Terim, Hadramawt… Disneyland orang Islam?



“Ya Terim wa ahlaha…”

Walaupun sudah hampir 3 minggu meninggalkan kota Terim Al-Ghanna, Yaman, kenangan indah di sana masih lagi kemas tersimpan dalam kotak memoriku.

“Kota Terim ni macam Disneylandlah bagi orang Islam…” 

Masih terngiang-ngiang kata-kata Amir Al-Mawlid yg menghantar kami sewaktu minum bersama di kafe di KLIA sebelum kami berangkat ke Kota Terim, Hadramawt, Yaman. 

Saya pun berfikir-fikir sewaktu di dalam perut pesawat Qatar Airways sementara menunggu berlepas, Disneyland? Apa pulak yg dimaksudkan Amir macam Disneyland nya Kota Terim ni? Theme park ke? Roller coaster ke atau rumah hantu ke? Confirmlah bukan…. Bahkan Kota Terim ini merupakan sebuah pekan kecil di hujung Yaman (sempadan Oman) merentas padang pasir dan gunung-ganang kemerahan (Al-Ahqaf) 10 jam perjalanan darat dari Ibu Kota Yaman; Sana’a.

Ramai juga sahabat yg bertanya mengenai pengalaman saya bersama Inteam dan Zaf Al-Mawlid hampir 2 minggu di Terim, Hadramawt, Yaman. Kalau saya nak ceritakan semuanya mungkin memakan masa 2 minggu jugak lamanya… (Meminjam kata-kata seorang remaja Malaysia di Yaman lingkungan umur 20-an yg baru habis belajar agama 8 tahun di South Africa dan terus keluar mengikut jemaah tabligh selama setahun, dan baru saja pulang ke rumahnya sewaktu kami di rai dan di jamu makan di rumahnya di Terim- kata beliau “kalau saya nak ceritakan semua pengalaman saya sewaktu keluar, mungkin memakan masa setahun lamanya…”)

Jadi, saya bercadang untuk menceritakan dalam bentuk point-point; bukan berdasarkan ilmu saya tetapi berdasarkan pemerhatian dan pengalaman secebis dari kacamata seorang pendosa seperti saya ini bertandang di bumi Auliya’ penuh barokah ini… Mungkin ada silap fakta dan salah pandangan saya harap diperbetulkan sahabat-sahabat semua khususnya penduduk Terim sendiri…

Sewaktu transit di airport Doha, Qatar
  • Saya ke Terim bersama rakan-rakan Inteam; Syah dan Abdul Rahim serta wakil Al-Mawlid iaitu Zaf Nazaruddin atas niat dan tujuan ziarah serta menambah ilmu dan pengalaman.
  • Kebetulan tarikh kami ke Terim seiring dengan tarikh rombongan Habib Ali Zaenal Abidin guru kami serta pembimbing Majlis Taalim Darul Murtadza bersama beberapa orang Professor dari KUITTHO dan Mantan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut ke Multaqa’ Duaat Sedunia yg diadakan di Darul Mustafa (Madrasah Habib Umar Bin Hafidz) Di Terim, Hadramawt.
  •  Pengalaman saya seperti Disneyland yg di sebut Amir pun bermula beberapa minit sebelum mendarat di Terim, atau mungkin yang dimaksudkan Amir sebagai magical land yg penuh dengan barokah, dan keajaiban, bumi yg dipenuhi auliya’ , alim ulama, org-org soleh dan arifin….
  • Sebelum mendarat di Terim, pemandangan yg dapat dilihat hanyalah padang pasir yg sangat luas terbentang dan seterusnya gunung ganang berpuncak rata yg juga seluas saujana mata memandang.
Padang pasir seluas saujana mata memandang
  • gunung ganang ini kelihatan sungguh klasik dan primitif sehingga di atas permukaan rata gunung-ganang ini masih kelihatan beberapa kawah berbentuk bulatan besar yg saya fikirkan ianya kesan dari hentaman meteor dalam suatu jangkamasa yg sangat lama dahulu.
  • Seterusnya di antara setiap gunung ini kelihatan jaluran dan jaringan lembah yg dipenuhi pokok-pokok renek yg mana jaringan ini sangat jelas kelihatan seperti ianya suatu masa dahulu merupakan aliran sungai-sungai…
Maqam Imam Muhajir jelas kelihatan sebelum Kapal Terbang mendarat di lapangan terbang Seiyun, Hadramawt.
  • Kami tiba di lapangan terbang Terim yg serba sederhana dengan sambutan penuh mesra dari wakil Habib Umar yg menyambut  tetamu-tetamu Multaqa Duaat dan juga pelajar-pelajar Malaysia yg sebahagiannya merupakan wakil PERMAYA (Persatuan Mahasiswa Yaman cawangan Hadramawt) yang menyambut ketibaan kami… (Habib Umar pada ketika ini masih di Mekah usai menunaikan Fardu Haji.)


