
"Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa; Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu, masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu, masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu, masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu, masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin."(Hadis riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas r.a.)
Sengaja ana paparkan hadis di atas sebagai peringatan kepada diri sendiri, sesungguhnya ana baru saja melalui satu masa kesibukan yang teramat sangat bagi diri ana.
Alhamdulillah, ana baru saja selesai menyiapkan rakaman terjemahan bahasa melayu 30 juzuk Al-Quran. Perlu kuat semangat untuk menyiapkannya, satu juzuk secara puratanya memakan masa 3 jam dan sehari ana cuba habiskan sebanyak-banyaknya 3 juzuk. Hampir sebulan juga ana berhempas pulas menyiapkannya, sebab ana bukan hanya menumpu kepada perkara ini sahaja, dalam masa yang sama, ana kena siapkan produk Bijak Tajwid bersama Ustaz Zamri Manthop... Juga satu kerja yang sangat panjang untuk disiapkan. Sejak tahun lepas lagi ana mula buat skrip dan powerpoint slide yang berjumlah lebih seratus muka surat...
Alhamdulillah, sangat besar hikmahnya ana dapat terlibat dengan rakaman terjemahan ini... Allah maha kaya, dan Kalamullah itu sangat hebat kandungannya... Banyak ilmu yang ana dapat dari rakaman ini, dan semoga setiap masa dan detik yang ana korbankan untuknya dinilai Allah sebagai jariah, apabila insan lain mendengar terjemahan ini... amiiinnn...
Semalam ana berjaya melakukan perkara yang sekian lama tertangguh; potong rumput halaman rumah ana... Manakan tidak, setiap hari, lepas balik kerja, ana terpaksa berehat dan sambung semula untuk rakaman di studio lepas maghrib atau isya... Hinggalah ke jam satu pagi... Mungkin anak-anak tersayang tertanya-tanya, apalah yang ayah aku buat, siang malam, pagi petang asyik pergi pejabat je, dah lah hujung minggu pergi outstation untuk show... Dalam hal ni, isteri analah yang paling memahami...
Mujurlah, di celahan kesibukan pagi hingga ke pagi ana tu, sempat juga ana menunaikan janji bawa isteri dan anak-anak bercuti ke Hong Kong... Alhamdulillah, isteri ana yang uruskan semuanya, dari tahun lepas lagi dah beli tiket murah Air Asia, akhirnya, genap setahun selepas ana dan isteri meninggalkan anak-anak waktu pergi umrah tahun lepas, dapat juga kami tunaikan janji untuk bawa mereka jalan-jalan pulak tahun ni...
Berat juga hati nak ke Disneyland, bila dapat tahu Disney termasuk dalam senarai boikot... masakan tidak, dah sekian lama duk boikot KFC dan MCD, tiba-tiba nak ke Disneyland pulak... Tapi kenalah pergi juga, sebab tiket dah beli tahun lepas pun... sebelum zaman ana memboikot lagi... Insya Allah, semoga Allah memperkuatkan lagi diri ana untuk meneruskan usaha boikot terpilih ini... Ana insan yang lemah, sedang cuba sedaya upaya menjadi muslim dan mukmin yang prihatin kepada saudara seislam yang lain... alhamdulillah, hajat ana nak ke Masjid Kowloon dipermudahkan Allah, dapat pulak hotel yang dekat je dengan Masjid tersebut...
Berbalik ke cerita kesibukan tadi... Minggu ni, staf Inteam records pula sibuk dengan booth kami di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa... Ana mungkinlah kurang sibuk dah skit, (kalau dah sempat tulis blog ni) cuma dengan show sajalah, di ofis ni pun lengang je, takde orang... Insya Allah ana pun akan jenguk gerai setiap hari bila ada kelapangan... Jemputlah beramai-ramai datang ke gerai kami di booth no 85.

