Assalamualaikum...
Salam Ramadhan buat semua...
Agak lama jugak rasanya tak update blog ni...
Dek kerana kesibukan tugas-tugas di pejabat IRSB dan juga memenuhi undangan persembahan, maka baru sekarang berkesempatan menulis sepatah dua kata di sini.
Sedar tak sedar, kita telah bertemu dengan Ramadhan tahun ini, alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberi peluang kesihatan dan umur yang panjang untuk kita bertemu semula dengan bulan Ibadah ini.
Semoga kita semua dapat menyempurnakan ibadah-ibadah kita di sepanjang Ramadhan ini dan menyucikan hati-hati kita serta membawa kesan perubahan ini ke bulan-bulan yang seterusnya...
Selamat Berpuasa....
Alhamdulillah, kami telah selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing setelah melalui sebuah kembara dakwah di Singapura dan Sabah.
















Sesungguhnya perjalanan ini sangatlah meletihkan, namun dek kerana mesranya jalinan ukhwah dan ihtiramudduyuf yang diberikan kepada kami oleh warga Singapura dan Sabah yang menyambut kami, maka keletihan bertukar menjadi memori kembara yang indah.

Perjalanan kami ke Sabah bermula dengan ujian apabila sebelah engine kapal terbang yang kami naiki dikesan mengalami kerosakan. Lebih menakutkan kami kerosakan itu dikesan hanya beberapa saat sebelum tayar kapal terbang terangkat dari landasan, membuatkan pilot terpaksa membuat emergency brake, dan kami masuk semula ke dalam terminal. Alhamdulillah, Allah menentukan kerosakan itu dikesan awal, tak tahulah apa yang akan terjadi pada kami kalau kerosakan dikesan ketika sedang berada diudara. Penerbangan tertangguh kerana kami terpaksa ditukarkan ke Kapal terbang yang lain. Akibatnya, seluruh program yang padat yang telah dirancang di Sabah terpaksa ditunda waktunya. Setibanya di Tawau, kami sepatutnya terus mengadakan motivasi selepas melalui perjalanan darat 2 jam lebih ke Lahad Datu, mujurlah program itu di tunda kepada hari berikutnya. Seterusnya kami melalui pula perjalanan hampir 5 jam ke Felda Sahabat, untuk motivasi di sana. Mujurlah permandangan pinggir pantai di Sahabat yang indah, mengurangkan keletihan kami. Namun kami tidak berkesempatan langsung memijak pasir pantainya, hanya melihat dari kejauhan, dek kerana program yang padat, dan terpaksa pulang semula ke Lahad Datu selepas program di Sahabat.
















Terima kasih buat warga kerja Konsert inteam di Sabah yang bersungguh-sungguh memberi layanan terbaik buat kami. Juga membawa kami menikmati suasana hari minggu di sekitar bandar Tawau. Khususan ila Ustaz Manis, sepertimana gelaran enta, begitulah manisnya kenangan sepanjang bersama enta di sana. Juga kalau boleh disebut nama insan-insan lain yang membantu kami sepanjang di Sabah antaranya; Boy dan keluarganya, Us. Elyas, Us. Nazarul, Rosli, Khamis, Us. Nabil, AJK muslimat dan seluruh warga Tawau, Sepagaya-Lahad Datu dan Felda Sahabat Desa Kencana yang meraikan kehadiran kami di sana.

















Terima kasih juga kepada seluruh warga Madrasah Wak Tanjung, Singapura atas kesudian antum menjemput kami dan atas layanan yang istimewa. Dedikasi terima kasih khas untuk Abang Zack yang menemani kami sepanjang berada si Singapura dan membawa kami menziarah sekitar Singapura walaupun dalam waktu yang amat singkat. Sesungguhnya, layanan dan jalinan ukhwah yang ikhlas dari hati enta, sangat berbekas di hati kami dan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.





















Semoga jalinan Ukhwah ini akan terus berkekalan dan dirahmati Allah. Terima kasih...
Kesibukan show, design dan perpindahan pejabat membuatkan ana tak sempat update secara detail, cuma beberapa keping foto untuk kenangan masa depan...











Bergambar di sawah padi selepas show kenduri Pendang, Kedah.












Terserempak YB Menteri Besar Perak di RnR Bukit Merah waktu singgah nak solat.
Very humble MB, cuma naik Kia Karnival bersama familinya.












Di celah kesibukan sempat bawa famili ke Snow World, di Mines Wonderland.















Afnan di Mines Wonderland.


















Penyejuk mata, Penawar Hatiku.


















Di Primula Beach Resort, untuk dinner show sekolah Al-Amin, Terengganu.











Ana dan monyet-monyet di atas Bukit Melawati, Kuala Selangor,
sebelum show Tilawah Al-Quran Peringkat Selangor.
Daripada Muaz bin Anas ra bahawa Rasulullah saw bersabda, "sesiapa yg meninggalkan pakaian yg indah dgn tujuan merendah diri kpd Allah, sedangkan ianya mampu berbuat demikian, maka Allah memanggilnya pada hari kiamat dihadapan orang ramai, kemudian Allah menyuruhnya memilih pakaian yang ia suka daripada berbagai-bagai pakaian orang yg beriman. (Attarmidzi: )

Bila terbaca hadis ni, terkenangkan diri sendiri, alangkah indahnya kalau dapat menjadi hamba yang disebut namanya dikhalayak mahsyar nanti untuk memilih mana-mana pakaian orang yang beriman...
Layakkah ???

Mungkin kalau nak digambarkan ibarat kita sedang beratur di perhimpunan sekolah, dan guru besar nak mengumumkan nama-nama pelajar yang mendapat 9A dalam PMR... Kalaulah nama kita disebut, bayangkanlah bagaimana perasaannya. Tak terbandinglah kalau nama kita di sebut Allah azza wa jalla yang menciptakan kita dan seluruh umat yang berhimpun pada hari itu....

Wallahu A'lam.
Labels: 2 comments | |
:: Kembara di bumi Makkah ::

Dalam perjalanan ke Tanah suci Makkah, kami singgah di Miqat Masjid Bir Ali untuk berniat Ihram dan niat menunaikan ibadah umrah. Sebaik-sahaja menyempurnakan niat dan menunaikan solat sunat Ihram di Masjid Bir Ali, talbiah tidak putus-putus kami laungkan. Terasa satu tanggungjawab yang berat kami pikul untuk menjaga pantang larang ihram ini. Perjalanan kami seterusnya bermula dengan ujian apabila Ustaz Rozali menyedari bahawa passport kami semua tertinggal di Hotel di Madinah. Mujurlah perjalanan kami keluar Madinah masih dekat lagi. Kasihan Ustaz Isbat terpaksa pulang ke Madinah untuk mendapatkan passport kami. Sepanjang menunggu, kami hanya berehat di dalam bas, ada yang tidur dan ada yang jaga. Cuaca diluar, di hentian stesen minyak di tengah-tengah padang pasir, kelihatan agak buruk, dengan ribut pasir kecil dengan sedikit hujan. Yang pastinya talbiah dan doa tak putus-putus dilafazkan. Terasa alangkah hinanya diri ini, alangkah kerdilnya diri ini yang mahu menjadi tetamu Allah Yang Maha Agung, mahu menghadapnya di rumahnya yang suci Baitullahilharam.