  • Alhamdulillah penginapan kami hanya bersebelahan dengan rumah Habib Umar dan sangat  hampir juga dengan Surau Darul Mustofa sehingga jelas kedengaran zikir para jemaahnya sebelum subuh dan waktu-waktu solat yg lainnya..
  • Pada mlm yg kedua saya tersedar jam 2.30 pagi dek kerana kedengaran jelas di surau Darul Mustafa sudah meriah dengan zikirnya… Subhanallah.. (Waktu Subuh kira-kira jam 4.30 pagi)... Patutlah penduduk Terim di bulan Ramadan mampu menunaikan solat tarawikh sehingga 100 rakaat, sehingga hampir subuh.. Rupanya mereka ini memang biasa berjaga malam beribadah dan berqiyamullail.
  • Setengah jam sebelum Subuh setiap hari, suraunya sudah terang dan jemaah sudah siap sedia untuk solat Subuh. Bermakna sekiranya anda ingin bermunajat dan qiyamullail dengan privacy perlulah ke surau sekurang-kurangnya sejam sebelum Subuh atau Qiyamullail di rumah sahaja…
  • Hampir tiada waktu terluang utk berbual kosong di suraunya melainkan seseorang akan memulakan zikir utk diikuti semua jemaah, dari zikir subhanallah, walhamdulillah… hinggalah ke zikir-zikir amalan habaib seperti wirdul latif dan ratib al-haddad.
Di hadapan pintu masuk Darul Mustafa
  • Tiada peluang utk tidur selepas subuh kerana setiap selesai subuh akan di adakan tazkirah, seterusnya zikir sehinggalah waktu isyrak dan duha. Kecuali setiap Jumaat, selesai subuh di adakan bacaan surah Al-Kahfi.
  • Setiap selepas Maghrib biasanya diperuntukan untuk bacaan Al-Quran, ada yg secara bertadarus dalam kumpulan, ada yg menghafal semak menyemak dan ada juga yg mengulang hafalan masing-masing bersendirian.
  • Hampir setiap selesai waktu solat diadakan tazkirah, zikir dan halaqah  ilmu. Sewaktu berkunjung di Ribath Terim, dimaklumkan kepada kami, setiap selesai solat maghrib hampir 55 halaqah ilmu diadakan serentak di tiang-tiang masjid mengikut level pengajian masing-masing, dan solat Isyak berjemaah dilakukan bergilir-gilir sebanyak 3 kali kerana ramainya jemaah dan jadual pengajian ilmu.
Di Ribath Tarim


Antara Halaqah ilmu di Ribath Tarim

Antara Halaqah ilmu di Ribath Tarim


Bertemu anak kepada Tok guru Pondok Pangsenam, Temerloh.
  • Berada di Terim seperti berada di kampung kita di Malaysia kerana penduduknya biasa berkain pelikat dan berbaju Melayu. Bahkan penduduk di sini berpegang kuat pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie. Dan datuk moyang mereka jugalah di antara yang membawa ajaran Islam ka Tanah Melayu.

