat dan padu, sepanjang ana berada di Makkah dan Madinah, sangat sedikit kekhuatiran ana dan fikiran pesimistik ana terhadap keselamatan anak-anak di Malaysia, berbanding ketika mereka berada di depan mata ana dan dijaga oleh ana dan isteri. Alhamdulillah, benarlah Allah sebaik-baik penjaga dan pemelihara. Semoga Allah terus memelihara dan melindungi kami sekeluarga.

Malam sebelum bertolak lagi, selepas ana pulang dari Kuantan menghantar anak-anak untuk dijaga nenek dan ibu saudaranya di sana, ana telah diuji. Selepas Isyak, ana menerima panggilan dari Fairus mengatakan kunci kereta ana yang dipegangnya telah hilang di Masjid. Memang nampak kecil masalahnya, tapi bila mengenangkan keletihan ana yang baru balik hari dari Kuantan dan esoknya pagi-pagi lagi ana akan ke KLIA untuk menempuh satu perjalanan yang meletihkan, ana termenung jauh, apa yang harus ana lakukan. Ana perlu bersiap, keluar ke Sri Damansara dan menghantar kunci spare ana yang juga telah rosak yang belum tentu lagi boleh digunakan atau tidak, jika tidak, ana perlu bergegas ke kedai kunci untuk memperbaiki remote control kunci kereta tersebut supaya boleh digunakan nanti. Sepanjang ana bersiap-siap, dalam hati ini tak henti berdoa, Ya Allah, permudahkanlah urusanku Ya Allah. Alhamdulillah, rupa-rupanya, memang benar Allah nak membuktikan kata-katanya “ dan berkatalah Tuhan kamu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu”. Sebaik sahaja sebelum ana keluar, akhi Fairus memaklumkan bahawa kunci tersebut telah ditemui. Alhamdulillah. Ana bermuhasabah dengan isteri, bahawa inilah permulaan ujian-ujian yang perlu kami tempuh untuk menjadi tetamu Allah, dan bagaimana cara yang harus ana lakukan untuk menempuhnya. Buku Travelog Haji mengingatkan ana falsafah ini.

19 April 2008, pagi-pagi lagi kami telah bersiap dan menguruskan beberapa perkara sebelum bertolak ke KLIA. Akhi Syah, Rahim dan Fairus turut serta menghantar kami ke KLIA yang mana kebetulan selepas itu mereka akan ke Kolej Uniti P.D untuk show di sana tanpa kehadiran ana.
Alhamdulillah, semua urusan di airport dipermudahkan Allah dan kami check in dan solat Zohor jamak sebelum boarding. Bermulalah sebuah musafir menyahut seruan Allah menuju ke rumahNya. Perjalanan kami kadangkala dikejutkan dengan sedikit gegaran apabila kapal terbang melalui ‘turbulence’, namun tak sekuat yang ana pernah alami sebelum ini. Tidur ana tidaklah senyenyak mana walaupun badan keletihan, mungkin kerana keadaan tidur duduk yang kurang selesa atau kerana cuaca yang kurang baik mengganggu kelancaran penerbangan. Kalau terlelap pun mungkin 15 minit atau setengah jam sekali. Mulut dan hati tak henti-henti berdoa semoga Allah menjadi teman perjalanan “sohibu fi ssafar“, dan memelihara perjalanan kami ini. Alhamdulillah, walaupun kami mendarat di Riyadh seketika untuk menurunkan penumpang di sana (tiada dalam jadual penerbangan), kami tiba juga di lapangan terbang Jeddah sejam kemudian, setelah melalui perjalanan keseluruhannya hampir 12 jam. Kami tiba di Jeddah lebih kurang jam 8 malam waktu Jeddah. Rasa lega dan syukur yang tak terhingga kerana telah selamat sampai walaupun hakikatnya kami masih ada 5 jam perjalanan lagi harus dilalui menggunakan bas pula. Udara di Jeddah malam itu sangat dingin dengan angin yang bertiup kuat. Setelah selesai memunggah barang ke dalam bas, kami pun memulakan perjalanan seterusnya dengan juga tidur duduk di dalam bas. Tapi keadaannya lebih selesa dan pemanduannya dengan jalan tiga ke empat lorong sebelah tanpa tol, juga mententeramkan hati ana untuk tidur lebih nyenyak. Kami singgah di sebuah hentian yang lengkap dengan surau dan stesen minyak untuk berhenti solat jamak ta’khir maghrib dan Isyak. Seterusnya kami singgah kali kedua di sebuah tempat rawat dan rehat ala arab yang digelar hamam yang merupakan satu suasana yang sangat menarik hati ana kerana setelah bangun tidur dalam perjalanan yang panjang, kami pekena nasi dengan ayam panggang yang dimakan dalam talam dan pekena teh o panas sambil duduk-duduk di hamam tersebut, dalam suasana padang pasir yang dingin dan angin yang bertiup kuat.