Perjalanan kami yang masih panjang, diteruskan setelah Ustaz Isbat tiba dengan membawa passport kami. Dalam hati ini, sentiasa melegakan hati bahawa pastinya ada hikmah disebalik tertangguhnya perjalanan kami yang memakan masa hampir 2 jam ini. Perjalanan yang masih menanti sekitar 5 jam lagi. Akhirnya, kami tiba juga di Bumi suci Makkah Al-Mukarramah. Hati ini berdebar-debar, bercampur sayu sekali lagi sepertimana perasaan memasuki bumi Madinah tempoh hari. Masuk saja ke Kota Makkah, keadaannya seperti siang hari walaupun jam sudah melebihi tengah malam. Semua manusia sedang sibuk, jalanrayanya penuh dan sesak dan lampu terang benderang dengan kedai-kedai yang masih rancak beroperasi. Mata ini mencari-cari, di manakah letaknya Masjidil Haram. Akhirnya di celahan bangunan-bangunan, kelihatanlah dinding Masjidil Haram. Keletihan dan mengantuk, sekali lagi hilang entah ke mana, digantikan dengan perasaan sayu, berdebar-debar dan tidak sabar.

Setelah cek in di Hotel Ufuk Al-Fateh 2, kami berkumpul di lobi untuk menunaikan Ibadah umrah wajib. Kedudukan hotel agak jauh dengan Masjidil Haram kerana hotel disekitarnya sedang dalam proses baikpulih. Kami berkumpulan bergerak menuju Masjidil Haram yang lebih kurang 700 meter jaraknya sambil bertalbiah. Lagaknya seperti askar yang sedang berkawad, kami tidak menghiraukan keadaan sekeliling, kerana tujuan kami hanya satu untuk menuju ke rumah Allah menjadi tetamunya dan sembah sujud padanya. Hanya Allah yang tahu, perasaan ini sepanjang berjalan di dalam Masjid menuju ke dataran Kaabah… Sambil mata mencari-cari, akhirnya kelibat Kaabah kelihatan di celah-celah tiang Masjid… “Kami menyahut seruanMu Ya Allah, Kami datang kepadaMu Ya Allah” Di dalam hati ini, seribu satu perasaan bercampur baur menjadi satu perasaan yang tak tergambar dengan kata-kata. Hampir jam dua pagi, kami memulakan tawaf kami. Alhamdulillah, walaupun jemaah yang tawaf sememangnya ramai, tapi tidaklah sesesak yang kami jangkakan. Mungkin kerana kelewatan kami tiba. Alhamdulillah, tawaf kami berjalan lancar dan habis dengan cepat. Hati ini menghamburkan segala isinya ketika solat sunat Tawaf dihadapan Multazam. Satu perasaan yang hanya menjadi kenangan manis di hati ini, tidak mampu digambarkan atau diceritakan. Terasa begitu hampir dengan Allah dirumahNya ini, walaupun Allah itu hampir dengan kita walau di mana juapun.


Ibadah kami diteruskan lagi dengan mengerjakan Sa’ie antara Safa dan Marwah. Satu ibadah yang benar-benar menguji kekuatan fizikal dan rohani. Pastinya mengingatkan kembali susah-payahnya Siti Hajar ketika ditinggal bersama anaknya Ismail, yang mana pada waktu itu keadaannya jauh berbeza, di tengah padang pasir yang kering kontang. Kini, semuanya selesa, dengan bumbung dan aircond serta laluan yang bersimen. Alhamdulillah, Ibadah Umrah yang menjadi tujuan utama kami ke sini selesai juga setelah kami bertahallul. Terasa seperti satu kejayaan besar dan kurniaan yang tak terhitung nikmatnya dari Allah taala. Beberapa kali ana suarakan pada Ustaz Rozali, syukurlah Allah lewatkan perjalanan kami, kerana hikmahnya, kami dapat melakukan Ibadah ini dalam keadaan tidak terlalu sesak. Cepat dan mudah saja, sedar tak sedar, kami sudah selesai melaksanakannya, walaupun hakikatnya memakan masa lebih 2 jam… Sebaik saja kami selesai saie dan tahallul, azan pertama berkumandang sebagai menandakan persediaan untuk masuknya waktu subuh sejam kemudiannya. Azan yang selalu didengari dalam rakaman di Malaysia, kini secara live dari Masjidil Haram.

Kami bergerak ke dataran Kaabah untuk bersedia menunaikan solat Subuh sambil memperbanyakkan solat sunat. Kedengaran suara Imam yang sangat lunak dan Ikhlas, melembutkan hati ini, langsung menghilangkan rasa mengantuk dan letih. Selepas solat subuh, ana, Ustaz Rozali dan Encik Nazrin mencari kedai gunting rambut untuk mencukur rambut. Seterusnya kami kembali ke hotel untuk berehat.

Sepanjang berada di Makkah, bilik hotel ibarat tempat persinggahan untuk tidur seketika sahaja, kerana para jemaah berebut-rebut untuk memperbanyakkan masa beribadah di Masjidil Haram. Ana dan Isteri cuba untuk menunaikan Ibadah Tawaf Sunat sekurang-kurangnya sekali sehari. Selalunya kami tawaf sunat selepas asar atau selepas maghrib kerana keadaannya yang tidak panas walaupun agak ramai jemaah bertawaf pada waktu-waktu tersebut. Ana cuba untuk solat di dataran Kaabah setiap waktu solat, kecuali zohor kerana cuaca yang sangat panas. Sepanjang berada di Makkah dan Madinah, setiap kali masuk dan keluar Masjid, ana dan zaujah mengamalkan minum Air Zam zam untuk memberi kesegaran dan kesihatan bagi mempermudahkan beribadah.

Alhamdulillah, asbab keberkatan air Zam zam ini, dengan kekuasaan Allah, ana tidak langsung terkena demam dan batuk walaupun setiap kali ana meminum air Zam zam yang sejuk dan berais. Hakikatnya, ana memang tak boleh langsung minum ais, hatta segelas pun boleh membuatkan ana demam tonsil.