  • Hampir tiada kelihatan muslimah di jalanan atau di kedai-kedai melainkan yg kelihatan pun bersama suami atau keluarganya dan berpakaian Jubah serba hitam, bertudung labuh dan berniqab (purdah).
  • Tiada ruang solat untuk wanita di masjid-masjid di Kota Terim, melainkan di madrasah-madrasah yg khusus utk wanita.
  • Ada lebih 300 masjid di Kota Terim dan setiap kali azan berkumandang sahut menyahut bergema dan bergaung, dan kebanyakan azan tidak banyak berlagu..
Di Hadapan Masjid Muhdor
  • Sepanjang saya di Terim, hanya saya bertemu sebiji peti televisyen ketika di sebuah kedai makan.
  • Siaran radio biasanya memperdengarkan secara live bunyi suara azan, zikir, iqamah, tazkirah dan solat dari surau Darul Mustafa, inilah yg selalu saya dengar sewaktu dalam kereta sewa. Jadi, kita sempat untuk mengetahui samada solat sudah dimulai atau belum ketika kita dalam perjalanan pulang ke Darul Mustafa dari Pekan Terim.
  • Kota Terim adalah tempatnya untuk membersihkan hati serta belajar merendah diri dan menurunkan ego kita. Kebanyakan warga Terim tinggi ilmunya tetapi sangat kelihatan sederhana dan merendah diri. Semakin tinggi ilmu mereka di sini, semakin rendah diri dan tawadhuk.
  • Sewaktu di rumah ustaz Abu Zaki (seorang  warga Singapura di Terim),  Kami telah  di datangi seorang penduduk Terim pertengahan umur, berpakaian sangat sederhana, baju melayu dan kain pelikat, dengan bajunya yg agak lusuh dan berbekas dakwat pen, beliau merupakan tetamu Ustaz Abu Zaki. Pada mulanya saya menyangkakan beliau ini ingin datang belajar bersama ustaz Abu Zaki. Ustaz menyuruh kami meminta beliau mendoakan kami, tetapi setelah diminta beliaun menolak semahunya.  Akhirnya ustaz menyuruh kami meminta nasihat darinya, beliau lantas terus menyampaikan tazkirah mengenai kepentingan ilmu selayaknya seperti seorang pensyarah sedang bersyarah. Lantas beberapa pelajar Malaysia yg berada bersama kami terus menanyakan soalan berkaitan hukum-hukum fiqah berkenaan pajak gadai, wakaf tanah, hukum-hukum terkini mengenai permasalahan wuduk dan sebagainya, maka dijawab oleh beliau seperti membaca satu persatu dari kitab lengkap dengan dalil dan pendapat-pendapat pelbagai ulama. Maka kami pun diperkenalkan oleh Ustaz Abu Zaki bahawa tetamunya ini bertaraf mufti dan merupakan salah seoarang  ahli majlis fatwa di Terim… Subhanallah, sangat tawaduk dan rendah diri wataknya.
Rumah di Terim kebanyakannya di buat menggunakan tanah liat

Rumah Ustaz Abu Zaki, satu-satunya rumah yang berwarna selain coklat dan putih.

Tetamu Ustaz Abu Zaki; Habib Hassan AlHaddad yang merupakan ahli majlis fatwa.