Dalam kesibukan kerja, sedar tak sedar dah lebih sebulan Ustaz Tahassan yang pulang ke tanahair untuk urusan rasmi Inteam bersama kami... Sudah tiba masanya beliau terpaksa pulang ke bumi anbiya' Mesir untuk kembali kepada kecintaannya terhadap ilmu di sana... Sesungguhnya beliau benar-benar mewarisi ilmu dan semangat juang ayahandanya Datuk Hassan Azhari yang kami hormati... Pengalaman Ustaz Taha mengiringi Sheikhul Azhar Muhammad Sayyid Tantawi sewaktu Majlis Tilawah Antarabangsa tahun lalu, membuatkan beliau rapat dengan tokoh ulama tersebut. Bahkan kepulangan beliau ke Mesir ini juga dengan membawa pelbagai barangan yang dikirim dan yang hendak dihadiahkan kepada Fadhilatus Sheikh dari keluarga beliau... Sesungguhnya banyak mutiara ilmu dan pengajaran yang kami dapat dari Ustaz Taha sepanjang beliau bersama kami... Ana yang telah menyimpan hasrat untuk menjemput beliau dari airport sewaktu beliau pulang dulu, telah gagal kerana beliau pulang 'senyap-senyap' akhirnya berjaya juga menghantar beliau ke airport untuk pulang semula ke Mesir... Alhamdulillah...

Selain itu, sempat juga kami menyambut ketibaan tetamu; sahabat kami dari Singapura iaitu Abang Zack dan keluarga. Cadangan nak surprisekan Abang Zack dengan lagu ciptaan beliau untuk arwah anaknya tak menjadi sebab Abang Zack dah dengar demonya sewaktu di Studio Inteam. Rasa bersalah pulak bila Abang Zack dan keluarga semuanya menitiskan airmata mendengar demo lagu tersebut... Namun, Ustaz Taha bijak mengawal keadaan dengan menimbulkan semula suasana ceria...Mohon maaf pada Abang Zack dengan layanan kami yang tak sebanding dengan layanan Abang Zack sewaktu kami ke Singapura.
Sekali lagi, kesibukan yang membataskan...

Semoga masa-masa yang berlalu, masa-masa yang sibuk dan disibukkan, masa-masa yang akan datang akan menjadi setiap saat dan detiknya dipenuhi dengan kemanfaatan dan sesuatu yang boleh dijadikan hujjah yang baik di hari kita di hisab nanti... Amiiinnnn....
"Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan: Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya? Ilmunya; bagaimana ia amalkannya? Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya?Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya?(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn Abid al-Aslami)
Assalamualaikum, dah lama rasanya tak posting perkara serious...
NASYID: ANTARA POPULARITI DAN PRINSIP
Oleh: Technodaie - Amin Inteam
Sejarah kemunculan nasyid di Malaysia
Irama nasyid sudah dikenali di Malaysia sejak munculnya kumpulan-kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan seumpamanya yang kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Perkembangan itu juga selari dengan munculnya kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau ‘underground’ yang dipelopori oleh Jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an. Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum secara total apabila Raihan menjengah dunia komersial industri muzik tanahair dengan album pertama mereka Puji-pujian yang mendapat sambutan luar biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di Malaysia hatta Mawi sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta unit.
Faktor Ikhlas sebagai X-Factor
Apabila kita mengkaji dan menilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut, banyak faktor yang kita boleh catitkan antaranya kelainan, pembaharuan, kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy-listening dan banyak lagi. Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak nyata iaitu IKHLAS. Sifat Ikhlas diibaratkan seekor semut hitam, yang berjalan di atas batu yang hitam dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap pekat. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar dilihat? Di sini dihuraikan falsafahnya.
Raihan adalah kumpulan nasyid pertama yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan tentang jualannya, sambutannya, konsepnya, adakah mereka akan diterima atau pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas? Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah dunia nasyid pasca komersial. Maka muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep perkusi semata-mata.