Di Makkah, kami juga berpeluang merasai pengalaman berpuasa. Walaupun hakikatnya cuaca sangat panas, namun berpuasa di sini sangat seronok kerana suasananya. Di Masjid, ramai yang mengambil peluang untuk bersedekah kepada mereka yang ingin berbuka. Pendek kata, kita tidak perlu risau langsung tentang juadah berbuka, kerana pasti ada disediakan.

Hari ketiga di Makkah, kami di bawa ziarah luaran ke Jabal Rahmah, Mina, Muzdalifah, Jumrah, Arafah dan beberapa tempat bersejarah di Makkah. Peluang berdoa dan menyampaikan doa mereka yang mengirim di Jabal Rahmah tidak kami lepaskan. Kami juga berpeluang melihat ribuan khemah moden di Arafah dan Muzdalifah dan juga hotel yang sedang dibina untuk VVIP berwukuf. Terasa jauhnya lebih mujahadah menunaikan Ibadah Haji daripada Umrah ini yang hanya mungkin 10% saja dari Ibadah Haji. Ya Allah, terimalah kami lagi untuk menjadi tetamuMu menunaikan Rukun Islam kelima ini pula satu hari nanti… Amiiinnn.

Hari keempat di Makkah, kami dibawa ziarah luaran lagi. Salah satunya di Masjid Hudaibiyah di mana kita boleh bermiqat untuk Ihram dan Umrah. Beberapa jemaah kami mengambil peluang ini untuk menunaikan Ibadah Umrah sunat dan Badal, Ana sendiri berniat menunaikan Umrah Badal bagi Ayah mertua ana. Namun umrah sunat dan badal kami kali ini tidak lagi dikepalai oleh Ustaz Isbat sebagai Mutawwif kerana beliau letih sebab baru saja membawa jemaah Umrah lain semalamnya. Para jemaah yang bercadang membuat umrah sendiri akhirnya meminta ana mengepalai mereka. Terasa beratnya tanggungjawab yang terpaksa dipikul ana yang jahil ini. Berbekalkan doa semoga Allah mempermudahkan dan membantu ana untuk menunaikan Ibadah kali ini dan membawa jemaah bersama, kami pun meneruskan Tawaf dan Sa’ie. Alhamdulillah, doa di tanah suci ini sentiasa diperkenankan Allah, kami selesai menunaikan Ibadah Umrah kali kedua ini juga tanpa sebarang masalah.

Pagi Jumaat, kami bercadang untuk merasai pengalaman Rasulullah mendaki gunung Nur untuk bertafakur di Gua Hira’. Hanya beberapa jemaah lelaki dan seorang muslimat iaitu Zaujah ana yang bersedia untuk menyahut cabaran ini. Memang risau juga memikirkan mampu atau tidak kami melakukannya. Menurut Ustaz Rozali, mendaki Jabal Nur ini mungkin memakan masa hingga 2 jam.

Setibanya kami dikaki Jabal Nur, memang jelas kelihatan betapa tingginya gunung batu ini. Dari bawah sayup-sayup kelihatan manusia sebesar semut sedang mendaki gunung ini. Perjalanan kami di jalanan kampung menuju kaki bukit ini pun sudah cukup meletihkan dan hampir saja mematahkan semangat ana dan isteri. Belum lagi mendaki gunung berbatunya lagi. Manakan tidak, jalanan itu saja curamnya hampir 60 ke 70 darjah. Pendakian kami diteruskan berbekalkan semangat dan inspirasi mengingati perjuangan Rasulullah. Mujurlah sepanjang pendakian, ada anak-anak tangga simen yang dibina oleh jemaah Pakistan sebagai waqaf. Perjalanan kami menuju ke puncak gunung ini diselangi dengan hampir sepuluh kali berhenti rehat. Berbekalkan air mineral dan Asir Mangga yang kami bawa sebagai penghilang dahaga, akhirnya kami tiba dipuncak setelah sejam setengah mendaki. Sekali-sekala timbul juga perasaan gayat apabila melihatkan perjalanan kami tadi yang sememangnya curam dan ada tempat-tempat yang sangat berisiko, yang berada ditepi-tepi tebing tinggi. Rupa-rupanya, untuk ke Gua Hira’ kami perlu turun semula sedikit disebalik sana bukit itu. Zaujah ana sudah hampir give-up dan tidak mahu turun ke Gua Hira’, namun ana mengingatkan bahawa kami telah pun berjaya mengharungi perjalanan meletihkan sejam setengah, hanya beberapa minit lagi tinggal untuk sampai ke tempat di mana wahyu pertama diturunkan. Kami pun turun sedikit dan melalui celahan batu, untuk menuju ke Gua Hira’. Ramai manusia sedang beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalam gua ini yang hakikatnya hanya celahan kecil di antara dua batu besar. Ana mengambil keputusan untuk naik ke atas bumbung gua yang tidak perlu beratur. Memandangkan masa menunjukkan kami sudah perlu pulang. Ana berkesempatan untuk solat sunat dhuha di bumbung gua di atas batu yang rata. Memang strategiknya gua ini kerana kedudukannya yang direct menuju ke Kaabah. Cuma pada masa ini yang kelihatan hanya bangunan hotel di sekitar Kaabah.

Perjalanan turun tidak seletih perjalanan naik. Namun kaki kami yang sudah lemah dan terketar-ketar menjadikan perjalanan turun agak sukar juga. Namun ini mengingatkan kami bahawa di zaman Rasulullah dulu lebih sukar lagi kerana tiada anak tangga dan denai laluan manusia ini. Bahkan Saidatina Khadijah yang sudah berusia 50-an pada ketika itu, turut bermujahadah mendaki gunung itu untuk membawa makanan kepada suaminya yang tercinta.

Malam terakhir di Makkah, perasaan kami sedih bercampur gembira. Sedih kerana akan meninggalkan Rumah Allah yang penuh karamah ini, gembira pula kerana sudah selesai mengerjakan Ibadah Umrah ini dan akan terubatlah rindu kami kepada anak-anak yang telah ditinggalkan lebih seminggu, walaupun hampir setiap hari kami menghubungi mereka dengan telefon. Malam ini kami diraikan oleh pihak muassasah yang menguruskan kami sepanjang di Makkah dan Madinah. Mereka membawa kami makan Nasi Mandi dengan lauk Kambing Muda. Ana memang meminati kambing dan tidak sabar nak makan nasi ini. Namun selera kami terbantut apabila Nasi yang dihidangkan dalam talam ini diletakkan sekali ditengah-tengahnya kepala kambing tersebut yang sudah dimasak. Kami pun makanlah juga walaupun kekadang hilang selera melihat kepala kambing tersebut. J

Alhamdulillah, sepanjang di Makkah kami dipermudahkan Allah untuk beribadah… Ana juga berpeluang mengucup Hajarul Aswad walaupun hakikatnya terpaksa berasak-asak dengan jemaah yang ramai. Kali pertama percubaan ana gagal, dengan kopiah ana hilang entah ke mana dicelahan jemaah yang ramai. Ana juga terpaksa membuka cermin mata untuk mengelakkan hilang dan pecah. Namun Alhamdulillah, percubaan kali kedua dipermudahkan Allah. Cuma, sedih juga

kerana percubaan ana untuk membawa Zaujah mengucup Hajarul Aswad, tidak berjaya kerana keadaan bersesak-sesak yang tidak mengizinkan, walaupun kami telah mencuba di beberapa waktu yang berbeza. Teringat kata-kata Ustaz Isbat, jangan jadikan tujuan kita mengucup Hajarul Aswad untuk mendapat pahala sunat ini bertukar menjadi kerja haram apabila kita terpaksa bersesak, bergaduh, dan berhimpit lelaki dan wanita, sehingga kita lupa tujuan asal kita dan boleh juga membawa khurafat.