Habib Hassan Al-Haddad kelihatan sangat sederhana dan zuhud
  • Bapa beliau yg juga sgt tinggi ilmunya sering kelihatan di perkarangan darul Mustafa, duduk di atas tanah beralas sedikit hamparan menjual kitab-kitab yg difotostat dan beliau sering berbahasa melayu sekiranya ternampak pelajar atau tetamu dari Malaysia atau Indonesia. "Mari sini!!!...Mari sini!!!" antara dialognya bila ternampak orang Malaysia atau Indonesia.  Saya sempat membeli beberapa kitab dari beliau dan apabila diminta nasihat, beliau mengingatkan tentang kepentingan mengambil berat hal ehwal umat islam yg dalam kesusahan sambil menganjurkan kami mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Beliau turut mengijazahkan sepotong doa; "AslahAllahu umural Muslimin, SorofAllahu Syarral Mu'zin" dan disuruhnya supaya dibaca setiap kali selesai solat.
Bapa beliau yang berniaga kitab di perkarangan Darul Mustafa juga seorang yang sangat tinggi ilmunya
  • Ramai di kalangan orang awam di Terim yang tinggi ilmunya serta hafiz Al-Quran baik petani, pemandu teksi atau peniaga.
Minum Rib (susu masam ice blended) di perkarangan Ribath Terim. 
Diceritakan bahawa tuan kedai ini pergi menunaikan Haji hampir setiap tahun hasil perniagaan kecilnya ini.
  • Walaupun terletak di tengah padang pasir, Kota Terim tidak putus bekalan airnya termasuk air minuman sejuk yang boleh didapati hampir di mana-mana sahaja tempat awam. Menurut para pelajar di sini, ianya berkat dari doa Saidina Abu Bakar dalam satu peristiwa bersejarah di mana ketika permasalahan timbul dikalangan umat Islam yg tidak mahu mengeluarkan Zakat di Zaman Saidina Abu Bakar, apabila dihantar utusan ke seluruh pelusuk kawasan di bawah pemerintahan beliau bagi memerangi mereka yg tidak mahu berzakat, setibanya utusan di kawasan Terim, Hadramawt, mereka mendapati penduduk di sini masih berpegang teguh dengan ajaran Islam termasuk mengikut dan mendokong perintah dari Khalifah Saidina Abu Bakar pada waktu itu. Maka apabila diberitakan hal ini kepada saidina Abu Bakar, maka baginda mendoakan Terim dengan tiga doa: 1. Dikekalkan kewujudan kotanya terus makmur, 2. Diberkati airnya sehingga tidak putus dan sentiasa ada, 3. Dilahirkan darinya para ulama’ seperti mana tumbuhnya pokok-pokok dari bumi. Dengan sebab ini jugalah Kota Terim juga digelar Terim As-Siddiq, kerana penduduk di sini suatu masa dulu di antara umat yg membenarkan dan menyokong seruan khalifah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq.
  • Terdapat dikalangan ulama-ulama khususnya orang-orang tua di Terim yang tidak pernah melihat aurat wanita bukan mahramnya, kerana suasana dan keadaan di Terim yang menjaga semua batasan-batasan ini.
  • Masih terdapat pada masa kini (suatu masa dulu ramai) di kalangan penduduk Terim yang sebaik pulang dari Solat berjemaah Subuh di hari Jumaat, terus mandi sunat Jumaat dan bersiap-siap ke Masjid untuk mendapat pahala sunat mengawalkan kehadiran ke Masjid pada hari Jumaat.
  • Qunut Nazilah untuk kesejahteraan dan keselamatan umat Islam kerap kali di bacakan dalam solat tidak kira Subuh, Maghrib atau Isyak dan Jumaat.
  • Membaca surah Al-Kahfi adalah perkara pertama dilakukan selesai solat berjemaah Subuh di Musolla Darul Mustafa pada Hari Jumaat sayyidul ayyam.
  • Bersalaman selepas solat dengan semua para jemaah khususnya para pelajar darul Mustafa selepas isya’ sentiasa diamalkan walaupun saf dan jemaah yang memenuhi musolla dan sewaktu salam, zikir-zikir, selawat dan ayat al-quran dibaca bersama-sama. Ramainya jemaah seringkali sesi bersalaman sempat menghabiskan bacaan surah yaasin sambil bersalam, atau bacaan zikir-zikir yang lain sehingga habis.
  • Melihat pada amalan-amalan penduduk di Tarim, saya merasakan memang patutlah ramai para ilmuan, para solihin, para awliya dan arifin yang lahir dari sini. Mereka sangat menjaga amalan sunat apatah lagi yang wajib. Bersungguh- sungguh dalam mendapat kekhusyukan dalam ibadah , serta bersungguh-sungguh menjadi seorang yang tawaduk dan rendah diri.
  • Majoriti pelajar dan jemaah di Darul Mustafa dan di Terim membawa kayu sugi, dan setiap kali sebelum solat pasti mereka akan mengambil kesempatan bersugi walaupun dalam kadar yg sgt ringkas semata-mata mahu mengikut sunnah dan mendapat ganjaran seperti sabda nabi,  “ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang  dengan tidak bersugi “.  (Riwayat Muslim)
  • Tiada kelihatan penduduk di Terim, Hadramawt yang merokok atau mengunyah daun Qath seperti yang biasa kelihatan di ibu negara Yaman iaitu di Sanaa.
  • Peniaga-peniaga kedai di Terim seolah-olah tidak inginkan keuntungan duniawi sebab mereka hanya buka kedai pada waktu-waktu tertentu sahaja dan tutup pada waktu solat.
  • Terdapat di kota Terim tiga pemakaman atau kawasan perkuburan yang tertanam di dalamnya jasad beberapa orang sahabat dikalangan ahli Badar, para waliyullah, para solihin dan ahli terim yang sudah mendahului.