Seterusnya perjalanan diteruskan lagi menuju bumi nabi Kota bercahaya Madinah Munawwarah. Beberapa minit sebelum tiba, ana sudah tidak boleh tidur, mata ini sibuk memerhati suasana disepanjang perjalanan menghampiri Kota Madinah sambil hati yang membuak-buak dengan perasaan yang bercampur-baur; gembira, sedih, sayu, gementar, takut dan macam-macam lagi. Lalu akhirnya kami tiba juga di bumi yang kami rindui, yang terkandung didalam tanahnya, jasad yang suci lagi mulia, yang tidak reput dan tidak dimakan usia, jasad jenazah Nabi kita yang sangat kita rindui, yang tidak pernah kita temui; nabi Muhammad S.A.W. Juga jasad-jasad isteri baginda, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’-tabi’in yang hampir dengan zaman baginda. Bumi yang pernah dipijak oleh baginda, gunung-ganang, lurah lembah yang pernah melihat baginda dan pernah dilihat oleh baginda, dan terletaknya rumah dan masjid baginda, serta yang paling istimewa terletaknya satu taman dari taman-taman syurga yakni Raudhah seperti mana sabda baginda “di antara rumahku dan mimbarku, adalah satu taman dari taman-taman syurga”, yang mana menurut ustaz Isbat yang menjadi mutawwif kami; ulama telah mentafsirkan hadis tersebut kepada dua pendapat’ pertama: Memang kawasan itu adalah sebahagian dari kawasan Syurga Allah. Kedua; kawasan itu nanti akan terdapat di dalam syurga Allah sebagai salah satu taman syurga. Yang mana hakikatnya kedua-duanya mengesahkan kawasan itu adalah taman syurga samada sekarang atau di akhirat nanti. Syahdunya suasana itu sehinggakan airmata mengalir di mata dan di hati.

Alhamdulillah jam 3 pagi waktu Madinah, kami tiba di hotel Durah Al-Fairuz. Walaupun waktu Subuh masuk lebih kurang jam lima pagi, telah kelihatan beberapa jemaah yang menuju ke Masjid nabi. Kami telah diuji setibanya di hotel apabila bilik yang telah ditempah tidak mencukupi. Terima kasih yang tak terhingga kepada Ustaz Rozali yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak kami walaupun terpaksa bertikam lidah dengan receptionist arab hotel tersebut. Hakikatnya dalam hati ini, tak sabar-sabar nak bersiap-siap menuju ke Masjid Nabi, apatah lagi jam 4 pagi kedengaran azan pertama dari Masjid Nabi. Ana mencadangkan kepada Ustaz, biarlah kami berkongsi bilik terlebih dahulu, untuk bersiap-siap ke Masjid. Perkara ini boleh diselesaikan balik dari masjid nanti, atau tengah hari nanti. Ana sangat takut terlepas jemaah waktu Subuh pertama tersebut. Rasa letih dan mengantuk hilang entah ke mana, seolah-olah dipinggirkan terus dek kerana keinginan yang sangat untuk masuk ke Masjid Nabi. Akhirnya kami berkongsi bilik dan bersiap ala kadar lalu terus ke Masjid Nabi. Subhanallah, ramainya manusia, dan besarnya Masjid ini walaupun waktu subuh masuk lebih kurang setengah jam lagi, ruang hadapan separuh masjid telah penuh. Sepanjang melangkah di dalam Masjid Nabi, hati ini meneka-neka di manakah Raudhah. Setelah penat berjalan dan tiba di saf yang sudah hampir penuh, ana berhenti untuk solat sunat dan menunggu masuk waktu subuh. Setelah selesai Subuh, ana meneruskan langkah sambil mengagak-agak di manakah Raudhah. Berbekalkan solat hajat tadi, serta doa yang tidak putus “Rabbi yassir wala tu’assir” akhirnya ana tiba di kawasan karpet hijau kelabu yang pastinya inilah Raudhah. Rupa-rupanya sekali ganda lagi perjalanan ana dari tempat solat Subuh tadi. Namun solat di Raudah tak semudah menceritakannya, manusia bersesak-sesak dan menunggu giliran untuk solat di sana. Akhirnya peluang ana tiba juga untuk sujud dipermaidani seharum kasturi dalam kawasan Raudhah. Terasa hampirnya ana dengan nabi kita yang dirindui. Dalam doa yang singkat, ana bersyukur kerana diizinkan Allah untuk berada dalam taman syurga ini dan bermohon bahawa ini hanyalah permulaan. Semoga ana akan terus diizinkan berada di sini dan yang paling penting semoga ana akan dapat lagi ke sini di dalam Syurga nanti… amiiinnn…
Hari pertama di Madinah terasa sangat panjang, kerana hari kami bermula jam 3 pagi tadi sewaktu tiba, terus ke Masjid menunaikan solat Subuh, kami terlepas sarapan pagi kerana agak lama di Masjid selepas Subuh kerana Isteri ana me
nunggu waktu Raudhah di buka untuk Muslimat. Kami pulang ke hotel jam 9 pagi, tidur dan berehat seketika, kemudian bangun bersiap untuk solat Zohor jam 11 pagi. Seterusnya berehat seketika sebelum Asar dan terus duduk di Masjid waktu solat Maghrib dan Isyak. Terasa terlalu panjang hari dan banyaknya aktiviti ibadah yang dapat dilakukan berbanding kesibukan di Malaysia sehinggakan kadang-kadang seminggu pun berlalu bagaikan hanya 2-3 hari sahaja. Alhamdulillah, di Masjid Nabi, hampir setiap waktu selepas solat, ana diizinkan Allah untuk solat dan berdoa di Raudhah.