Tawaf Wida’ kami pagi Sabtu itu memang cukup sayu. Ana mengambil peluang membawa Zaujah menyentuh Kaabah selepas selesai tawaf, solat sunat di Hijir Ismail dan ana berpeluang juga mengucup pintu multazam dan berdoa di situ semoga dijemput lagi menjadi tetamu Allah di Rumahnya ini. Ketika kami hendak meninggalkan Kaabah, mata ini seolah-olah tidak mahu melepaskan pandangan daripada Baitullah, dan tidak sanggup rasanya berpaling ke belakang. Titisan airmata mengiringi pemergian kami, entah bila lagilah kami mampu lagi untuk ke Tanah suci ini….

Bas kami keluar meninggalkan tanah suci dengan kami semua diselubungi perasaan sedih dan sayu.

Perjalanan pulang kami diteruskan lagi selama sejam sehingga tiba di Jeddah. Kami sempat bersiar-siar, makan dan membeli belah di Jeddah sebelum terus ke Lapangan terbang Jeddah untuk pulang ke tanahair.

Alhamdulillah, Syukur padaMu YaAllah, yang sudi menjemput kami yang hina lagi berdosa ini, untuk menjadi tetamuMu, membersihkan diri dihadapan kaabahMu. Terimalah amalan kami, dan berilah kami peluang lagi untuk menjadi tetamu Mu Ya Allah….

Semoga coretan ini terhindar dari riyak dan ujub, hanya sekadar menjadi pedoman dan pengajaran serta kenangan di hari depan.


Wallahu A’lam…

Travelog Umrah

Sengaja ana menggunakan tajuk yang hampir sama dengan buku popular Travelog Haji yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhd Kamil, kerana buku ini banyak membantu ana sepanjang menunaikan ibadah umrah setelah ana membacanya di hari-hari terakhir sebelum berangkat menyahut jemputan Allah menjadi tetamunya di bumi suci Mekah dan Madinah. Bukan dari sehi teknikal, tapi falsafahnya. Kredit juga diberikan kepada akhi Fairus yang sudi meminjamkan ana buku tersebut untuk dibaca dan dijadikan panduan.

Semoga kisah ana ini dapat dijadikan panduan dan dijauhkan dari sifat riyak, ujub dan takbur. AstaghfirullahalAzim. Amiinnnn.

Antara masalah yang selalu ana rungsingkan sebelum bertolak, ialah bagaimana nak meninggalkan anak selama 12 hari tanpa kehadiran ana dan isteri bersama mereka. Sedihnya ana kerana memikirkan kesedihan dan kerinduan mereka nanti bila menyedari ayah dan ibu mereka tiada di sisi dalam satu jangka masa yang agak panjang. Namun ana tekadkan hati, akan menyerahkan segala-galanya kepada Allah “Ya Allah, aku serahkan anak-anakku ini dibawah penjagaan dan pemeliharaanMu Ya Allah, aku bertawakkal kepada Mu, Kaulah tempat kami bergantung harap sepenuhnya, Kaulah tempat kami berlindung sepenuhnya, Kaulah sebaik-baik pemelihara dan penjaga”. Alhamdulillah, dengan tawakkal yang bulat dan padu, sepanjang ana berada di Makkah dan Madinah, sangat sedikit kekhuatiran ana dan fikiran pesimistik ana terhadap keselamatan anak-anak di Malaysia, berbanding ketika mereka berada di depan mata ana dan dijaga oleh ana dan isteri. Alhamdulillah, benarlah Allah sebaik-baik penjaga dan pemelihara. Semoga Allah terus memelihara dan melindungi kami sekeluarga.

Malam sebelum bertolak lagi, selepas ana pulang dari Kuantan menghantar anak-anak untuk dijaga nenek dan ibu saudaranya di sana, ana telah diuji. Selepas Isyak, ana menerima panggilan dari Fairus mengatakan kunci kereta ana yang dipegangnya telah hilang di Masjid. Memang nampak kecil masalahnya, tapi bila mengenangkan keletihan ana yang baru balik hari dari Kuantan dan esoknya pagi-pagi lagi ana akan ke KLIA untuk menempuh satu perjalanan yang meletihkan, ana termenung jauh, apa yang harus ana lakukan. Ana perlu bersiap, keluar ke Sri Damansara dan menghantar kunci spare ana yang juga telah rosak yang belum tentu lagi boleh digunakan atau tidak, jika tidak, ana perlu bergegas ke kedai kunci untuk memperbaiki remote control kunci kereta tersebut supaya boleh digunakan nanti. Sepanjang ana bersiap-siap, dalam hati ini tak henti berdoa, Ya Allah, permudahkanlah urusanku Ya Allah. Alhamdulillah, rupa-rupanya, memang benar Allah nak membuktikan kata-katanya “ dan berkatalah Tuhan kamu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu”. Sebaik sahaja sebelum ana keluar, akhi Fairus memaklumkan bahawa kunci tersebut telah ditemui. Alhamdulillah. Ana bermuhasabah dengan isteri, bahawa inilah permulaan ujian-ujian yang perlu kami tempuh untuk menjadi tetamu Allah, dan bagaimana cara yang harus ana lakukan untuk menempuhnya. Buku Travelog Haji mengingatkan ana falsafah ini.