“By Allah’s Will”
Kalau kita kaji dengan logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujjahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori itu langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated oleh kita sekarang. Kenapa dengan menggunakan teori yang salah, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar Negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar Negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Di sini bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagai Muslim dan Mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanannya dan Kuasanya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita. Teringat penulis seorang pensyarah Biologi di Pusat Matrikulasi yang mewajibkan pelajar meletakkan ayat “by Allah’s will” dalam setiap jawapan teori-teori biologi yang dipelajari ketika itu. Di sinilah prinsip pertama kita sebagai penasyid yang membezakan kita dengan prinsip artis biasa yang selalunya diwajibkan oleh production house; wajah yang menarik, muzik dan lagu yang sedap, bakat yang ada walaupun sedikit.
Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak Allah
Kembali kepada topik, hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya. Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada Kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logic akal dan nafsu. Hati-hati manusia di gerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati ramai orang untuk melihat dan mendengar hasil kerja mereka ini. Hatta beberapa non-Muslim yang akhirnya memeluk Islam asbab mendengar lagu Raihan juga dibuka hati mereka oleh Allah. Sehinggakan non-muslim dari luar Negara yang tidak faham bahasa melayu, ada yang memeluk Islam mendengar lagu Raihan yang mereka tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati mereka.
Maka, kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid, ingin keluar dengan album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat, hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui nasyid kita mulakan juga dengan niat; NIAT YANG IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah. Namun hakikatnya tentu sukar untuk penasyid-penasyid menanam niat yang ikhlas hatta penulis sendiri sekalipun. Kenapa? Kerana kita semua sudah ada rujukan tentang kejayaan Raihan. Bukan mempertikaikan niat semua penasyid, tapi untuk kita berusaha memperbaharui niat kita. Sekurang-kurangnya, penasyid kedua, ketiga, keempat, kesepuluh, kelimapuluh dan seterusnya, pasti jika tidak banyak, sedikit terganggu niat mereka apabila melihat kejayaan Album Raihan dijual 600,000 unit dengan royalty mereka yang membolehkan mereka membeli rumah dan hidup selesa, dengan popularity mereka, yang disanjung dan muncul dalam media TV dan akhbar setiap masa, dengan sesetengah peminat yang tidak mengawal diri menyanjung dan memuja mereka. Pasti terdetik dalam hati, ingin kaya seperti mereka, ingin popular seperti mereka, ingin disanjung seperti mereka dan sebagainya. Namun inilah sebenarnya cabaran hebat bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah dalam bidang ini. Hatta kepada Raihan sendiri, mungkin terganggu dengan faktor-faktor ini untuk album-album mereka yang seterusnya.
Penasyid harus memusatkan niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran, namun niat mereka Ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “Kun fayakun”. Bukanlah tujuan penulis untuk menggalakkan hasil produksi yang tak berkualiti. Membuat kerja yang terbaik dan menghasilkan suatu yang terbaik adalah sangat digalakkan dalam Islam, Cuma ingin dihuraikan disini teori niat dan yakin pada kehendak Allah. Lebih cantik lagi sekiranya penasyid tersebut membuat satu album yang terbaik kualitinya dan beri’tikad dengan kualiti niat yang terbaik. Kita sebagai penasyid dan mungkin bakal penasyid, termasuk penulis sendiri, marilah kita renung jauh ke dalam diri kita sendiri, dalam 100% pecahan niat kita berapa peratuskah hakikatnya kita peruntukkan untuk menjadikan kerja kita ini sebagai dakwah. Sekiranya kita buatkan carta pai mungkinkah 10% untuk dakwah, 30% untuk duit, 40% kerana minat muzik, 20% kerana ingin popular dan disanjung. Atau banyak lagi pecahannya. Cuba kita renungkan secara telus dan amanah kepada diri kita sendiri, bagaimana pecahan peratusan kita? Atau mungkinkah 70% untuk popularity, atau 100% untuk wang, atau 100% kerana Allah, jika ada Alhamdulillah.