Pada hari pertama juga ana bertekad untuk menziarah Rasulullah memberi salam kepadanya, mengucapkan terima kasih padanya dan menyampaikan salam sahabat-sahabat kepadanya. Menziarahi maqam nabi juga tidak semudah kata, perlu berbaris dan berasak-asak untuk ke situ. Namun yang bermain di hati ana, alangkah malunya ana nak menghadap baginda nabi, hinanya ana, kerdilnya ana, dan kotornya ana dengan dosa. Sedangkan diri ini sejauh manalah mengikut ajaran nabi, sejauh manalah mengamalkan sunnahnya berbanding pengorbanan baginda yang dihina, dikeji dan hampir dibunuh semata-mata nak mempertahankan agama ini untuk umatnya termasuk ana pada hari ini. Sudikah baginda melihat ana, dalam ratusan ribuan manusia yang menghadap baginda, dengan keimanan mereka, siapalah ana ini hendak menghadap kekasih Allah yang sangat mulia ini. Namun dengan keyakinan ana bahawa nabi sayangkan umatnya, ana menghulurkan salam padanya, berterima kasih padanya, berdoa pada Allah untuk menjadi umatnya dan mendapat syafaatnya di akhirat nanti dan sudi diterimanya diakhirat nanti, walaupun terpaksa menunduk malu pada awalnya dengan cucuran airmata yang tak terbendung lagi. Terasa seperti benar-benar sedang bermonolog dengan baginda, walaupun hati ini yang cuba menggambarkan wajah baginda yang indah, tak tergambar jua. Berkumandang dihati ana lagu Raihan “Alangkah indahnya hidup ini, andai dapat kutatap wajahmu, Kan pasti mengalir air mata ku kerna pancaran ketenanganmu”. Semogaku dapat menatap wajahmu dan mendakap dirimu walaupun dalam mimpiku, wahai kekasih Allah…. Amiiinnn.

Tiga hari di Madinah penuh terisi dengan pengajaran dan teladan sehinggakan tidak termuat dikongsi di sini sepenuhnya. Antaranya pengalaman sujud di Raudhah boleh ana ungkapkan sebagai “sesempit-sempit tempat sujud, seluas-luas alam semesta perasaannya” Manakan tidak, dalam keadaan biasa, saf yang boleh memuatkan 2 orang di Masjid di Malaysia, mampu dimuatkan sehingga empat orang di Raudhah, bayangkanlah, begitu juga ruang hadapan kita yang kadangkala ada orang berdiri menunggu giliran. Namun, cukup ana katakan di sini, dalam kesempitan dan kesesakan itu, setiap kali sujud, kita dapat merasakan seolah olah berada dilangit yang luas, dipenuhi bintang-bintang seluas mata memandang. Subhanallah, berdoalah sedaya mampu, menangislah sedaya mampu, hiruplah haruman di raudhah dan nikmatilah. Langkahan orang ke atas kita, atau terlanggar, atau tersepak atau seumpamanya, seolah-olah tidak terasa lagi, langsung tak diendahkan. Nikmatnya berdoa di dalam taman syurga Allah. Seterusnya, ana teringat cerita Ustaz Isbat bahawa Mihrab nabi di dalam Raudhah adalah tempat di mana nabi solat dan menjadi imam di zamannya dulu. Tempat yang berdirinya, yang dipijaknya (bukan bekas tapak kaki) masih ada namun tempat sujudnya telah berada didalam dinding. Ana teringin bersolat di situ dan sujud di kawasan yang pernah dipijak kaki nabi yang mulia (walaupun telah dilantai dan karpet). Benarlah falsafah yang ana baca dalam Travelog Haji; bahawa sesungguhnya yang akan membawa kita ke situ ialah Allah, bukannya dengan kekuatan dan kekuasaan kita sendiri. Ana solat hajat dan berdoa semoga Allah bukakan lorong dan jalan ke situ. Seterusnya ana melangkah ke arah mihrab itu yang boleh ana ibaratkan seperti