19 April 2008, pagi-pagi lagi kami telah bersiap dan menguruskan beberapa perkara sebelum bertolak ke KLIA. Akhi Syah, Rahim dan Fairus turut serta menghantar kami ke KLIA yang mana kebetulan selepas itu mereka akan ke Kolej Uniti P.D untuk show di sana tanpa kehadiran ana.
Alhamdulillah, semua urusan di airport dipermudahkan Allah dan kami check in dan solat Zohor jamak sebelum boarding. Bermulalah sebuah musafir menyahut seruan Allah menuju ke rumahNya. Perjalanan kami kadangkala dikejutkan dengan sedikit gegaran apabila kapal terbang melalui ‘turbulence’, namun tak sekuat yang ana pernah alami sebelum ini. Tidur ana tidaklah senyenyak mana walaupun badan keletihan, mungkin kerana keadaan tidur duduk yang kurang selesa atau kerana cuaca yang kurang baik mengganggu kelancaran penerbangan. Kalau terlelap pun mungkin 15 minit atau setengah jam sekali. Mulut dan hati tak henti-henti berdoa semoga Allah menjadi teman perjalanan “sohibu fi ssafar“, dan memelihara perjalanan kami ini. Alhamdulillah, walaupun kami mendarat di Riyadh seketika untuk menurunkan penumpang di sana (tiada dalam jadual penerbangan), kami tiba juga di lapangan terbang Jeddah sejam kemudian, setelah melalui perjalanan keseluruhannya hampir 12 jam. Kami tiba di Jeddah lebih kurang jam 8 malam waktu Jeddah. Rasa lega dan syukur yang tak terhingga kerana telah selamat sampai walaupun hakikatnya kami masih ada 5 jam perjalanan lagi harus dilalui menggunakan bas pula. Udara di Jeddah malam itu sangat dingin dengan angin yang bertiup kuat. Setelah selesai memunggah barang ke dalam bas, kami pun memulakan perjalanan seterusnya dengan juga tidur duduk di dalam bas. Tapi keadaannya lebih selesa dan pemanduannya dengan jalan tiga ke empat lorong sebelah tanpa tol, juga mententeramkan hati ana untuk tidur lebih nyenyak. Kami singgah di sebuah hentian yang lengkap dengan surau dan stesen minyak untuk berhenti solat jamak ta’khir maghrib dan Isyak. Seterusnya kami singgah kali kedua di sebuah tempat rawat dan rehat ala arab yang digelar hamam yang merupakan satu suasana yang sangat menarik hati ana kerana setelah bangun tidur dalam perjalanan yang panjang, kami pekena nasi dengan ayam panggang yang dimakan dalam talam dan pekena teh o panas sambil duduk-duduk di hamam tersebut, dalam suasana padang pasir yang dingin dan angin yang bertiup kuat.
Seterusnya perjalanan diteruskan lagi menuju bumi nabi Kota bercahaya Madinah Munawwarah. Beberapa minit sebelum tiba, ana sudah tidak boleh tidur, mata ini sibuk memerhati suasana disepanjang perjalanan menghampiri Kota Madinah sambil hati yang membuak-buak dengan perasaan yang bercampur-baur; gembira, sedih, sayu, gementar, takut dan macam-macam lagi. Lalu akhirnya kami tiba juga di bumi yang kami rindui, yang terkandung didalam tanahnya, jasad yang suci lagi mulia, yang tidak reput dan tidak dimakan usia, jasad jenazah Nabi kita yang sangat kita rindui, yang tidak pernah kita temui; nabi Muhammad S.A.W. Juga jasad-jasad isteri baginda, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’-tabi’in yang hampir dengan zaman baginda. Bumi yang pernah dipijak oleh baginda, gunung-ganang, lurah lembah yang pernah melihat baginda dan pernah dilihat oleh baginda, dan terletaknya rumah dan masjid baginda, serta yang paling istimewa terletaknya satu taman dari taman-taman syurga yakni Raudhah seperti mana sabda baginda “di antara rumahku dan mimbarku, adalah satu taman dari taman-taman syurga”, yang mana menurut ustaz Isbat yang menjadi mutawwif kami; ulama telah mentafsirkan hadis tersebut kepada dua pendapat’ pertama: Memang kawasan itu adalah sebahagian dari kawasan Syurga Allah. Kedua; kawasan itu nanti akan terdapat di dalam syurga Allah sebagai salah satu taman syurga. Yang mana hakikatnya kedua-duanya mengesahkan kawasan itu adalah taman syurga samada sekarang atau di akhirat nanti. Syahdunya suasana itu sehinggakan airmata mengalir di mata dan di hati.