  • Alangkah beruntung ibu bapa, nenek moyang penduduk di sini, kerana anak cucu mereka senantiasa bahkan membiasakan memohon doa untuk mereka serta membacakan ayat-ayat suci al-quran kepada roh-roh mereka yang telah pergi. Bahkan boleh dikatakan hampir tidak putus-putus setiap masa dan ketika mereka di doakan sejak ratusan tahun mereka wafat sehinggalah ke hari ini.
  • Kalau sesetengah kebiasaan anak muda kita pada hujung minggu ke pasaraya atau shopping complex dan sebagainya, anak muda di Terim di biasakan pula menziarahi maqam, mengingati kematian dan mendoakan roh ibu bapa dan datuk nenek mereka yg telah pergi.
  • Di Maqam Zanbal khususnya, maqam yang dikhususkan untuk para habaib dan keluarga mereka, di situ tempatnya juga beberapa orang sahabat nabi dari kalangan Ahli Badar yang telah datang dan menetap di Yaman, namun tidak diketahui tempat khususnya maqam mereka. Di sini juga tempatnya maqam Saiyidina Faqih Muqaddam yang merupakan pengasas tarekat Ba’alawi dan guru kepada guru-guru yang lahir dari bumi Terim, Hadramawt. Di sini juga tempatnya maqam Imam Al-Haddad pengarang rattib Al-Haddad, Imam Abdurrahman Assegaf bin Muhammad Mauladawilah, Sayidina Abu Bakr Assakran, Sayidina Umar Muhdor dan ramai lagi para habaib dan awliya Allah.
Di Permakaman Zanbal

Di Maqam Imam Al-Haddad
  • Kami juga berkesempatan menziarahi maqam Sahabat Nabi bernama Abbad Bin Bisyr yang mana maqamnya terletak di atas gunung, dan diceritakan bahawa ketika baginda syahid di dalam satu peperangan di hadramawt, jasadnya yang ingin di ambil oleh musuh, telah di terbangkan oleh para malaikat dan di bawa sehingga ke atas pergunungan tersebut.

Maqam Sahabat; Abbad bin Bisyr terletak di atas gunung dibelakang sana

Berehat seketika sebelum menyambung pendakian

Ustaz Iqbal; Presiden PERMAYA cawangan Hadramawt mengkisahkan sirah mengenai Abbad Bin Bisyr r.a.

Sarapan setibanya di puncak berhampiran maqam Abbad Bin Bisyr r.a.

Berehat lagi..

Di atas puncak gunung

Tempat pembiakan lebah bagi penghasilan madu

  • Kami juga berkesempatan menziarahi Maqam Nabi Hud yang terletak di kawasan pergunungan Al-Ahqaf (Pergunungan kemerah-merahan) sepertimana di sebut dalam Al-Quran. Maqam ini terletak agak jauh dari kota Terim yang memerlukan perjalanan darat selama lebih kurang 2 jam.
Dalam perjalanan ke Maqam Nabi Hud

Tiba di kawasan Maqam Nabi Hud
Kelihatan di belakang ialah Maqam Nabi Hud A.S.




Bilik penginapan kami dikejutkan dengan kehadiran tetamu-tetamu mulia para habaib secara spontan untuk mendengar Qasidah dan berkongsi ilmu dan tazkirah.