Renungkanlah sejenak untuk kebaikan diri kita sendiri, dan kebaikan genre nasyid tanahair yang kian suram dan tidak efektif dasawarsa ini.
Nasyid bukan dakwah?
Nasyid memang sebenar-benarnya salah satu cabang dakwah. Salahlah bagi mereka yang mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikaitkan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu Nasyid? Kalau bukan Islam sehingga memeluk Islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang Islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid. Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, nabi Daud di beri mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, Nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat dan budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka. Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti HIBURAN. Maka, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadikan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya. Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman manusia ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba pastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pendengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Bermula dari niat kita, pembikinan album, rakaman lagu di studio, pemilihan lirik dan lagu, susunan muzik, sekecil-kecil perkara pun harus di ambil berat sekiranya boleh membantu memfokuskan niat kita, umpama berwudhu sebelum rakaman, solat hajat, menghadap kiblat, berdoa sebelum rakaman dan seumpamanya. Kerana pernah dalam Islam sekecil-kecil amalan bersugi pun mampu mempengaruhi natijah usaha kita, sekecil-kecil rengangan dalam saf pun, mampu menewaskan kita dalam peperangan besar, maka dalam usaha dakwah kita, sekecil-kecil amalan pun perlu kita titik beratkan agar natijah lagu kita tidak mampu menjadi asbab hidayah kepada pendengarnya.
Bersambung...
Anugerah Staf Paling Series@Family Day IRSB
Staff dan famili yang menyertai family day IRSB di Duta Sands Beach Resort, Kuantan
Anak-anak Inteam dan staf IRSB@family day
Penyelaras program dan MC@Family Day
Peserta Pertandingan Bowling anjuran Masjid An-Nur Singapura
Team Yang dapat Nombor 2, Fairus a.ka. Best Bowler tiada dalam gambar (jadi cameraman)
Di hujung-hujung Syawal ni, banyak lagi rumah terbuka di adakan...
Termasuklah tahlil dan jamuan raya di rumah ana... Walaupun tak jemput ramai sangat, tapi dekat 100 orang jugaklah datang... Terima kasih kepada semua yang sudi hadir.. Kehadiran anda semua memeriahkan lagi majlis kami....
Sebahagian juadah yang ada...
Antara tetamu yang hadir...
Rumah terbuka Abg Munif Hijjaz...
Assalamualaikum...
Alhamdulillah, ana dan keluarga telah selamat pulang dari sebuah perjalanan panjang ke Negara seberang tambak iaitu Singapura. Tujuan utama ke sana adalah untuk memenuhi jemputan persembahan Walimatul Urus Faizal & Fateelah di Woodlands. Namun, misi ini diluaskan lagi dengan membawa keluarga ana makan angin di sana sambil beraya di rumah saudara-saudara seIslam di sana.
Sebelum bercerita panjang tentang Kembara di Singapura, Rabu lepas ana berpeluang menghadiri satu Majlis bersama seorang keturunan nabi yang mulia iaitu As Syeikh Al Habib As Sayyid Ahmad Bin Sayyid Muhammad Alawi al Maliki al Hasani..ulama yang Berasal dari Tanah Suci Makkah. Ana hadir ke Majlis yang diadakan diKemensah Heights itu bersama Sheikh Rahim dan diikuti Sheikh Taha.

Alhamdulillah, dapat juga kami mendengar sedikit mutiara kata dari beliau, dan beberapa orang ulama dan para habib yang mengikuti rombongan beliau. Sempat juga ana mengucup tangan dan pipi Fadhilatus Sheikh Al Habib As Sayyid Ahmad Bin Sayyid Muhammad Alawi al Maliki al Hasani, sambil berharap dan berdoa agar suatu hari nanti, di akhirat kelak, dapat juga ana mencium dan mendakap datuk beliau; kekasih Allah yang kita rindui, nabi Muhammad S.A.W.