Alhamdulillah jam 3 pagi waktu Madinah, kami tiba di hotel Durah Al-Fairuz. Walaupun waktu Subuh masuk lebih kurang jam lima pagi, telah kelihatan beberapa jemaah yang menuju ke Masjid nabi. Kami telah diuji setibanya di hotel apabila bilik yang telah ditempah tidak mencukupi. Terima kasih yang tak terhingga kepada Ustaz Rozali yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak kami walaupun terpaksa bertikam lidah dengan receptionist arab hotel tersebut. Hakikatnya dalam hati ini, tak sabar-sabar nak bersiap-siap menuju ke Masjid Nabi, apatah lagi jam 4 pagi kedengaran azan pertama dari Masjid Nabi. Ana mencadangkan kepada Ustaz, biarlah kami berkongsi bilik terlebih dahulu, untuk bersiap-siap ke Masjid. Perkara ini boleh diselesaikan balik dari masjid nanti, atau tengah hari nanti. Ana sangat takut terlepas jemaah waktu Subuh pertama tersebut. Rasa letih dan mengantuk hilang entah ke mana, seolah-olah dipinggirkan terus dek kerana keinginan yang sangat untuk masuk ke Masjid Nabi. Akhirnya kami berkongsi bilik dan bersiap ala kadar lalu terus ke Masjid Nabi. Subhanallah, ramainya manusia, dan besarnya Masjid ini walaupun waktu subuh masuk lebih kurang setengah jam lagi, ruang hadapan separuh masjid telah penuh. Sepanjang melangkah di dalam Masjid Nabi, hati ini meneka-neka di manakah Raudhah. Setelah penat berjalan dan tiba di saf yang sudah hampir penuh, ana berhenti untuk solat sunat dan menunggu masuk waktu subuh. Setelah selesai Subuh, ana meneruskan langkah sambil mengagak-agak di manakah Raudhah. Berbekalkan solat hajat tadi, serta doa yang tidak putus “Rabbi yassir wala tu’assir” akhirnya ana tiba di kawasan karpet hijau kelabu yang pastinya inilah Raudhah. Rupa-rupanya sekali ganda lagi perjalanan ana dari tempat solat Subuh tadi. Namun solat di Raudah tak semudah menceritakannya, manusia bersesak-sesak dan menunggu giliran untuk solat di sana. Akhirnya peluang ana tiba juga untuk sujud dipermaidani seharum kasturi dalam kawasan Raudhah. Terasa hampirnya ana dengan nabi kita yang dirindui. Dalam doa yang singkat, ana bersyukur kerana diizinkan Allah untuk berada dalam taman syurga ini dan bermohon bahawa ini hanyalah permulaan. Semoga ana akan terus diizinkan berada di sini dan yang paling penting semoga ana akan dapat lagi ke sini di dalam Syurga nanti… amiiinnn…
Hari pertama di Madinah terasa sangat panjang, kerana hari kami bermula jam 3 pagi tadi sewaktu tiba, terus ke Masjid menunaikan solat Subuh, kami terlepas sarapan pagi kerana agak lama di Masjid selepas Subuh kerana Isteri ana me
nunggu waktu Raudhah di buka untuk Muslimat. Kami pulang ke hotel jam 9 pagi, tidur dan berehat seketika, kemudian bangun bersiap untuk solat Zohor jam 11 pagi. Seterusnya berehat seketika sebelum Asar dan terus duduk di Masjid waktu solat Maghrib dan Isyak. Terasa terlalu panjang hari dan banyaknya aktiviti ibadah yang dapat dilakukan berbanding kesibukan di Malaysia sehinggakan kadang-kadang seminggu pun berlalu bagaikan hanya 2-3 hari sahaja. Alhamdulillah, di Masjid Nabi, hampir setiap waktu selepas solat, ana diizinkan Allah untuk solat dan berdoa di Raudhah.
Pada hari pertama juga ana bertekad untuk menziarah Rasulullah memberi salam kepadanya, mengucapkan terima kasih padanya dan menyampaikan salam sahabat-sahabat kepadanya. Menziarahi maqam nabi juga tidak semudah kata, perlu berbaris dan berasak-asak untuk ke situ. Namun yang bermain di hati ana, alangkah malunya ana nak menghadap baginda nabi, hinanya ana, kerdilnya ana, dan kotornya ana dengan dosa. Sedangkan diri ini sejauh manalah mengikut ajaran nabi, sejauh manalah mengamalkan sunnahnya berbanding pengorbanan baginda yang dihina, dikeji dan hampir dibunuh semata-mata nak mempertahankan agama ini untuk umatnya termasuk ana pada hari ini. Sudikah baginda melihat ana, dalam ratusan ribuan manusia yang menghadap baginda, dengan keimanan mereka, siapalah ana ini hendak menghadap kekasih Allah yang sangat mulia ini. Namun dengan keyakinan ana bahawa nabi sayangkan umatnya, ana menghulurkan salam padanya, berterima kasih padanya, berdoa pada Allah untuk menjadi umatnya dan mendapat syafaatnya di akhirat nanti dan sudi diterimanya diakhirat nanti, walaupun terpaksa menunduk malu pada awalnya dengan cucuran airmata yang tak terbendung lagi. Terasa seperti benar-benar sedang bermonolog dengan baginda, walaupun hati ini yang cuba menggambarkan wajah baginda yang indah, tak tergambar jua. Berkumandang dihati ana lagu Raihan “Alangkah indahnya hidup ini, andai dapat kutatap wajahmu, Kan pasti mengalir air mata ku kerna pancaran ketenanganmu”. Semogaku dapat menatap wajahmu dan mendakap dirimu walaupun dalam mimpiku, wahai kekasih Allah…. Amiiinnn.

Tiga hari di Madinah penuh terisi dengan pengajaran dan teladan sehinggakan tidak termuat dikongsi di sini sepenuhnya. Antaranya pengalaman sujud di Raudhah boleh ana ungkapkan sebagai “sesempit-sempit tempat sujud, seluas-luas alam semesta perasaannya” Manakan tidak, dalam keadaan biasa, saf yang boleh memuatkan 2 orang di Masjid di Malaysia, mampu dimuatkan sehingga empat orang di Raudhah, bayangkanlah, begitu juga ruang hadapan kita yang kadangkala ada orang berdiri menunggu giliran. Namun, cukup ana katakan di sini, dalam kesempitan dan kesesakan itu, setiap kali sujud, kita dapat merasakan seolah olah berada dilangit yang luas, dipenuhi bintang-bintang seluas mata memandang. Subhanallah, berdoalah sedaya mampu, menangislah sedaya mampu, hiruplah haruman di raudhah dan nikmatilah. Langkahan orang ke atas kita, atau terlanggar, atau tersepak atau seumpamanya, seolah-olah tidak terasa lagi, langsung tak diendahkan. Nikmatnya berdoa di dalam taman syurga Allah. Seterusnya, ana teringat cerita Ustaz Isbat bahawa Mihrab nabi di dalam Raudhah adalah tempat di mana nabi solat dan menjadi imam di zamannya dulu. Tempat yang berdirinya, yang dipijaknya (bukan bekas tapak kaki) masih ada namun tempat sujudnya telah berada didalam dinding. Ana teringin bersolat di situ dan sujud di kawasan yang pernah dipijak kaki nabi yang mulia (walaupun telah dilantai dan karpet). Benarlah falsafah yang ana baca dalam Travelog Haji; bahawa sesungguhnya yang akan membawa kita ke situ ialah Allah, bukannya dengan kekuatan dan kekuasaan kita sendiri. Ana solat hajat dan berdoa semoga Allah bukakan lorong dan jalan ke situ. Seterusnya ana melangkah ke arah mihrab itu yang boleh ana ibaratkan seperti Hajarul Aswad di Kaabah, yang mana sentiasa orang berebut-rebut untuk pergi ke situ. Setibanya ana di kawasan orang berkumpul dan beratur di situ, ana terus menghentikan langkah dan menyambung doa, ana hanya membiarkan tubuh ini ditolak dan diasak sehingga semakin hampir dengan mihrab. Setiap kali rasa takut dan ragu-ragu melihat besarnya warga asing yang lain berbanding ana, ana terus mengingatkan, “Ya Allah, sesungguhnya engkau yang menggerakkan jasad ku, dan engkau yang menggerakkan jasad mereka semua, aku dan mereka tiada kekuasaan dan kemampuan walau setitik pun melainkan Kau yang Maha Kuasa, gerakkanlah aku, bukakanlah ruang untuk ku solat di mihrab nabiMu dan sujud dibekas tapak kakinya yang mulia. Akhirnya, Alhamdulillah, ana telah berdiri tepat ditengah-tengah Mihrab untuk solat. Cuma yang menyedihkan ana terdapat beberapa rehal Al-Quran diletakkan sengaja diruang mihrab tersebut untuk mengelakkan perbuatan khurafat. Ana bertekad untuk solat dan sujud juga di mihrab tersebut. Sewaktu hendak sujud, ana mengalihkan rehal ditengah-tengah dan meletakkannya di atas rehal yang disebelahnya. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan untuk ana sujud di tempat di mana nabi pernah berdiri mengimamkan solat di Masjid Nabi. Ana berdoa dalam sujud semoga dapat bertemu dengan nabi di akhirat nanti, dan diterima menjadi umatnya serta beroleh syafaatnya. Alhamdulillah…
Seterusnya lagi, kesimpulan yang ana boleh buat tentang penduduk di Madinah, mereka benar-benar mewarisi sifat nenek moyang mereka dari golongan ansar yang memang suka membantu, ramah, banyak beramal dan berkhidmat, serta memuliakan tetamu. Antara yang ana kagum, pemuda yang membawa botol berisi air zam zam dan gelas-gelas serta memberikan minuman tersebut kepada jemaah-jemaah yang dahaga sepanjang beri’tikaf di Masjid, orang tua yang membawa plastik-plastik untuk mengisi kasut dan selipar, serta membawa minyak wangi untuk disapukan kepada jemaah, sebelum khutbah jumaat dan banyak lagi contoh sedemikian. Ana turut berkesempatan berbual dengan seorang penduduk Madinah yang akhirnya beliau turut mendoakan ana dan keluarga menjadi penduduk Madinah, mendapat rezeki di Madinah, hidup di sana dan mati di sana. Beliau turut menghadiahkan ana 2 buah kitab doa, dan amalan mukmin. Kata-katanya sangat lembut dan dipenuhi ayat al-Quran dan hadis. Beliau bersungguh-sungguh berbual dengan ana walaupun dalam kebanyakan masa ana hanya mengangguk sahaja kerana kurang arif berbahasa arab.
Tiga hari di bumi Madinah, akhirnya tibalah masa kami berangkat menuju ke Kota Makkah. Perasaan sayu ketika ziarah wada’ Maqam nabi bersambung hingga ke dalam bas apabila ustaz Isbat; mutawif kami akhirnya tidak mampu berkata-kata lagi kerana sedih ingin meninggalkan nabi. Ustaz Rozali yang ingin menyambung taklimat dari Ustaz Isbat juga terpaksa berhenti dek kerana sebaknya hendak meninggalkan Nabi. Seluruh jemaah terdiam melayan perasaan sambil berdoa akan bertemu semula dengan nabi suatu hari nanti, insyaAllah… Perjalanan kami diteruskan lagi untuk menyahut seruan Allah, menjadi tetamunya di bumi Makkah al-Mukarramah dalam kedaan kami memakai Ihram… Tangisan dan kesayuan akhirnya tenggelam dan hanyut dalam lena dek keletihan… Bersambung…
Assalamualaikum...