  • Sangat banyak lagi pengalaman yang menarik dan ajaib yang kami lalui yang tidak dapat diceritakan satu persatu di sini, dan akhirnya saya mengerti, kalam yang dimaksudkan Amir Al-Mawlid berkenaan Terim ibarat Disneyland atau Magical Land bagi orang Islam, hakikatnya inilah tempatnya di mana keajaiban umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dari kalangan AhlusSunnah Wal-Jamaah yang masih bersih dari ancaman dan pengaruh luar. Yang mana hidup mereka serba sederhana, namun mereka juara dalam meraikan tetamu, peramah, murah senyuman, rendah diri dan tawaduk serta sentiasa memperbanyak amalan zikir, tilawah, solat dan selawat.

Saya mengambil ruang ini bagi mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada semua yang telah membantu dan mempermudahkan urusan kami sepanjang di Terim Yaman, khususnya AlHabib Ali Zainal Abidin, Ustaz Kyrel, AlMawlid, Ustaz Iqbal, Ustaz Uwais Al-Qarni, Amin AlYamani, Syed Ridhuan AsSegaf, Muhammad Bin Ibrahim AlKaff, Syed Amin (chef tomyam), Muzammil, Ustaz Nasrullah, Ustaz Ismail(Sanaa), dan ramai lagi yang tidak mampu saya sebut namanya satu persatu. Semoga Allah membalas jasa kalian dengan menambah kesihatan dan memberkati umur kalian dengan penambahan ilmu dan iman. Amin Ya rabbal alamin.

Bagi yang berpeluang, ambillah kesempatan hadir ke bumi barokah ini, untuk belajar merendah diri, hidup serba sederhana, dan menambah ilmu dan amal… Ya Allah, sungguh aku berazam suatu hari nanti ingin ke sana lagi bersama keluargaku, semoga doa ini Kau perkenankan… Amin ya rabbal alamin…


Bersama Adik Muhammad yang tinggal di Terim, masya Allah percakapannya sungguh matang dan berkisar tentang ilmu dan cita-citanya mahu menjadi ulama.

Di Maqam Imam Isa Muhajir 

Bersama pelajar-pelajar di Terim, sebahagiannya baru menamatkan pengajian di south Africa dan menyambung pengajian di Darul Mustafa


Di beri peluang mengadakan persembahan di malam Mahrajan Nasyid walaupun kami jauh daripada layak.

Mengalunkan qasidah Ya Hanana dan Nurul Mustafa sambil diiringi ketukan duff secara spontan dari kumpulan Qasidah  rasmi Darul Mustafa.

Di rumah anak dan menantu kepada seorang ulama besar Tok Guru Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan


Madu Yemen memang terkenal kualitinya terutamanya Madu Sidr

Di Babul Yaman, Sanaa sewaktu transit dua hari di Sanaa sebelum pulang ke tanahair. Bersama Ustaz Ismail yang banyak membantu kami sewaktu di Sanaa.

|
10 Responses
  1. Anonymous Says:

    Masyaallah. tempat cantik, akhlak masyarakat pun cantik.


  2. Anonymous Says:

    Masya Allah ..
    rihlah yang indah :)


  3. SubhanalLah... masyaAllah... (",)


  4. bila dapat dtg ke sini...tapi wanita boleh ke ...


  5. Ummi Hanifah Says:

    jauh berjalan, luas pemandangan, bertambah ilmu. keindahan ciptaan Tuhan.


  6. Unknown Says:

    Terima kasih kerana berkongsi pengalaman yg amat manarik dan berharga ini


  7. Unknown Says:

    Terima kasih kerana berkongsi pengalaman yg amat manarik dan berharga ini


  8. Cho Zila Says:

    Subhanallah terasa ingin ke sana....
    Dapat mesej whatsapp dari grup tentang bandarni...
    google jumpa blog ini...
    memang benarlah seperti dalam whatsapptu melihatkan gambar2 ini...
    memang sesuailah kiranya kita dapat pergi ke sanakan...
    merawat hati mendamaikan jiwa menjadi muslim sejati...
    muslimah bolehker datang ke sana yer??


  9. Noor Says:

    .... terasa ingin ke Sana...teringat anak yang masih belajar di Sana... rubath fatah seiyun...



Blog Widget by LinkWithin