Sekali lagi ana merasa diri ini terlalu hina, dan kotor dengan maksiat, hinggakan tak sanggup bertentang mata dengan beliau. Semoga Allah izinkan ana dan keluarga serta sahabat-sahabat berada di bawah naungan syafaat datuk beliau, Nabi Muhammad S.A.W.
Kembali kepada cerita kembara ke Singapura. Setibanya ana dan keluarga di Singapura, kami telah dinantikan oleh Salimah untuk dibawa ke rumahnya di Woodlands, hampir dengan sempadan. Alhamdulillah, pasangan Reza dan Salimah sangat-sangat meraikan kami dan melayan kami dengan sangat baik. Terima kasih kepada mereka berdua, semoga Allah memurahkan rezeki mereka dan memberi kebahagiaan kepada mereka berdua.
Hari pertama di Singapura, kami dibawa beraya ke rumah sahabat-sahabat dan saudara Reza dan Salimah. Seronok melihat ukhwah mereka yang sangat erat. Reza dan sahabat-sahabat nasyidnya, kumpulan Inabah kelihatan seperti adik-beradik, sangat erat dan mesra.
Hari kedua, kami ke beberapa buah rumah lagi termasuk rumah keluarga mertua Fitri UNIC, kebetulan beliau berada di sana. Kami juga ke rumah Abang Zack yang baru kehilangan insan tersayang; anak sulungnya allahyarham Fakhrul Aiman, yang pergi menghadap Ilahi pada hari raya ketiga yang lalu. Sekalung Al-fatihah untuk arwah.... Semoga Allah memberi kekuatan kepada Abg Zack, isterinya dan keluarga untuk melalui ujian ini.
Selepas habis beraya, kami memulakan perjalanan ke Pulau Sentosa menaiki MRT, terima kasih kepada Salimah yang sanggup menghantar kami sampai ke sana. Kami sampai dah agak lewat petang, sempatlah kami pusing-pusing Pulau Sentosa dan menonton tayangan 4D dan persembahan air, api, dan cahaya dalam Songs of The Sea. Pulang dari sana, kami cuba menaiki MRT sendiri untuk pulang ke Woodlands, alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan dan tidak sesat, walaupun kena bertukar train dan sebagainya.
Seterusnya, hari Ahad, sahabat-sahabat Inteam yang lain pun tiba untuk kami mengadakan persembahan dalam walimatul urus yang ana sebutkan tadi. Persembahan kami ni merupakan surprise present dari adik dan ibubapa pengantin perempuan yang sememangnya merupakan peminat Inteam.
Petang sebelum pulang ke Malaysia, kami berkesempatan menziarahi pusara anak Abg Zack di tanah perkuburan Muslim yang teratur di sana dan membacakan Yasin dan tahlil. Selepas itu kami tidak melepaskan peluang menziarahi maqam ahlul bait, Habib Nuh dan Habib Abdul Rahman Al-Habsyi di Palmer road. Bagaikan sudah menjadi acara wajib setiap kali kami ke Singapura untuk menziarahi maqam waliyullah ini.
Seterusnya, perjalanan kami di Singapura berakhir di sini, selepas mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga Abg Zack, dengan berat hati kami meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, kami selamat sampai KL hampir jam 12 malam.
Orang kata gambar membawa seribu cerita dan makna .
Jadi ana letakkan gambar-gambar di sini, sebagai huraian
kisah-kisah yang berlalu sepanjang 2-3 bulan ni....
Gambar pagi Raya...
Hepi B'day to my dearest wife... (1.10.08)
Sorang control ayu, sorang control macho :-)
Ifthar IRSB & KTI 2008 bersama anak yatim PEWANIDA...
Bikers alaf baru :-)
Show Inteam Di Prince Of Songkhla Univ. Pattani Thailand...