Mohon maaf sebab agak lama menyepi...
Bulan ni memang betul-betul packed dengan program sehinggakan minggu lepas hanya dua hari ada di pejabat dan minggu depan, outstation hampir sepanjang minggu.

Namun, dalam kesibukan tu sempat juga ana balik kampung di Temerloh, Pahang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk kali keduanya. Seperti pilihanraya yang lalu, ana mengundi di Parlimen Temerloh dan Dun Kuala Semantan. Asalnya, hanya ana sorang yang bercadang nak mengundi, tapi bila memikirkan pentingnya walau satu undi pun, ana bawa sekali isteri ke Kuantan pula untuk membuang undi di Parlimen Kuantan, Dun Tanjung Lumpur. Alhamdulillah kami sempat sampai ke Kuantan hampir-hampir tempoh undian di tutup.Di Temerloh, Parlimen dimenangi calon BN dan DUN dimenangi calon PAS. Ana memang kenal dengan calon DUN; Ustaz Syed ni kerana beliau adalah bapa kepada kawan sekolah ana dan beliau juga adalah sahabat baik arwah ayah ana dan antara yang menguruskan jenazah arwah.
Sebenarnya ana memang betul-betul kurang sihat sepanjang dua-tiga minggu ni sehinggakan dua tiga hari suara ana langsung tak ada walaupun nak bercakap. Mungkin banyak sangat bercerita pasal pilihanraya kot... Sampai sekarang, suara ana masih belum pulih sepenuhnya. Itulah salah satu bukti apa yang ada pada kita ni, semuanya milik Allah hatta suara kita sekalipun. Bila-bila masa Allah boleh tarik nikmat tersebut, jadi janganlah kita mendabik dada dengan kelebihan yang kita ada.

Sehari sebelum pilihanraya, ana terlibat dengan rakaman program bersama Dato' Fadzilah Kamsah pakar motivasi terkenal Malaysia. Turut terlibat sebagai panel adalah Abg Ipin dari kumpulan Hijjaz dan Abg Nazrey Johani. Program ini dirakam untuk tayangan pada hari MaulidurRasul nanti. Dalam keadaan suara ana yang serak-serak basah, ana gagahi juga untuk memberi komitmen bagi menjayakan program ini. Sehinggakan pada satu ketika rakaman terpaksa dihentikan seketika kerana batuk ana menjadi-jadi dan tak tertahan lagi. Program khas ini membicarakan tentang keperibadian Rasulullah tercinta dari sifat fizikalnya sehinggalah ke sifat wajib baginya; Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah. Alhamdulillah, keramahan Dato' Fadzillah membuatkan gementar kami hilang dan berasa selesa berbicara dengan beliau.

Seterusnya, awal bulan ini juga ana terlibat dengan rakaman video klip lagu Salamun Salam yang akan dimuatkan dalam album kompilasi nasyid hits 1429 hijrah yang akan berada di pasaran minggu hadapan. Album dan lagu salamun salam ini menggandingkan Us. Akhil Hayy, Us. Radzi, Us. Nazrey Johani, Fareast dan Inteam. Menariknya, antara plot dalam video klip ini memaparkan anak-anak inteam bermain perkusi...

Dalam kesibukan mengadakan persembahan, sempat juga kami singgah di rumah ustaz Nabil Fareast di hari perkahwinan beliau di Perlis. Tahniah ana ucapkan kepada ustaz Nabil, semoga bahagia di dunia dan akhirat. Sempat juga kami bergambar dengan Us. Hasan Din Al-Hafiz, bertemu Ustaz Ishak Din, tapi tak berpeluang pula kami berjumpa dengan Ustaz Harun Din yang telah pulang ke KL. (ketiga-tiganya pakcik Ustaz Nabil).

Tahniah juga ana ucapkan untuk Akhi Syah yang baru menimang cahaya mata keduanya beberapa hari lepas. InsyaAllah, lepas ni senanglah sikit hati Syah nak follow kami show, sebab zaujahnya dah selamat melahirkan baby kedua tu.

Setelah kami ke Perlis dan Melaka, kembara dakwah kami akan diteruskan pula ke Kuantan, Penang dan ke Perlis semula... Semoga segala penat lelah dan usaha kecil kami ini akan dinilai oleh Allah sebagai ibadah. amiiinnnn.....
Jumaat lepas ana berpeluang mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat berimamkan Sheikh Habib Umar dari Yaman yang merupakan keturunan Rasulullah S.A.W. Apabila dimaklumkan oleh saudara Rahim bahawa beliau akan menyampaikan khutbah di Masjid UIA Gombak, kami bergegas ke sana selepas menyelesaikan beberapa urusan pejabat.