Hajarul Aswad di Kaabah, yang mana sentiasa orang berebut-rebut untuk pergi ke situ. Setibanya ana di kawasan orang berkumpul dan beratur di situ, ana terus menghentikan langkah dan menyambung doa, ana hanya membiarkan tubuh ini ditolak dan diasak sehingga semakin hampir dengan mihrab. Setiap kali rasa takut dan ragu-ragu melihat besarnya warga asing yang lain berbanding ana, ana terus mengingatkan, “Ya Allah, sesungguhnya engkau yang menggerakkan jasad ku, dan engkau yang menggerakkan jasad mereka semua, aku dan mereka tiada kekuasaan dan kemampuan walau setitik pun melainkan Kau yang Maha Kuasa, gerakkanlah aku, bukakanlah ruang untuk ku solat di mihrab nabiMu dan sujud dibekas tapak kakinya yang mulia. Akhirnya, Alhamdulillah, ana telah berdiri tepat ditengah-tengah Mihrab untuk solat. Cuma yang menyedihkan ana terdapat beberapa rehal Al-Quran diletakkan sengaja diruang mihrab tersebut untuk mengelakkan perbuatan khurafat. Ana bertekad untuk solat dan sujud juga di mihrab tersebut. Sewaktu hendak sujud, ana mengalihkan rehal ditengah-tengah dan meletakkannya di atas rehal yang disebelahnya. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan untuk ana sujud di tempat di mana nabi pernah berdiri mengimamkan solat di Masjid Nabi. Ana berdoa dalam sujud semoga dapat bertemu dengan nabi di akhirat nanti, dan diterima menjadi umatnya serta beroleh syafaatnya. Alhamdulillah…
Seterusnya lagi, kesimpulan yang ana boleh buat tentang penduduk di Madinah, mereka benar-benar mewarisi sifat nenek moyang mereka dari golongan ansar yang memang suka membantu, ramah, banyak beramal dan berkhidmat, serta memuliakan tetamu. Antara yang ana kagum, pemuda yang membawa botol berisi air zam zam dan gelas-gelas serta memberikan minuman tersebut kepada jemaah-jemaah yang dahaga sepanjang beri’tikaf di Masjid, orang tua yang membawa plastik-plastik untuk mengisi kasut dan selipar, serta membawa minyak wangi untuk disapukan kepada jemaah, sebelum khutbah jumaat dan banyak lagi contoh sedemikian. Ana turut berkesempatan berbual dengan seorang penduduk Madinah yang akhirnya beliau turut mendoakan ana dan keluarga menjadi penduduk Madinah, mendapat rezeki di Madinah, hidup di sana dan mati di sana. Beliau turut menghadiahkan ana 2 buah kitab doa, dan amalan mukmin. Kata-katanya sangat lembut dan dipenuhi ayat al-Quran dan hadis. Beliau bersungguh-sungguh berbual dengan ana walaupun dalam kebanyakan masa ana hanya mengangguk sahaja kerana kurang arif berbahasa arab.
Tiga hari di bumi Madinah, akhirnya tibalah masa kami berangkat menuju ke Kota Makkah. Perasaan sayu ketika ziarah wada’ Maqam nabi bersambung hingga ke dalam bas apabila ustaz Isbat; mutawif kami akhirnya tidak mampu berkata-kata lagi kerana sedih ingin meninggalkan nabi. Ustaz Rozali yang ingin menyambung taklimat dari Ustaz Isbat juga terpaksa berhenti dek kerana sebaknya hendak meninggalkan Nabi. Seluruh jemaah terdiam melayan perasaan sambil berdoa akan bertemu semula dengan nabi suatu hari nanti, insyaAllah… Perjalanan kami diteruskan lagi untuk menyahut seruan Allah, menjadi tetamunya di bumi Makkah al-Mukarramah dalam kedaan kami memakai Ihram… Tangisan dan kesayuan akhirnya tenggelam dan hanyut dalam lena dek keletihan… Bersambung…
Labels: |
Blog Widget by LinkWithin