Alhamdulillah, sampai awal, kami dapat menempah saf hampir dengan kedudukan Imam. Hati ana agak berdebar-debar kerana ingin berhadapan dengan seorang Ulama terkenal berdarah daging Rasulullah yang dirindui. Dari kisah-kisah yang ana dengar mengenai beliau, nyatalah beliau bukan calang-calang ulama.

Pintu mimbar terbuka dan muncullah seorang lelaki berwajah hitam manis yang kelihatan zuhud dan wara'. Salam diberi, menambah getaran di hati ini. Khutbah Jumaat yang disampaikan walaupun dalam bahasa arab, tidak mencetuskan sedikitpun rasa mengantuk di mata ana, bahkan mata dan hati ini sentiasa fokus pada setiap yang disampaikannya. Berbekalkan sedikit ilmu bahasa arab yang ana pelajari di sekolah menengah, dapatlah ana menangkap sedikit sebanyak apa yang disampaikannya. Flash kamera silih berganti, diikuti juga dengan beberapa jurugambar kamera video merakamkan khutbah yang disampaikan. Satu situasi yang agak berbeza ana dapat rasakan. Biasanya flash kamera hanya akan silih berganti jika yang ada didepan adalah artis popular.
Khutbah yang disampaikan kali ini ringkas tetapi cukup berkesan. Tajuknya berkenaan dengan Ikhlas. Antara isinya yang dikupas ialah berkenaan bahan bakar api neraka yang terdiri dari Ulama, Dermawan dan Syuhada' yang tidak ikhlas. Apabila dipersembahkan amalan mereka dihadapan Tuhan, maka dikatakan kepada mereka Kazzabta!!! 'kau berbohong'- Kau menuntut ilmu kerana ingin digelar ulama, Kau mendermakan hartamu kerana ingin dikenali sebagai dermawan dan kau menjadi syuhada' kerana ingin disebut2 sebagai seorang yang berani. Terasa sukarnya ingin menanam rasa ikhlas dalam diri ini untuk beramal.

Setelah selesai solat berimamkan Sheikh Habib Umar dan mendengar terjemahan khutbah beliau, ana mengikuti beberapa jemaah termasuk akhi Syah, menuju ke arah Habib Umar untuk bersalaman dengannya. Tiba giliran ana, terasa teramat malu dan takut ingin melihat mata beliau memikirkan dosa-dosa yang ana lakukan. Ana sempat mencium tangan beliau, mendakap dan mencium kedua2 belah leher beliau. Bau harum menusuk ke rongga hidung membuatkan ana terfikir alangkah bahagianya jika dapat mendakap dan mencium Rasulullah yang dirindui sedemikian rupa....
Ya Allah, izinkanlah hambaMu yang hina dan berdosa ini bertemu dan mendakap serta mencium Kekasih mu Rasulullah S.A.W walaupun dalam mimpiku.... Amiiinnnn...













This is the disease that infected my son; Afnan last week:

Henoch-Schönlein purpura (very weird name)


In medicine (rheumatology and pediatrics) Henoch-Schönlein purpura (HSP, also known as allergic purpura) is a systemic vasculitis (inflammation of blood vessels) characterized by deposition of immune complexes containing the antibody IgA, especially in the skin and kidney. It occurs mainly in children. Typical symptoms include palpable purpura (small hemorrhages in the skin), joint pains and abdominal pain. Most cases are self-limiting and require no treatment apart from symptom control, but the disease may relapse (in 33% of cases) and cause irreversible kidney damage (in 1%).

Signs and symptoms
Purpura, arthritis and abdominal pain are known as the "classic triad" of Henoch-Schönlein purpura. Purpura occur in all cases, joint pains and arthritis in 80%, and abdominal pain in 62%. Some include gastrointestinal hemorrhage as a fourth criterion - this occurs in 33% of cases (sometimes but not necessarily due to intussusception). The purpura typically appear on the legs and buttocks, but may also be seen on the arms, face and trunk. The abdominal pain is colicky in character. The joints involved tend to be the ankles, knees, and elbows but arthritis in the hands and feet is possible; the arthritis is non-erosive and hence causes no permanent deformity. 40% have evidence of kidney involvement, mainly in the form of hematuria (blood in the urine), but only a quarter will have this in sufficient quantities to be noticeable without laboratory tests. Problems in other organs, such as the central nervous system (brain and spinal cord) and lungs may occur, but much less commonly than the skin, bowel and kidneys.
The disease tends to last about 4 weeks, and then resolves spontaneously.

Treatment
Most patients do not receive therapy because of the high spontaneous recovery rate. Steroids are generally avoided. However, if they are given early in the disease episode, the duration of symptoms may be shortened, although abdominal pain does not improve significantly. Moreover, the chance of severe kidney problems is reduced.
Evidence of worsening kidney damage would normally prompt a kidney biopsy. Treatment may be indicated on the basis of the appearance of the biopsy sample; various treatments may be used, ranging from oral steroids to a combination of intravenous methylprednisolone (a potent steroid), cyclophosphamide and dipyridamole followed by prednisone. Other regimens include steroids/azathioprine, and steroids/cyclophosphamide (with or without heparin and warfarin). Intravenous immunoglobulin (IVIG) is occasionally used.

Epidemiology
HSP occurs more often in children than in adults, and usually follows an upper respiratory tract infection. Half of affected patients are below the age of six, and 90% under ten. It occurs more often in boys than in girls (about twice as often).
The incidence of HSP in children is about 20 per 100,000 children per year; this makes it the most common vasculitis in childhood.

History
The disease carries the name of Eduard Heinrich Henoch (1820-1910), a German pediatrician, and his teacher Johann Lukas Schönlein (1793-1864), who described it in the 1860s. The English physician William Heberden (1710-1801) and the dermatologist Robert Willan (1757-1812) had already described the disease in 1802 and 1808, respectively, but the name Heberden-Willan disease has fallen into disuse. William Osler would be the first to see HSP as a form of allergy.



From: WIKIPEDIA














Alhamdulillah,
Kita masih di beri peluang oleh Allah S.W.T untuk sampai ke tahun baru 1429H/2008M ini.
Semoga tahun lalu yang sudah berakhir akan dikurniakan Allah keampunan bagi segala dosa yang kita lakukan dan keberkatan serta pahala atas segala kebaikan yang telah kita lakukan.

Semoga tahun baru ini, kita dapat memperbanyakkan lagi amalan dan mempertingkatkan lagi keimanan kita. Semoga Allah memberkati usaha kita semua untuk tahun baru ini.
Blog Widget by LinkWithin